Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

REFORMASI PILIHANRAYA

Kalau ikutkan situasi sekarang, mahu sahaja saya meminta supaya semua pimpinan parti politik pembangkang mengambil ketetapan untuk tidak lagi menyertai pilihanraya selepas ini, memboikot terus sehinggalah satu perubahan atau reformasi dilakukan terhadap struktur Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan juga sistem 'care-taker government,' agar pilihanraya kita menjadi satu proses pemilihan kerajaan yang terpercaya, bebas dari segala bentuk penipuan dan keraguan.

Dari mereka yang mengikuti dan mengambil berat, sujud beberapa cadangan. Ada yang mengusulkan supaya SPR diletakkan langsung di bawah Parlimen. Tetapi dalam keadaan parlimen yang dikuasai oleh Barisan Nasional, tentulah pula melalui pilihanraya yang penuh dengan penipuan dan keraguan, apakah ketelusan dan akauntabiliti SPR sudah boleh dijamin? Ada pula yang mencadangkan supaya SPR diletakkan di bawah Majlis Raja-Raja. Tetapi dalam keadaan Raja-Raja yang sudah hilang kuasa, bertindak atas nasihat Menteri Besar sahaja, ditambah dengan semua negeri sekarang dikuasai oleh Barisan Nasional kecuali Kelantan, tentulah juga melalui pilihanraya yang penuh dengan penipuan dan keraguan, apakah kejujuran dan kebertanggungjawaban SPR sudah turut boleh dijamin?

Terlalu banyak kemungkinan, penuh kekaburan, idea-idea ini nampaknya tidak boleh dipakai. Karut-marut pilihanraya akan tetap terus berlaku.

Saya fikir SPR perlu punya satu 'superior council' yang dipanggil Lembaga Pengawas. Keanggotaannya? Saya boleh mengambil sedikit idea terdahulu. Seorang wakil dilantik oleh Parlimen, seorang wakil dilantik oleh Majlis Raja-Raja, seorang wakil dilantik oleh SUHAKAM, 2 orang wakil dilantik oleh Majlis Peguam, 2 orang wakil dari pertubuhan bukan kerajaan yang berkait dengan pemantauan pilihanraya, 5 orang wakil dari Barisan Nasional dan 5 orang wakil dari parti pembangkang. Semuanya adalah 12 orang. Mereka ini bukan sahaja bertindak mengawasi SPR dari segi pengurusan dan pentadbirannya, lebih dari itu mereka perlu diberi kuasa sehingga ke tahap membatalkan pilihanraya secara serta-merta walaupun ketika tempoh kempen dan pilihanraya sedang berjalan jika berjaya dibuktikan penipuan telah berlaku.

Lembaga ini juga perlu diberi kuasa untuk memantau 'care-taker government' yang memerintah ketika pilihanraya sedang berjalan. Mekanisme perlantikan 'care-taker government,' had kuasa mereka dan taraf perjawatan perlu dikaji semula. Lembaga mestilah ada hak sehingga ke tahap memecat mana-mana orang yang menganggotai 'care-taker government' ini jika berjaya dibuktikan mereka telah menyalahgunakan kedudukan mereka untuk kepentingan kempen politik parti-parti tertentu sewaktu dalam tempoh pilihanraya.

Kata orang menyuarakan idea memang mudah. Bagaimana pula cara untuk merealisasikannya? Ia melibatkan undang-undang, terutamanya Akta Pilihanraya dan Akta Kesalahan Pilihanraya, serta mungkin sedikit Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Keseksaan. Pindaan perlu dibuat, draf pindaan mungkin mampu dibuat oleh pihak pembangkang kerana ramai kalangan pimpinan adalah pengamal undang-undang. Pembangkang juga masih punya wakil di Parlimen untuk membawa Cadangan Pindaan Rang Undang- Undang Akta Pilihanraya dan Akta Kesalahan Pilihanraya serta lain-lain yang berkaitan ke Dewan Rakyat.

Persoalan seterusnya adalah tentang cara mana Cadangan Pindaan ini boleh berjaya dibentangkan, berjaya dibahaskan dan berjaya diluluskan dalam keadaan Parlimen dikuasai oleh Barisan Nasional? Jika kita sampai ke tahap membawa Cadangan Pindaan ini ke Dewan Rakyat, di waktu itu saya mohon dan seru kepada seluruh rakyat yang mengaku menyokong kebenaran dan suka keadilan ditegakkan supaya turun ke jalanraya memberi sokongan, kalau boleh di hadapan Bangunan Parlimen itu sendiri. Lima ratus ribu orang boleh turun di Taiwan, saya kira ahli-ahli berdaftar sahaja di dalam parti-parti pembangkang seperti keADILan, PAS, DAP dan lain-lain sudah melebihi jumlah ini, belum lagi dicampur dengan penyokong dan reformis tidak berparti.

Untuk yang mengaku menyokong kebenaran dan suka keadilan ditegakkan, saya ingatkan bahawa ini bukan lagi zaman menjadi orang belakang, cukuplah menyokong dengan undi kononnya. Habis di situ. Tetapi kemudiannya menyumpah di kedai kopi dan merungut di dalam hati. Jadi cukupkah sokongan undi kita di saat kita sedar pengundian itu penuh dengan penipuan dan penyelewengan?

Komitmen kita sedang dituntut. Jika mereka yang berada di Parlimen itu mengaku mereka adalah wakil pilihan rakyat maka kitalah rakyat itu. Bersuaralah, bangkitlah dan berdirilah bersama-sama kami, laungkanlah kuat-kuat kalimah R E F O R M A S I !!!

Mohd Zukri Aksah
Ketua Penerangan Angkatan Muda keADILan Negeri Pahang
http://zukri-keadilan.blogdrive.com





___________________________
Terbitan : 14 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]
atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)