Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

HUKUMAN KEPADA PESERTA PKN TIDAK WAJAR

KENYATAAN MEDIA (13 APRIL 2004)

HUKUMAN KEPADA PESERTA PKN TIDAK WAJAR

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) membantah cadangan yang dibuat oleh kerajaan untuk mengenakan tindakan undang-undang ke atas 10,000 peserta Program Khidmat Negara (PKN) yang gagal mendaftarkan diri dalam program tersebut. DPP Pusat melihat tindakan itu tidak membantu untuk menyelesaikan masalah yang timbul, sebaliknya boleh merangsang pemberontakan jiwa di kalangan remaja. Kerajaan BN sepatutnya melihat kembali beberapa perkara yang menyebabkan para remaja tidak begitu memberati soal menyertai PKN ini termasuk kelemahan-kelemahan pengurusan PKN yang turut menjadi faktor keciciran tersebut.

DPP Pusat melihat punca utama keengganan 10,000 remaja untuk menyertai PKN adalah kerana kegagalan pihak pengurusan PKN dalam membina kayakinan peserta terhadap kepentingan khidmat negara. Oleh kerana Kerajaan BN sebelum ini mempunyai rekod menyalahgunakan Biro Tata Negara (BTN) sebagai pusat indoktrinasi politik, maka kemungkinan ibu bapa telah hilang keyakinan kepada PKN, di mana mereka bimbang sekiranya program ini turut menjadi pusat indoktrinasi politik. Lebih-lebih lagi PKN diketuai oleh seorang tokoh yang terkenal sebagai hard core Umno iaitu Prof Datuk Dr Fawzi Basri. Kesilapan kerajaan dalam memastikan PKN benar-benar bersih daripada anasir politik kepartian telah membunuh keyakinan ibu bapa sekaligus menyebabkan anak-anak dihalang daripada menyertai PKN.

PKN juga telah dibimbangi akan menjadi satu projek untuk meruntuhkan akhlak muda-mudi melalui pelbagai kegiatan yang tidak boleh dipantau oleh ibu bapa. Sebelum ini Kerajaan BN telah mengadakan program Rakan Muda untuk remaja yang akhirnya menjadi pusat keruntuhan moral remaja. Budaya percampuran bebas lelaki perempuan, kurang tumpuan kepada kerohanian dan bersifat hedonistik dalam Rakan Muda dibimbangi akan berulang dalam PKN. Dan perkara ini terbukti apabila beberapa kes melibatkan tangkapan khalwat, percampuran bebas lelaki perempuan dan tayangan filem lucah dilaporkan kepada DPP Pusat oleh pemantau di PKN. Kerajaan BN jangan menyangka ibu bapa semuanya ‘bodoh’ dan akan membiarkan sahaja anak-anak mereka dirosakkan oleh program yang ditaja oleh Kerajaan BN.

DPP Pusat melihat cadangan yang dikemukakan oleh beberapa pemimpin Kerajaan BN untuk mengambil tindakan ke atas peserta PKN adalah strategi bagi memaksa remaja mengikuti program indoktrinasi politik ini setelah menyedari pengundi muda boleh membantu kemenangan BN dalam pilihan raya. Para peserta PKN adalah pengundi baru pada 2008, dan mereka disasarkan untuk menjadi pengundi utama BN. Oleh itu satu bentuk pemaksaan mesti dibuat kepada semua remaja agar mereka tidak mengelakkan diri daripada PKN. Kesedaran ibu bapa terhadap kemungkinan PKN menjadi tempat indoktrinasi politik dan percambahan budaya maksiat cuba dijawab dengan penguatkuasaan undang-undang oleh Kerajaan BN. BN mahu memastikan semua remaja yang bakal mengundi pada 2008 telah mengikuti indoktrinasi politik PKN ini dan ini akan memudahkan BN mengekalkan kuasa politik mereka pada masa hadapan.

DPP Pusat membatah tindakan yang tidak munasabah ini terutama jika bertujuan untuk kepentingan politik sempit BN yang disembunyikan di sebalik undang-undang. DPP Pusat berpandangan bahawa Kerajaan BN sepatutnya memurnikan PKN daripada segala unsur politik dan membebaskan PKN daripada cengkaman Umno. PKN seharusnya diuruskan oleh sebuah Jawatankuasa Khas yang bertanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong atau Parlimen bagi memastikan kemurniannya. PKN mesti menuju matlamat asalnya, bukannya memenuhi matlamat rakus BN. Bagi menggalakkan penyertaan dalam PKN ini, selain membersihkan unsur-unsur politik, PKN juga mesti dibersihkan daripada anasir maksiat dan hedonistik, serta menggalakkan pembinaan minda dan rohani di samping patriotisma.

Cara pemaksaan ke atas remaja tidak sesuai dilaksanakan sekarang lebih-lebih lagi ia masih di peringkat awal perlaksanaan. Rakyat masih belum benar-benar jelas apakah tujuan sebenar PKN selain menjadi ‘alat politik’ BN. Kerajaan mesti memberikan penerangan secukupnya kepada rakyat sebelum tindakan undang-undang dikuatkuasakan. Jika pemaksaan ini dilaksanakan, jiwa remaja akan memberontak sehingga memungkinkan kejadian-kejadian seperti rusuhan dan pergaduahan terus berlaku seperti hari ini. DPP Pusat juga melihat pemaksaan ini akan menjadikan PKN lebih bersifat indoktrinasi politik paksaan ala-Komunis, bukannya pusat pembinaan dan pemupukan kesedaran hidup bernegara.

SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat





___________________________
Terbitan : 14 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]
atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)