Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

ROGOL: PLKN PATUT DIBUBARKAN SEMENTARA

KENYATAAN MEDIA (19 APRIL 2004)

ROGOL: PLKN PATUT DIBUBARKAN SEMENTARA

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) sangat terkejut dengan berita terbaru tentang kejadian rogol seorang perserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) oleh seorang jurulatih PLKN di Kem Merang, Terengganu baru-baru ini. Kejadian rogol yang berlaku di kem PLKN ini membuktikan dakwaan DPP Pusat sebelum ini bahawa program ini akan menjadi pusat pertumbuhan maksiat hampir menjadi kenyataan. DPP Pusat melihat punca utama kejadian-kejadian seperti ini adalah bertolak daripada kelemahan dasar PLKN yang tidak begitu mengambil berat soal pembinaan kerohanian peserta, sebaliknya lebih cenderung menjadi pusat indoktrinasi politik BN.

Ini bukan pertama kali kes-kes jenayah dilaporkan berlaku dalam PLKN walaupun program ini hanya baru bermula tidak sampai dua bulan. Sebelum ini DPP Pusat telah mendedahkan kejadian pergaduahan di Kem Port Dickson, diikuti oleh pergaduhan di beberapa kem di Terengganu, Kelantan, Perak dan sebagainya. Selain insiden-insiden pergaduhan, DPP Pusat turut menerima aduan tentang kes-kes yang melibatkan gejala seksual di PLKN seperti tayangan video lucah di kem Perlis, tangkapan khalwat di kem Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan terbaru kes rogol di Kem Merang. Insiden-insiden ini jelas memberikan gambaran betapa buruknya keadaan di kem-kem PLKN.

DPP Pusat sebelum ini berkali-kali mengingatkan pihak Kerajaan BN supaya memastikan PLKN tidak menjadi pusat kegiatan maksiat seperti percampuran bebas lelaki perempuan, penyebaran budaya hedonisme dan budaya artis, kerana perkara boleh menjadi anasir kepada keruntuhan akhlak remaja. Tetapi Kerajaan BN tidak mahu mengambil iktibar daripada kegagalan program Rakan Muda. Akibatnya gejala-gejala yang sangat memalukan ini telah berkembang dalam satu program yang kononnya bertujuan untuk membina syakhsiyah dan patriotisme remaja. Jika beginilah keadaannya, tidak pelik sekiranya sebahagian ibu bapa memulaukan program ini dengan menghalang anak-anak mereka menyertai PLKN. Kerajaan BN sebenarnya tidak boleh memaksa para remaja menyertai PLKN jika tahap keselamatan peserta berada di bawah paras bahaya.

DPP Pusat sangat kesal dengan kegagalan Kerajaan BN menguruskan PLKN dengan baik dan berkesan. Insiden-insiden ini menjadi bukti kegagalan Kerajaan BN dalam membina jati diri remaja yang cemerlang. DPP Pusat mendesak Pengerusi PLKN, Datuk Dr Fawzi Basri supaya meletakkan jawatan di atas kegagalan beliau menguruskan PLKN dengan berkesan. DPP Pusat juga menuntut supaya PLKN memberikan tumpuan yang lebih besar kepada membina syakhsiyah peserta melalui program kerohanian dan keagamaan. Kejadian rogol yang terbaru ini sudah cukup untuk PLKN menyedari kelemahan ketara yang sedang berlaku dalam kurikulum PLKN dan ia perlu digubal semula. Oleh itu, DPP Pusat mendesak supaya PLKN dibubarkan untuk sementara waktu bagi membolehkan satu siasatan menyeluruh dibuat dan satu penstrukturan semula dilakukan dari semua aspek.

SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat





___________________________
Terbitan : 20 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]
atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)