Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

BARAT IKTIRAF OIC: ABDULLAH BADAWI JANGAN TERTIPU

KENYATAAN MEDIA (27 APRIL 2004)

BARAT IKTIRAF OIC: ABDULLAH BADAWI JANGAN TERTIPU

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) tertarik dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa dua negara pengganas dunia, Amerika Syarikat (AS) dan Britain telah mengiktiraf peranan Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) terhadap penyelesaian konflik Asia Barat. DPP Pusat melihat pengiktirafan yang dibuat oleh AS dan Britain itu sebagai satu pengiktirafan palsu untuk mengurangkan tekanan umat Islam, dan Malaysia sebagai Pengerusi OIC tidak sepatutnya tertipu dengan helah politik sebegini.

Malaysia sepatutnya menyedari bahawa ini bukan pertama kali AS memberi pengiktirafan kepada Negara-negara umat Islam dalam menyelesaikan konflik Asia Barat, khususnya isu Palestin. AS pernah mengiktiraf Pihak Berkuasa Palestin yang dipimpin oleh Yasser Arafat tetapi membiarkan Israel terus mengganas. AS menaja beberapa perjanjian damai termasuk Perjanjian Oslo, tetapi terus menyokong keganasan Israel. AS dan Britain adalah dua negara munafik yang sentiasa menipu dunia. Hari ini Malaysia diperbodohkan dengan AS memberikan pengiktirafan kepada peranan OIC, tetapi pada masa yang sama AS menyatakan pengiktirafan terhadap keganasan yang dilakukan oleh Ariel Sharon. Tujuan pengiktirafan ini tidak lain, hanyalah untuk mengabui mata dunia dan mengurangkan tekanan daripada umat Islam. AS tidak pernah berniat baik terhadap Islam, dan mereka sentiasa mencari jalan memusnahkan Islam.

Malaysia sebagai Pengerusi OIC sepatutnya berusaha untuk mengemblengkan kekuatan umat Islam bagi menghentikan penindasan di seluruh dunia, khususnya di Asia Barat. OIC tidak perlu untuk mencari pengiktirafan Barat atau memberitahu Barat supaya jangan memusuhi Islam. Allah telah menegaskan bahawa Yahudi dan Nasrani akan sentiasa memusuhi Islam sehingga umat Islam tunduk kepada agama mereka. Tindakan Malaysia cuba mencari sokongan politik daripada AS dan Britian bagi menyelesaikan masalah di Palestin ibarat ‘memberitahu perompak untuk menangkap pencuri’. Adakah Malaysia lupa bahawa Britain adalah negara yang bertanggungjawab terhadap pembentukan negara haram Israel pada 1948 dan AS pula menjadi negara pelindung kepada Israel semenjak selepas Perang Dunia Kedua hingga hari ini.

Adalah amat dangkal bagi Malaysia untuk berbangga apabila kedua-dua ‘syaitan besar’ ini menyatakan pengiktirafan terhadap peranan OIC yang dipengerusikan oleh Malaysia dalam menangani isu Asia Barat. Malaysia sepatutnya melahirkan rasa sedih apabila hanya beberapa negara OIC sahaja yang hadir dalam Mesyuarat Tergempar OIC di Putrajaya untuk membincangkan isu Asia Barat baru-baru ini. Bukankah ini menunjukkan bahawa negara-negara OIC sendiri tidak mengiktiraf peranan Malaysia atau telah melihat Malaysia gagal berperanan dengan berkesan. Malaysia berbangga apabila musuh berlakon kononnya mengiktiraf peranan OIC, tetapi terlupa umat Islam sendiri kesal terhadap kegagalan Malaysia.

SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat





___________________________
Terbitan : 28 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]  atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD (Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)