Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

BAHASA MELAYU LUNTUR: KESAN DASAR BN

KENYATAAN MEDIA (28 APRIL 2004)

BAHASA MELAYU LUNTUR: KESAN DASAR BN

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius dakwaan Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim bahawa penggunaan Bahasa Melayu semakin luntur pada hari ini. DPP Pusat tidak menolak kenyataan ini dan menerima dakwaan Dr Rais bahawa ia berpunca daripada penggunaan bahasa rojak oleh pengguna Bahasa Melayu. Yang dipersoalkan ialah siapakah yang sebenarnya bertanggungjawab menyebabkan bahasa kebangsaan menjadi rojak walaupun ia dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

Dasar Kerajaan BN yang suka merojakkan bahasa kebangsaan dalam institusi pendidikan adalah punca utama masalah ini. Pada suatu ketika dahulu Bahasa Melayu telah diterima sebagai bahasa pengantar dan bahasa ilmu di semua institusi pendidikan, iaitu tempat minda rakyat diasuh. Tetapi kecelaruan dasar Kerajaan BN telah merosakkan kesedaran berbahasa Melayu. Kerajaan BN dengan angkuh menuduh seolah-olah Bahasa Melayu tidak berupaya menjadi bahasa ilmu dan ia dianaktirikan di sekolah-sekolah. Kerajaan BN mewajibkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk subjek sains, matematik dan teknikal. Akibatnya bahasa pendidikan menjadi rojak.

DPP Pusat bukan bermaksud menentang pembelajaran bahasa Inggeris dan DPP Pusat mengakui kepentingan bahasa tersebut. Tetapi cara Kerajaan BN mewajipkan bahasa Inggeris telah memusnahkan kewibawaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Akhirnya sekolah-sekolah dan universiti menjadi tapak semain untuk menanam benih bahasa rojak. Guru-guru dan pelajar di sekolah tidak mahir berbahasa Inggeris terpaksa menggunakan bahasa secara rojak. Bahasa rojak yang mencampurkan pelbagai bahasa ini akhirnya menjadi budaya masyarakat terutama golongan muda. Ditambah lagi dengan kemunculan alat-alat komunikasi yang mempercepatkan penularan bahasa rojak ini.

Kerajaan BN tidak sepatutnya menyalahkan rakyat apabila bahasa rojak berleluasa dan Bahasa Melayu tidak dihormati. Kerajaan BN patut menyalahkan dasar songsang mereka yang tidak yakin kepada bahasa sendiri. Sikap hina diri yang ada kepada pemimpin BN dalam menggunakan Bahasa Melayu menjadi punca kepada kemerosotan imej bahasa kebangsaan ini. Dr Mahathir Mohammad sendiri ketika berucap di hadapan penutur Bahasa Melayu di Indonesia suatu ketika dahulu menggunakan bahasa Inggeris. Begitu juga ketika lawatan ke negara yang tidak berbahasa Inggeris seperti China, Jepun dan Perancis, pemimpin BN lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris untuk diterjemah ke bahasa negara tersebut, sedangkan Bahasa Melayu boleh digunakan. Sikap acuh tidak acuh pemimpin dan Kerajaan BN inilah punca sebenar kemerosotan penggunaan Bahasa Melayu.

SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat





___________________________
Terbitan : 29 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]  atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD (Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)