Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

PONTENG: KERAJAAN PATUT BENDUNG FAKTOR LUARAN

KENYATAAN MEDIA (28 APRIL 2004)

PONTENG: KERAJAAN PATUT BENDUNG FAKTOR LUARAN

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius peningkatan gejala sosial di kalangan pelajar hari ini sehingga polis terpaksa campur tangan dalam urusan sekolah. Semenjak kebelakangan ini, negara telah digemparkan oleh pendedahan tentang kegiatan samseng dan ponteng sekolah. DPP Pusat tidak menolak andaian yang mengatakan kejadian seperti ponteng sekolah ini adalah berpunca daripada kelemahan sistem disipilin, masalah guru-guru, peraturan yang tidak membenarkan guru merotan serta faktor ibu bapa. Tetapi satu perkara yang mustahak untuk diambil tindakan oleh kerajaan ialah faktor tarikan luaran yang merangsang para pelajar ponteng sekolah.

Semenjak polis diberi hak untuk menahan para pelajar yang ponteng sekolah, banyak pendedahan telah dibuat oleh media yang menunjukkan para pelajar yang ponteng sekolah ini berpeleseran di pasar-pasar raya, kelab-kelab hiburan, kelab snooker, pusat permainan video, panggung wayang, taman-taman rekreasi dan sebagainya. Jarang kedengaran bahawa pelajar yang ponteng bersembunyi di hutan-hutan atau bermain di sungai seperti zaman dahulu. Ini menunjukkan bahawa faktor-faktor luaran sangat kuat menarik minat pelajar untuk ponteng sekolah. Mereka yang tidak minat belajar memilih untuk ponteng sekolah, kerana dengan ponteng sekolah mereka dapat bersuka ria di tempat-tempat tersebut.

Adalah amat penting untuk disedari oleh kerajaan bahawa bukan semua pelajar minat untuk belajar. Jiwa muda mereka lebih terangsang untuk berseronok bersama rakan-rakan. Oleh kerana masa untuk berseronok telah habis untuk belajar, maka mereka ini memilih untuk ponteng sekolah bagi membolehkan mereka berseronok. Lebih-lebih lagi pada masa sekarang ini, Kerajaan BN telah menggalakkan budaya mungkar dan hedonistik di kalangan remaja menerusi program Rakan Muda dan juga penganjuran konsert-konsert artis Barat. Ini membarahkan lagi keadaan. Untuk melepaskan nasfu berseronok mereka, para pelajar tidak ada pilihan melainkan ponteng sekolah. Oleh itu, bagi menangani masalah ponteng ini kerajaan mesti bertindak tegas terhadap tempat-tempat yang menjadi ‘port’ kepada pelajar ponteng ini.

DPP Pusat mendesak Kerajaan BN supaya menutup semua pusat-pusat permainan yang menjadi tumpuan para pelajar sehingga mereka sanggup ponteng sekolah. Kerajaan BN juga mesti menghentikan budaya mungkar dan maksiat yang selama ini ditaja sendiri oleh Kerajaan BN. Dua faktor ini terbukti menjadi daya penarik yang penting terhadap perbuatan ponteng sekolah. Tidak ada guna kerajaan membenarkan polis menahan pelajar yang ponteng sekolah, tetapi membiarkan faktor penggalak kepada perbuatan ponteng tersebut. Jika benar Kementerian Pelajaran mahu menghapuskan gejala ponteng ini, Kerajaan BN mesti memastikan pusat-pusat hiburan ditutup sepenuhnya dan program-program hedonistik diharamkan di negara ini.

Selain faktor-faktor luaran yang parah ini, gejala sosial yang berlaku di sekolah-sekolah adalah amat dipengaruhi oleh kurangnya aktiviti keagamaan dan kerohanian. Dasar Kerajaan BN yang cuba menghapuskan unsur-unsur agama di sekolah kini telah menelurkan anasir yang amat negatif ini. Para pelajar sekolah dihalang daripada terlibat dengan aktiviti keagamaan, dan guru-guru juga tidak berminat untuk menyediakan program keagamaan kerana mereka akan dicop sebagai pro-pembangkang. Unsur-unsur agama seperti memakai kopiah dilarang di sekolah. Guru-guru besar tidak lagi meluluskan peruntukan untuk aktiviti keagamaan. Ini semua menjadi punca keruntahan moral pelajar. Kejadian-kejadian yang berlaku di Program Khidmat Negara (PKN) juga berpunca daripada anasir yang sama. Secara psikologinya, para pelajar yang masih muda dan tidak banyak dosa, lebih mudah dibentuk jika dasar kerajaan cenderung kepada agama.

Satu perkara yang perlu juga dipersoalkan ialah keruntuhan moral di kalangan pelajar institut pengajian tinggi (IPT). Kerajaan tidak sepatutnya menyembunyikan perkara ini dengan menimbulkan masalah di sekolah sahaja. Gejala di sekolah telah menular di IPT sekarang ini. Kegiatan maksiat berlaku secara berleluasa sehingga beberapa kes tangkapan khalwat, zina, bercumbu dan berdua-duaan menjadi perkara biasa di IPT. Kes tangkapan khalwat di UiTM Shah Alam dan Segamat menunjukkan keadaan sebenar. Kegiatan ponteng kuliah dan samseng juga berlaku dengan meluas di IPT. Keadaan ini juga berpunca daripada dasar songsang BN yang tidak mahu aktiviti keagamaan diadakan di IPT termasuk usrah, kuliah agama, program kerohanian dan sebagainya. Bahkan persatuan agama juga diharamkan. Akibatnya, peningkatan gejala social di kalangan berlaku mendedak meliputi pelajar sekolah rendah, mengngah dan IPT.

HAJI IDRIS HAJI AHMAD
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat





___________________________
Terbitan : 29 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]  atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD (Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)