Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Teguran ikhlas terhadap Tranungkite dari anak Terengganu.

Assalamualaikum,

Saya dengan ini membantah dengan keras sikap Tranungkite yang akhir-akhir ini bersikap pelik yang pada saya boleh memberi kesan negatif terhadap Parti Pas.

Apakah kesalahan yang dilakukan oleh Tranungkite? Jawapannya ialah, Tranungkite telah menyiarkan teks temuramah dengan Dr Agus, seorang pensyarah di salah sebuah IPTA tanahair. Sedangkan dalam teks temuramah tersebut jelas sekali Dr Agus tidak sedikit pun menunjukkan ianya cenderung kearah Pas tetapi bercakap dengan nada seolah-olah Parti Pas yang sebenarnya lemah sehingga menyebabkan mereka kalah. Untuk apa Tranungkite menyiarkan temuramah yang tidak sedikit pun memberi faedah kepada perjuangan Pas ? Pada saya temuramah dengan Dr Agus bernada negatif terhadap Pas dan boleh melemahkan moral para penyokong Pas yang sudah sedia lemah akibat kekalahan teruk dalam PIlihanraya. Ini kerana hasil dari temuramah tersebut boleh membuatkan para pembacanya sedikit sebanyak percaya bahawa kekalahan teruk Pas kerana kelemahan para pemimpin Pas. Walhal hal yang sebenarnya ialah kekalahan teruk Pas dalam pilihanraya lalu adalah kerana perancangan jahat kerajaan Umno bersama geng-gengnya.

Tetapi dalam hal ini, kelihatan seolah-olah Tranungkite bersikap sebaliknya. Sepatutnya Tranungkite menyiarkan kisah-kisah penipuan yang dilakukan Kerajaan Umno bukannya kisah-kisah seperti temubual dengan Dr Agus yang tidak berfaedah langsung itu.

Media parti Pas amatlah terhad. Kita tidak ada TV dan radio tetapi hanya ada Harakahdaily dan laman-laman web yang lain dan akhbar Harakah. Tetapi amatlah malang walaupun dengan hanya beberapa media ini, kita tidak pandai menggunakannya secara optimum. Sebaliknya kita menyiarkan temuramah dari seorang yang jelas pro kerajaan seperti yang selalu kita lihat dalam televisyen. Mengapa Tranungkite melakukan perkara ini ? Untuk apakah sebenarnya ? Adakah ianya membawa faedah kepada perjuangan Pas ?

Saya cukup marah dengan sikap sebegini yang ditunjukkan oleh Tranungkite. Jangan silap, saya bukannya marahkan Pas bahkan saya adalah penyokong tegar Pas tetapi saya marah kepada Tranungkite.

Seperkara lagi saya minta kepada Tranungkite, jangan siarkan surat-surat dari pembaca yang mengkritik parti dan pemimpin atasan secara keras dan penuh emosi. Kita tak perlukan kritikan sebegini disaat-saat parti baru sahaja dibelasah dengan teruk oleh Kerajaan Umno dan SPR dalam Pilihanraya umum lalu. Ketika ini penyokong-penyokong parti perlu bersatu padu dalam menghadapi kejahatan Kerajaan Umno. kerana itu, Tranungkite janganlah menyiarkan surat-surat bernada negatif terhadap parti dan pemimpin tertinggi yang boleh melemahkan moral para penyokong parti yang membaca tulisan surat-surat sedemikian. Ini kerana sudah pasti ada yang percaya dan bersetuju dengan idea penulis-penulis surat sedemikian.

Bahkan, jangan disiarkan samasekali tulisan dari Saudara Lutfi yang akhir-akhir ini seolah-olah bersikap sama seperti Dr Agus. Mereka sama-sama percaya bahawa kekalahan Pas adalah kerana Parti Pas dan para pemimpinnya adalah lemah.

Saya harap Tranungkite mengambil kira dan menilai baik-baik surat saya ini. Semoga Tranungkite tidak bersikap emosi dan marah terhadap surat saya ini yang secara terang-terang mengkritik Tranungkite. Sesungguhnya sebagai rakyat Terengganu yang cintakan Pas, saya tak sanggup melihat Tranungkite yang bertapak di Terengganu ini bersikap songsang sehingga boleh memberi kesan negatif terhadap Parti.

Semoga Pas berjaya dalam petisyen pilihanraya yang bakal dikemukakan di mahkamah nanti.

Sekian, terima kasih.

Daripada,

Salah seorang penduduk Marang, Terengganu.





___________________________
Terbitan : 14 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)