Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Satu cadangan untuk Tranungkite

Assalamualaikum,

Saya ucapkan terima kasih kepada tenaga kerja Tranungkite kerana telah menyiarkan surat saya semalam. Ternyata Tranungkite tidak takut kepada kritikan dan peka dengan kehendak para pelawat laman web mereka ini.

Cadangan saya untuk Tranungkite. Memandangkan laman web ini berpusat di Terengganu iaitu di daerah Dungun, adalah padan dan amat sesuai sekiranya segala berita dan maklumat yang disampaikan lebih melambangkan semangat Terengganu. Bukan maksud saya jangan disiarkan langsung berita mengenai aktiviti Barisan Alternatif terutamanya Pas dari negeri lain tetapi biarlah ianya lebih 'berat' kepada hal ehwal Pas negeri Terengganu. Nama laman web ini pun Tranungkite, kerana itu amatlah sesuai sekiranya berita-beritanya mengenai Pas negeri Terengganu. Disamping itu siarkan juga berita-berita semasa mengenai Barisan Alternatif dari seluruh negara. Mungkin Tranungkite boleh membuat dasar seperti 60% beritanya mengenai Pas Terengganu dan 40% lagi mengenai Pas pusat/Barisan Alternatif. Ataupun mana-mana yang dirasakan sesuai mengikut idea pengarang Tranungkite. Barangkali Tranungkite boleh mengambil inisiatif menyiarkan berita-berita mengenai Adun-adun Pas yang bertanding dalam pilihanraya umum yang lalu. Kalau pun bukan setiap hari kerana ketiadaan berita dari Adun, sekurang-kurangnya ada usaha kearah tersebut. Dan yang pasti apa-apa berita yang boleh disiarkan dari Tuan Guru Hadi Awang yang kita kasihi itu hendaklah disiarkan.

Bukan saya tidak bersemangat kebangsaan dan bersikap kenegerian menebal tetapi biarlah laman web Tranungkite ini berfungsi sesuai dengan namanya. Dengan itu ianya boleh menjadi sumber rujukan utama bagi seluruh penyokong Pas diseluruh negara untuk mendapatkan berita mengenai Pas Terengganu.

Tranungkite tidak boleh berfungsi sebagai laman web Pas pusat kerana peranan ini telah diambil oleh Harakahdaily. Tetapi ianya amatlah tepat dan sesuai jika ianya berfungsi sebagai sumber maklumat Pas bagi negeri Terengganu disamping pada masa yang sama berfungsi sebagai penyiar berita-berita semasa mengenai Barisan Alternatif/Pas dari seluruh negara.

Lantaran itu 'molek sangatlah' jika gambar disebelah atas laman web Tranungkite diletakkan wajah Tuan Guru Hadi Awang dan mungkin juga disebelahnya boleh diletakkan wajah Dato Mustafa Ali sebagai Ahli Parlimen Dungun (bekas). Dengan itu barulah laman web ini akan kelihatan bersesuaian dengan namanya dan ianya juga akan kelihatan mengambil 'semangat' obor perjuangan dari pemimpin utamanya (berdasarkan wajah Tuan Guru Hadi Awang & Dato Mustafa Ali).

Ingat ! Cadangan saya ini tak lain tak bukan melainkan kerana saya terlalu sayangkan pemerintahan Pas di Terengganu. Bukan tujuan saya untuk mengkritik Tranungkite bahkan saya memuji usaha Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun mewujudkan laman web ini. Cuma cadangan saya ini bertujuan memperkemaskan lagi Pas Terengganu didalam usaha kita menawan semula negeri bertuah yang kaya dengan minyak ini.

Sekian.

Daripada,
Salah seorang penduduk Marang, Terengganu.





___________________________
Terbitan : 17 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]
atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)