Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Mengapa saya berhenti menjadi jurulatih PLKN

fwd-qistina

Mengapa saya berhenti menjadi jurulatih PLKN
Kapten Bersara
3:30pm Thu Apr 15th, 2004

Saya terpanggil untuk memberikankomen terhadap beberapa surat yang telah dihantar oleh pembaca malaysiakini, mereka merupakan ibubapa yang gelisah tentang perlaksanaan PLKN yang sedang berlangsung sekarang. Pandangan mereka supaya PLKN perlu dihentikan adalah wajar dan saya sangat bersetuju. Saya merupakan bekas jurulatih PLKN dalam Modul Pembinaan Karakter (Character Building) yang telah menarik diri dari menjadi jurulatih atas sebab-sebab yang akan Saya kemukakan.

Sebagai seorang bekas pegawai tentera yang pernah menjadi jurulatih di pusat latihan tentera selama lebih lima tahun, saya sangat ingin menyumbangkan tenaga dan pengalaman saya untuk membentuk dan membina karakter yang positif kepada generasi muda kita. Mereka ini ibarat kain putih yang perlu kita corak dan lukiskan dengan imej yang baik, sikap positif dan kelakuan yang terpuji. Namun, semasa saya menghadiri kursus TOT (Training of Trainers) di Bangi, saya mendapati keseluruhan silibusnya menerima pakai silibus dari Barat. Saya tidak pasti daripada mana puncanya, namun jurulatih yang mengajar datangnya dari United Kingdom, Kanada dan Amerika Syarikat. Manual jurulatih juga menerima pakai silibus tersebut. Ramai peserta kursus TOT tersebut tertanya-tanya, mengapa tiada satupun subjek ke arah keagamaan diterapkan di dalam silibus tersebut, yang boleh disesuaikan dengan pelbagai agama anutan peserta PLKN.

Saya tidak menyatakan silibus pengajaran yang sedia ada tidak baik atau tidak sempurna, namunpenambahan dan pengubahsuaian adalah perlu kepada budaya dan adat berbilang bangsa di Malaysia ini. Apabila saya diarahkan untuk melapor ke sebuah IPTA untuk menjadi jurulatih Modul Pembinaan Karakter,pemerhatian saya pada hari pertama pengajaran modul tersebut, mendapatisegala-galanya dalam keadaan yang tidak sempurna. Jurulatih tidak ddibekalkan dengan alat bantuan mengajar seperti Flip Chart, pembesar suara, pemain VCD,pemain audio CD dan sebagainya. Terpaksalah kami bersusah payah mendapatkan segala peralatan tersebut dari rumah, meminjam dan sebagainya. Mengapa berlaku sedemikian? Tender pembekalan alatan tersebut baru dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan pada bulan Mac 2004 (kalau tidak silap saya). Sudahlah kami dibebani dengan masalah ketiadaan peralatan bantuan mengajar, kelas mengajar kami juga sangat sempit untuk menempatkan kira-kira 120 peserta. Maka kami terpaksa terjerit-jerit semasa mengajar kerana ketiadaan alat pembesar suara, berpeluh-peluhdalam keadaan yang panas kerana kelas tersebut sememangnya tiada alat penghawa dingin, bagaikan seperti berada di dalam 'oven'. Oleh kerana peserta PLKN yang kami terima ini majoritinya datang daripada Modul Fizikal yang telah mereka lalui selama sebulan dikem-kem, saya menjangka mereka semua ini sangat berdisiplin dan senang dikawal. Ternyata jangkaan saya meleset. Sebagai bekas seorang pegawai tentera yang berpengalaman menjadi jurulatih di pusat latihan tentera, saya sangat tertekan dan 'sakit jiwa' dengan perangai anak-anak kita ini. Saya tidak mengatakan kesemuanya, tetapi sebilangan kecilnya degil dan tidak mengendahkan arahan. Insiden yang memeranjatkan ialah ada jurulatih PLKN yang telah dipukul oleh peserta PLKN! Mereka inilah yang menjadi 'racun'. Malah diperhatikan, peserta yang datangnya dari rumah lebih berdisiplin dan lebih mendengar kata. Tapi apalah yang mampu kami lakukan. Kami tidak dibenarkan berbuat apa-apa selain daripada mengajar dan membuat laporan sahaja.

Apa yang berlaku kepada mereka sebelum kelas jam 9 pagi dan selepas kelas jam 4.30 petang bukan Urusan kami. Saya tidak menafikan seperti apa yang dilihat oleh ibu bapa yang melawat anak-anak mereka di IPTA, mereka ini seperti 'berpeleseran'dari selepas kelas hingga malam. Mereka melepak di tepi-tepi jalan, di bawah pokok, ada yang berdua-duaan dan pelbagai lagi kelakuan yang sangat menyakitkan mata saya.

Semasa saya menjadi jurulatih di pusat latihan tentera dahulu, perkara ini tidak mungkin berlaku kerana mereka akan sentiasa sibuk dan terlalu letih untuk 'melepak' walaupun selepas kelas. Berbagai aktiviti boleh dilaksanakan untuk mengisi masa lapang. Saya ada terbaca surat dari ibubapa dalam akhbar Berita Harian tiga empat hari lalu yang menyatakan jurulatih PLKN sewajarnya diambil dari kalangan bekas tentera supaya masalah dan gejala bergaduh, melepak dan berperangai tidak senonoh dapat dibendung. Saya sangat bersetuju. Namun saya pasti akan ada kalangan ibubapa pula akan mengungkit bahawa anak mereka dilatih untuk menjadi tentera. Walaupun sekarang ini majoriti jurulatih dari kalangan bekas tentera mengendalikan Modul Fizikal, namun tiada kesinambungan apabila mereka kemudiannya mengikuti

Modul Pembinaan Karakter. Saya mencadangkan agar perlaksanaan PLKN dikaji dan diperhalusi dengan sedalam-dalamnya dari semua aspek. Saya amat pasti sekiranya apa yang berlaku sekarang ini berterusan, objektif PLKN tidak akan tercapai. Malah, kemungkinan boleh membawa kepada gejala sosial di dalam PLKN itu sendiri.

Peserta PLKN sewajarnya telah ditapis semasa mereka menjalani Modul Fizikal dan adalah wajar peserta-peserta yang bermasalah dari segi sikap dan kelakuan, diasingkan dan jurulatih bekas tentera diberi kuasa sepenuhnya untuk memperbaiki mereka ini.

Disebabkan oleh faktor-faktor di atas, saya sangat rasa tertekan dan hati saya memberontak melihatkan perangai sebilangan kecil peserta PLKN yang sangat tidak saya senangi kerana saya tidak diberi peluang untuk memperbaiki mereka. Inilah yang memaksa saya menarik diri. Pendekatan secara psikologi dalam silibus yang diberikansepertimana yang telah ditetapkan dalam Manual Jurulatih, kurang sesuai untuk mereka yang bermasalah. Oleh itu, adalah wajar Kementerian Pertahanan, khususnya Jabatan Latihan Khidmat Negara mengkaji semula perlaksanaan PLKN ini.

Msiakini.com





___________________________
Terbitan : 21 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]  atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD (Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)