Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Respons Kepada Tulisan Inderaloka

Oleh Raja Petra Kamarudin

Saya ingin komen surat Inderaloka di dalam Laman Marhaen hari ini, 23 April 2004, yang bertajuk ‘Kalau Takut Berdemonstrasi Usah Bicara Tentang Reformasi!’.

Terlebih dahulu saya meminta maaf sekiranya bahasa saya kurang ‘standard’ (tidak bermutu). Mungkin yang telah mengikuti tulisan saya di dalam laman FAC, Seruan Keadilan, Harakah, dan seterusnya, sudah mengetahui yang saya biasanya menulis dengan mengguna Bahasa Inggeris dan belum pernah lagi menulis mengguna Bahasa Malaysia. Tetapi, seperti pepatah ‘Orang Puteh’, “there is a first time for everything”. Ia, satu lagi perkara, semasa saya di bangku sekolah dahulu, Bahasa Melayu (semasa itu belum ada lagi ‘Bahasa Malaysia’) mengguna ejaan stail lama seperti ‘e-tanda’ dan ‘e-sengkang’ dan ‘syarat’ dieja ‘sharat’, ‘putih’ ialah ‘puteh’ dan ‘masuk’ dieja ‘masok’. Jadi minta maaf sekiranya ejaan saya ni stail lama (perkataan ‘stail’ pun tidak ada pada masa dahulu tetapi perkataan ‘corak’ diguna).

Inderaloka telah berkata, “Tindakan kurang bertanggung jawab pengendali BBPPRU BA membatalkan Perhimpunan 17 April 2004, nampaknya terus dipertikaikan. Hingga kini tiada seorang pun di kalangan pengendali itu berani muncul untuk mempertahankan `maruah kepimpinan` mereka.”

“Sebagai rakyat marhaen, penulis dan rakan-rakan juang yang lain sentiasa tertunggu-tunggu apakah alasan di sebalik tindakan mereka yang kurang wajar dan kurang ajar itu. Kalau alasannya munasabah tiada sebab kita tidak boleh menerima.”

“Apa pun, jika mereka menganggap luahan rasa rakyat marhaen di gelanggang siber ini sebagai suatu yang tidak perlu dilayani, nescaya mereka sedang menempatkan diri mereka sebaris dengan pemimpin Umno BN yang terkenal dengan seribu kehaprakan itu.”

Yang sebenarnya, memang ada sebab yang munasabah Perhimpunan atau pun demonstrasi itu di batalkan. Keputusan untuk membatalkannya dibuat oleh Biro Politik Parti Keadilan Nasional atas sebab-sebab tertentu. Memang sukar untuk pemimpin keADILan memberitahu umum sebabnya oleh kerana ini melibatkan strategi dan sekiranya strategi ini di beritahu umum, yang bermakna ia juga akan diketahui pihak SB dan Umno, ia tidak lagi akan menjadi strategi. Strategi sepatutnya rahsia.

Selepas Biro Politik keADILan membuat keputusan demikian, maklumat ini telah disampaikan kepada BBPPRU BA. BBPPRU BA pula telah mengumumkan yang sama kepada penganjur Perhimpunan 17 April.

Memang ada yang tidak setuju dengan keputusan tersebut, tetapi dengan sikap disiplin dan mematuhi kehendak majoriti, mereka telah patuh kepada keputusan Biro Politik keADILan dan BBPPRU BA.

Ini penting. Sekiranya pemimpin dan pengikut tidak tahu mematuhi arahan dan keputusan, ringkas cerita, tidak berdisiplin, maka punahlah parti kita. Arahan patut dipatuhi, walaupun kita setuju dengannya atau tidak. Ini yang PAS tahu buat tetapi kita di dalam keADILan tidak memahami. Sebab itu PAS kuat dan kita lemah.

Satu perkara yang menjadi curiga kepada semua pihak ialah tema Perhimpunan tersebut. Ianya dianjurkan di bawah naungan ‘Black 14’. Black 14 ialah memperingati hari hukuman Anwar Ibrahim di bawah dakwaan yang pertama, ‘salah guna kuasa’, pada 14 April 1999. Kalau demikian, sebab apa pula BBPPRU BA yang menganjur Perhimpunan tersebut apabila BBPPRU BA ialah jawatankuasa bagi menyiasat penyelewengan PRU 11 baru-baru ini dan ditubuhkan untuk mengumpul bahan bukti bagi mengambil tindakan undang-undang termasuk tindakan mahkamah terhadap pihak SPR?

Penyokong Reformasi dari seluruh Malaysia telah dikerah untuk turun ke Kuala Lumpur pada hari Sabtu tersebut. Pada mulanya mereka telah disuruh berkumpul di Padang Merbok. Alasan yang diberi ialah kerana tapak ini dekat dengan bangunan Parlimen, jadi senanglah untuk berarak ke Parlimen yang dikatakan akan bersidang pada masa itu. Tujuan berarak ke Parlimen ialah untuk protes, tetapi tidak jelas hendak protes apa.

Kemudian, ini telah ditukar ke Masjid Negara pada jam 1.30 untuk bersembahyang Zohor, dan seterusnya berarak ke Ibu Pejabat SUHAKAM. Akhirnya, ia diubah sekali lagi ke jam 2.00 di SUHAKAM atas alasan yang pihak polis akan sekat jalan ke SUHAKAM dan mungkin ramai tidak akan dapat sampai ke SUHAKAM. Oleh kerana demikian, lebih wajar sekiranya semua terus ke SUHAKAM dan berkumpul disitu.

Soalan yang telah timbul dengan rancangan yang terbaru ini ialah apa kita akan buat di SUHAKAM? Pihak SUHAKAM telah memberitahu penganjur Perhimpunan tersebut yang SUHAKAM akan tutup pada masa itu dan tidak ada seorang pun Pesuruhjaya (Commissioner) yang boleh bertemu dengan wakil Perhimpunan itu. Kalau kita nak datang ke SUHAKAM, buatlah temujanji (appointment) terlebih dahulu dan datanglah pada waktu pejabat.

Ini bermaknanya, apa yang kita boleh buat pada hari itu ialah hanya berdemo sahaja. Tetapi demo apa? Memprotes kezaliman yang telah dilakukan kepada Anwar Ibrahim atau memprotes penyelewengan PRU 11? Ini juga tidak jelas.

Memandangkan yang penyokong-penyokong Reformasi mungkin akan menganggap yang mereka telah ditipu oleh BBPPRU BA, iaitu mereka menganggap yang Perhimpunan tersebut ialah bantahan penyelewengan PRU 11 pada hal yang sebenarnya ianya Perhimpunan ‘Black 14’ memperingati kezaliman terhadap Anwar Ibrahim dan tidak berkait langsung dengan PRU 11, lebih baik ianya dibatalkan.

Satu lagi perkara yang merunsingkan ialah mesej-mesej di dalam Internet telah menyuruh semua penyerta membawa senjata termasuk pisau lipat. Mungkin ada unsur-unsur sabotaj yang mungkin ada yang cuba untuk menimbulkan huru-hara. Kalau ini berlaku, tumpah darah akan berlaku pada hari itu a la 13 Mei. Ini sangat bahaya dan mungkin lebih baik Perhimpunan itu dibatalkan saja.

Pihak polis juga telah memberi amaran yang tangkapan akan berlaku sekiranya Perhimpunan diteruskan. Sekiranya Perhimpunan tersebut ialah untuk menyerah memorandum kepada SUHAKAM dan pihak SUHAKAM bersedia menerima memorandum itu, pihak polis tidak boleh buat apa-apa. Kalau tidak, ini akan merupakan Perhimpunan haram dan pihak polis akan bertindak.

Pada satu mesyuarat yang telah diadakan tidak lama dahulu, Reformis-reformis telah berkata mereka bersedia menyertai mana-mana demonstrasi yang dianjurkan oleh Pergerakan Reformasi atau mana-mana pihak. Tetapi, sekiranya berlaku tangkapan, maka menjadi tanggungjawab pihak penganjur untuk membayar duit ikat jamin (bail money). Ini boleh meningkat kepada RM5,000 seorang. Sekiranya 20 orang ditangkap, ini akan memerlukan RM100,000.

Sekiranya pihak polis menetapkan ‘ikat jamin mulut’ (police bail), tidak mengapalah. Tetapi, kalau di bawah ke majistret untuk di dakwah (charge) di bawah kesalahan ‘perhimpunan haram’ (illegal assembly), ini akan lebih menyukarkan keadaan. Petang Sabtu ialah masa cuti, jadi mereka akan ditahan di lokap untuk dua malam dan hanya pada hari Isnin baru di hadapkan ke majistret untuk dicharge dan diikat jamin. Ini pun kalau mereka tidak di reman beberapa hari lagi untuk ‘siasatan lanjut’.

Memandangkan Perhimpunan 17 April pada asalnya dianjurkan di bawah nama BBPPRU BA, maka jadi tanggungjawab BBPPRU BA menyediakan duit ikat jamin, kalau mengikut kehendak para Reformis yang telah meletak tanggungjawab menyediakan duit ikat jamin kepada penganjur.

Inderaloka telah menutup dengan berkata, “Fikirkanlah wahai para pembesar BA, bilakah lagi tuan-tuan semua ingin membebaskan diri dari kepompong `syok sendiri` yang tak bertepi itu? Ingat pesanan Anwar; “Kalau takut menanggung risiko jangan bicara tentang perjuangan.” Bukankah sama ertinya; “Kalau takut berdemonstrasi jangan bicara tentang reformasi!”

Ia. Memang betul. Tetapi pemimpin BA boleh juga berkata, “Kalau takut ditangkap dan takut tidak berupaya membayar duit ikat jamin, janganlah bicara tentang berdemonstrasi.” Pada sekarang ini, beban menyediakan duit ikat jamin diletak kepada pemimpin BA. Saya tahu yang setakat ini beratus-ratus ribu Ringgit telah dibelanjakan oleh beberapa pemimpin BA untuk ‘sponsor’ duit ikat jamin dan sehingga hari ini semua duit itu masih terlekat sebab kes-kes perhimpunan haram semuanya belum selesai lagi. Banyak mana lagi nak suruh mereka sponsor? PRU 11, yang juga menelan begitu banyak modal, baru selesai. Adakah Inderaloka menganggap yang pemimpin BA ini semua jutawan (millionaire)?

Yang sebenarnya, apa yang saya ceritakan ini hanya sebahagian kecil saja. Banyak lagi yang tidak dapat saya ceritakan oleh kerana ini melibatkan strategi dan isu dalaman. Kalau saya ceritakan di sini ia akan menjadi pengetahuan SB dan Umno. Yang perlu kita ingat di sini ialah cerita tentang Darurat atau Emergency di Malaya semasa sebelum dan selepas Merdeka dahulu.

Pihak Chin Peng dan Komunis menggunakan strategi terrorisme. Pihak British, mengetahui yang mungkin pihak Komunis akan menang sekiranya mereka juga menggunakan taktik yang sama, telah menukar strategi mereka kepada “winning the hearts and minds of the people”. Akhirnya pihak British telah menang.

PRU 11 baru-baru ini telah membuktikan yang BA juga perlu mengguna strategi “winning the hearts and minds of the people”. Soalannya, bagaimana ini boleh dicapai dan adakah secara berdemonstrasi ini akan tercapai?

Perlu direnung oleh semua, takut nanti demonstrasi hanya ‘syok sendiri’ dan pengundi tidak tumpang syok.

Raja Petra Kamarudin
http://www.freeanwar.com/
http://www.freeanwar.net/
http://www.seruankeadilan.com/





___________________________
Terbitan : 25 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]  atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD (Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)