|

|
SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun |
|
IBLIS CEMBURUI NABI ADAM
Nabi Adam diciptakan Allah di dalam syurga. Di situ
Nabi Adam tinggal bersama pasangannya, Hawa. Iblis
yang memang membangkang akan kehadiran Adam di syurga
menyimpan dendam kesumat yang tidak sudah-sudah untuk
menghancurkan kehidupan Nabi Adam. Dia tidak reda
mengganggu sehinggalah Adam tersingkir dari Syurga.
Iblis menunggu-nunggu peluang untuk merosak dan
menyesatkan Nabi Adam dan Hawa. Peluang yang
ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Iblis tahu bahawa dia
sukar untuk mempengaruhi Nabi Adam. Oleh itu jalan
terbaik ialah dengan mempengaruhi Hawa supaya mengikut
pujukannya. Jika perangkap ini berhasil, iblis percaya
Hawa akan pula mempengaruhi Adam dan akhirnya Adam
akan terperangkap.
Setelah memasang strategi, Iblis tanpa berlengah lagi
memulakan perancangannya. Sambil duduk berhampiran
pokok khuldi, Iblis pura-pura menangis teresak-esak.
Hawa tidak sedar tipu muslihat iblis. Melihat keadaan
yang terharu itu, Hawa menjadi kesihan lalu
menghampiri Iblis sambil bertanyakan gerangan apa yang
ditangisinya. Sang Iblis mula memasang perangkap
dengan mengatakan dia menangis kerana bersimpati
dengan Adam dan Hawa yang dilarang dari memakan buah
khuldi. Katanya jika Adam dan Hawa memakan buah khuldi
itu, mereka akan terus kekal di syurga. Tambahan pula
rasa buah khuldi itu amat lazat.
Mendengar kata-kata 'nasihat' itu, Hawa menjadi
ragu-ragu dan akhirnya percaya apa yang didengarnya.
Apabila berjumpa Nabi Adam, Hawa dengan gaya memujuk
mula merayu agar memakan buah khuldi yang dilarang
oleh Allah. Walaupun pada mulanya Nabi Adam takut
untuk melanggar larangan Allah, namun setelah
berkali-kali dipujuk dengan kata-kata yang lunak,
akhirnya mengalah. Mereka berdua menghampiri pokok
khuldi dan Hawa terus memetik buah itu lantas
memakannya. Perbuatannya diikuti oleh Nabi Adam.
Sebaik saja mereka memakan buah khuldi, pakaian
syurganya mula tanggal. Allah mencela perbuatan
mereka. Barulah ketika itu, Nabi Adam sedar akan
ketelanjurannya melanggar perintah Allah. Mereka
berdua menyesal dan bertaubat tidak akan melanggar
lagi perintah Allah. Permohonan Nabi Adam diterima
Allah namun harapannya untuk terus tinggal di syurga
hancur. Allah memerintahkan mereka berdua turun dari
syurga yang penuh dengan segala kenikmatan ke bumi
yang penuh dengan kepayahan dan kesusahan.
Bermula dari detik inilah, maka wujudnya generasi Adam
hinggalah ke hari ini. Kita adalah dari keturunan Nabi
Adam. Kita dihidupkan di dunia buat sementara waktu
untuk diuji siapa di antara kita yang baik amalannya.
Sekiranya kita lulus ujian ini, kita akan dikembalikan
semula ke syurga. Sebaliknya jika gagal mematuhi
perintah Allah, kita akan dicampakkan ke dalam neraka
yang penuh dengan azab.
Sebagai penutup, sama-samalah kita muhasabah diri kita
sejauh manakah kita menjalani liku-liku hidup ini.
Adakah kita berjaya di dalam ujian ini atau
sebaliknya? Tidak ada daya dan kuasa mematuhi
perintahNya kecuali dengan pertolongan Allah.
Sama-samalah kita bermohon semoga kita sentiasa di
dalam pemeliharaanNya. Amin..
Moral Dan Iktibar
Manusia termasuk diri kita adalah dari keturunan Nabi
Adam.
Kita adalah sebaik-baik makhluk yang dijadikan Allah
sehingga dicemburui oleh Iblis
Iblis adalah musuh kita yang nyata. Dia tidak akan
leka walau seminit untuk menyesatkan kaum manusia
sebagaimana dia telah menyesatkan datuk dan nenek kita
dahulu.
Iblis telah berjanji sejak azali lagi untuk
memesongkan manusia dari aqidah sebenar yang dibawa
oleh agama Islam.
Sifat dendam, hasad dan dengki adalah sifat syaitan
yang sepatutnya kita jauhi
Syaitan mempunyai strategi yang amat halus untuk
mengalahkan manusia. Mereka tidak ada kerja lain
kecuali memasang perangkap yang sangat sesuai dengan
diri dan nafsu kita. Oleh sebab kita yang sememangnya
sibuk dengan urusan dunia dan kehidupannya terlupa
akan musuh yang siap sedia memerhati kelemahan kita
supaya dapat ditipunya.
Manusia harus siap-siaga melawan pengaruh dan
tipu-helah syaitan kerana dia nampak kita tetapi kita
tidak dapat melihatnya. Kebiasaannya orang yang nampak
musuhnya amat senang mengalahkannya tetapi kita yang
tidak dapat melihatnya memang sukar menepis
pukulannya. Sungguhpun begitu kita mempunyai senjata
yang amat berkesan iaitu mengingati dan menyerah diri
kepada Allah yang menjadikan kita dan juga dia.
Perempuan adalah dari golongan lemah yang mudah
ditawan oleh syaitan. Semasa Nabi Muhammad saw mikraj
ke langit, Allah memperlihatkan ramai penghuni neraka
adalah dari kaum perempuan.
Berjaga-jaga dengan kaum perempuan kerana mereka
mempunyai potensi untuk merosakkan kehidupan kaum
lelaki. Kaum lelaki yang menjadi ketua kaum wanita
mesti menjaga mereka sebaiknya supaya mereka tidak
menjadi perosak masyarakat dan kemanusiaan amnya.
Tempat asal manusia ialah syurga. Oleh itu perlulah
kita berusaha supaya dapat kembali ke tanah asal kita
di sana.
Peristiwa yang dialami oleh Adam dan Hawa sebenarnya
adalah satu sebab yang Allah jadikan supaya generasi
manusia berkembang dan membiak di muka bumi ini.
Tujuannya tidak lain hanya untuk menjalani satu
hukuman dan melihat sejauh manakah kita menginsafi
diri dalam menjalani proses pengabdian kepada Allah.
Pujukan manis dari sesiapa saja sepatutnya jangan
diterima dengan senang hati kerana kemungkinan ada
udang di sebalik batu.
Kemungkinan sekali orang yang merosakkan diri kita
ialah terdiri daripada mereka yang hampir dengan diri
kita iaitu isteri dan anak-anak.
Manusia mudah lupa kepada musuhnya iaitu iblis tapi
iblis dan syaitan tidak pernah melupai kita.
Sekiranya kita sesat di hujung jalan, kita masih
berpeluang untuk balik ke pangkal jalan. Selagi nyawa
belum sampai di khalqum, kita masih boleh bertaubat.
Insyallah taubat kita akan diterima Allah jika
benar-benar kita insaf dan tidak mahu mengulangi
kesalahan tersebut.
___________________________
Terbitan : 26 April 2004
Ke atas
Home
|
|