Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Kenapa perlu perhimpunan rakyat 17 April ditangguhkan?

Penangguhan perhimpunan rakyat pada 17 April ini di perkarangan pejabat SUHAKAM amat mendukacitakan.

Sekali lagi rakyat ditipu oleh pimpinan parti politik yang tidak mempunyai integriti dan keberanian. Apakah perhimpunan bantahan rakyat hanya aktiviti sia-sia? Saya harap, Sdr Abd Rahman Othman mendalami balik kenyataan beliau.

Pandangan dan alasan yang dangkal hanya sebagai alasan untuk menangguhkan perhimpunan rakyat. Kenyataan yang sama dan senada dengan apa yang telah dikeluarkan oleh Sdr Zahid Mat Arip pada perhimpunan rakyat Black 14 tahun yang lalu. Sekarang Zahid Mat Arip telah pulang kepangkuan UMNO untuk selamanya. Apakah Abd Rahman Othman akan menjejaki langkah rakannya yang tidak berapa stabil itu atau beliau mempunyai agenda lain? Semestinya, apa pun alasan beliau, kita sebagai rakyat tidak perlu ambil tahu. Telah tersedia maklum, orang politik mesti cakap politik. Tetapi, kenapa perlu menipu rakyat dengan cakap-cakap politik anda??

Dalam keghairahan dan persiapan rakyat untuk sama-sama memberi sokongan kepada perhimpunan bantahan tersebut, Abdul Rahman Othman dan kuncu-kuncunya dengan selamba membatalkan hasrat tersebut. Sekali lagi, kemarahan rakyat terhadap SPR yang bersetongkol dengan BN untuk menipu dalam pilihanraya umum ke 11 yang lalu, telah dipadamkan serta merta. Segalanya anti-klimaks. Seluruh negara diadakan roadshow penerangan untuk membangkitkan semangat rakyat, tetapi kesudahannya hanya satu pengumuman pembatalan. Untuk apa semua itu?

Pengumumam pembatalan hanya dibuat melalui Harakahdaily tanpa sebarang alasan. Hanya laman FAC yang menyusul kemudian menyiarkan alasan-alasan penangguhan yang sememangnya tidak masuk akal.

Alasan Abd Rahman Othman adalah, bantahan kepada SUHAKAM tidak akan 'kemana' dan membuang masa! Memang tepat telahan Sdr Abdul Rahman. Sememangnya bantahan kita ke SUHAKAM tidak kemana. Satu dunia tahu, SUHAKAM masih dalam kongkongan kerajaan yang memerintah dan tidak bebas. SUHAKAM juga seperti agen-agen BN yang lain. Semua kita tahu dan faham. Tetapi, adakah bantahan kita melalui mahkamah akan 'kemana'? Apakah hujah dan andaian Abdul Rahman yang masih mengharapkan keadilan dari mahkamah kanggaroo Malaysia? Peristiwa Anwar Ibrahim telah menceritakan segala-galanya. Ataupun saudara buat-buat tak faham? Ataupun ada udang disebalik batu diatas pengumuman pembatalan ini.

Pengumuman pembatalan diselitkan, "ceramah tetap diadakan juga di Melewar, semua rakyat dijemput hadir". Apakah topik perbahasan di Melewar agaknya? Seandainya perhimpunan dibatalkan, selayaknya ceramah klimaks juga patut dibatalkan! Hampir dua minggu lebih, saban malam di seluruh negara diadakan ceramah oleh jawatankuasa ini, dan selama itulah dicanangkan klimaks perhimpunan ini adalah di perkarangan SUHAKAM pada 17 April di Kuala Lumpur. Kalau perhimpunan bantahan di pejabat SUHAKAM tidak kemana, rasanya ceramah di Melewar ni pun, tidak akan kemana. Membuang masa dan tenaga!!

Kenapa kita pihak BA tidak langsung belajar dari kesilapan? Kenapa kita tidak pandai-pandai membuat perancangan dan mengambil keputusan? Apakah kita ketandusan ilmuan sains politik ataupun kita hanya tidak bersepakat atau apa? Rata-rata barisan pemimpin kita adalah profesional belaka, malahan PhD dalam bidangnya. Semua diri kita adalah cerdik tetapi bodoh dalam kecerdikan sendiri.

Pemimpin terdahulu yang kita rindui dan kita sayangi, Allayarham Dato Fadzil Noor hanya satu-satunya pemimpin yang telah diakui kecerdikannya dalam berpolitik. Dengan pantas GERAK ditubuhkan setelah Anwar Ibrahim 'dipancung', natijahnya kita dapat merampas Trengganu. Beliau bukan mengambil kesempatan, tetapi 'kesempatan dalam politik' yang kena pada masa dan ketika. Amarah rakyat yang tinggi dan rakyat dalam kebingungan telah dijadikan elemen penting untuk dimanipulasikan semaksima mungkin. Tetapi, kenapa pelapis pemimpin kita sekarang tidak pandai mengambil kesempatan begitu? Selogiknya, keputusan PRU yang menggila dan SPR dalam kepanasan adalah 'bola tanggung' untuk BA, tetapi kita masih lagi beretorik di pentas ceramah tanpa ada tindakan susulan? Adakah Abd Rahman Othman berani menyatakankan bahawa GERAK juga sesuatu yang sia-sia?

Sudah banyak pandangan-pandangan rakyat disiarkan di Harakahdaily dan lain lain laman web pro-reformasi menyatakan bahawa perhimpunan rakyat sememangnya perlu dan paling sesuai untuk meluahkan bantahan kita pada masa ini. Tetapi, semua pandangan rakyat adalah sia-sia dan tidak kan kemana selagi pemimpin seperti Abdul Rahman Othman masih kekal di situ.

Sekian. Terima kasih

oleh UCOPDEMO





___________________________
Terbitan : 18 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]
atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)