Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Respond Terhadap Kritikan Ke atas Jamaah Tabligh

Puji2an kepada Allah, selawat dan salam ke atas Nabi s.a.w.

Saya terpanggil untuk memberikan sedikit pendapat berhubung isu yang dipertikaikan. Insyaallah saya akan cuba mengulas isu ini berdasarkan hujah umum, nas agama dan pengalaman saya sendiri.

Pada saya membuat kesimpulan ( Tabligh Pro UMNO) berdasarkan pendapat beberapa pengikut Tabligh adalah tidak kukuh, tersasar dan tidak boleh dijadikan hujjah tentang apa yang dipegang oleh jemaah itu. Sekurang2nya kita perlu mendapat anggaran jumlah pengikut tabligh di M'sia kalaupun tidak diseluruh dunia terlebih dahulu bagi menentukan peratusan statistik bagi menyokong hujjah yang kita cuba utarakan. Kalau setakat berbincang dengan beberapa orang ahli jemaah sahaja lebih-lebih lagi tanpa mengetahui latarbelakang agama mereka sebelum Tabligh (mungkin kutu rayau, samseng atau pengikut UMNO berkarat) serta kedudukan mereka di dalam jemaah (pengikut baru atau lama) atau apa maslahah yang sedang mereka hadapi demi perjuangan yang mereka sayangi, saya kira tidak ada apa yang layak disimpulkan. Cukuplah jika direnung sejenak, kalau dalam keadaan sekarangpun jemaah mereka berhadapan dengan tentangan yang bukan sedikit, dihalau dari memasuki masjid, surau dan kampung di sesetengah tempat, selain nafsu serakah dalam diri yang memang sentiasa dibelit duniawi, fikirkanlah apa akan terjadi jika mereka mengisytiharkan pendirian mereka menyokong PAS!!. Memang mudah untuk berkata, kalau takut dipukul ombak, janganlah berumah di tepi pantai. Tapi fikirkan juga apa akan jadi jika tiada dakwah kepada Allah dan akhirat kedengaran di pasar-pasar, lorong-lorong sempit kampung dan bandar kita. Cuma kalau kita mau berfikir sedikit, ke arah apa yang diseru mereka iaitu " 100% Perintah Allah dan sunnah rasul s.a.w. di dalam kehidupan" maka saya kira ianya jelas merujuk segalanya e.g. sosial, ekonomi dan politik. Namun jika ada dikalangan pengikut yang tidak faham intipati perjuangan mereka dan bertindak diluar tertib yang digariskan, maka Tabligh tidak seharusnya dipersalahkan. Sama juga jika Islam tidak difahami dan dipraktikkan dengan betul oleh sebahagian UMNO atau PAS, maka Islam tidak harus dipersalahkan.

Saya mengenali seorang penyokong kuat UMNO di Kelantan satu masa dulu (1980). Adiknya adalah penyokong kuat PAS. Segala cara telah digunakan oleh adiknya untuk menarik beliau kepada Islam dan PAS, tetapi gagal. Sehingga satu ketika beliau telah mengikut Tabligh dan lama kelamaan telah dapat dijinakkan kepada Islam dan PAS. Saya juga pernah mengenali beberapa saudara baru (mualaf), bekas ahli muzik, kepala samseng dan kaki pukul, penagih tegar, malah mereka yang sudah disytiharkan "orang Islam yang tidak mungkin dapat dibaiki" oleh ustaz2, tok guru dan orang2

PAS sendiri, telah berjaya dipujuk oleh Tabligh dan dijinakkan dengan Islam. Oleh itu tidak tepat jika dikatakan sasaran Tabligh ialah orang PAS atau orang2 di dalam masjid yang dah baik sahaja. Malah kalau diperhatikan, Tabligh lah yang berperanan memujuk mereka kepada masjid dan Islam, walaupun kemudiannya mereka dilamar oleh ustaz2 dan PAS sendiri. Ketika mereka bergelumang maksiat tiada siapa yang ingin mendekati mereka sebaliknya mereka dikutuk. Ini adalah kerana di dalam Tabligh seperti kebanyakkan rasul dan sahabat r.hum, mereka pergi kepada orang ramai dengan kasih sayang dan bukannya menunggu orang mendatangi mereka.

Ketahuilah pengikut jemaah ini wujud di seluruh pelusuk dunia dan terdiri dari pelbagai golongan masyarakat dari buruh e.g. pemungut sampah, penoreh getah hinggalah ke peringkat pengurusan atasan e.g CEO syarikat gergasi, penduduk setinggan hingga bungalow atas bukit, tak pandai baca fatihah, ahli muzik hingga ke mufti dan alhafiz, ahli-ahli parti politik umno,pas, keadilan, DAP dan berbagai lagi. Mereka berkongsi aspirasi yang satu, iaitu menjadi hamba allah (Abdi - "tidak Ku ciptakan Jin dan Manusia melainkan untuk menjadi hambaku (ibadat)- al-ayat ) dan penyebar agamanya (Da'i - "kamu adalah sebaik2 umat yang diciptakan untuk manusia, kamu mengajak kepada kebenaran dan mencegah kemungkaran, dan kamu beriman kepada Allah - al-ayat ). Mereka cuba mendekatkan diri dengan Islam melalui enam prinsip asas iaitu Tauhid, Solat, Ilmu & Zikrullah, Ukhuwah Islamiyah, Ikhlas dalam perbuatan dan akhir sekali jihad fi-sabilillah. Mereka ber uzlah (mengasingkan diri dari aktiviti keduniaan) di masjid2 dan surau melalui beberapa tertib yang tertentu (12 tertib/usul asas ) berusaha menanamkan kesemua prinsip2 tersebut di dalam diri. Jika mereka ke negara bukan Islam misalnya negara bekas SOVIET, mereka berkhemah di tepi jalanraya, landasan keretapi atau di mana-mana sahaja yang sesuai. Mereka membuat latihan bagi menjadikan kesemua tertib, yang sememangnya sukar untuk diamalkan itu, menjadi darah daging dan amalan harian di dalam rumahtangga dan tempat kerja. Melalui jalan tersebut mereka memperkasakan Tauhid, memperelokkan Solah agar khusyuk dan mempunyai roh, menerangi ilmu dengan cahaya dan zikrullah, memupuk kasih sayang sesama muslim, membina sifat2 mahmudah (terpuji) dan menjadi orang2 yang sentiasa berjihad dengan harta dan diri untuk Islam. Melalui jihad, mereka akan sentiasa berada atas landasan hidayah berdasarkan firman Allah " dan orang2 yang berjihad untuk kami (Allah), maka kami akan sentiasa memberikan hidayah (petunjuk) kepada mereka kearah jalan-jalan kami". Dengan hidayah itulah seseorang akan melihat kemurniaan, kehebatan dan yakin dengan Islam serta mempunyai kekuatan untuk mengamalkannya secara syumul dan tercegah dari kemungkaran. Mereka lakukan pengorbanan itu dengan diri dan harta tanpa mengharapkan imbuhan dunia baik berupa ganjaran,pujian atau penghormatan selain dari allah dan akhirat.

Benarkah Tabligh tidak mencegah kemungkaran?? Saya kira tanggapan ini kurang tepat walaupun saya sendiri kurang jelas apa yang dirujuk oleh penulis. Mungkin kekeliruan ini timbul kerana Tabligh tidak menyatakan isu dengan jelas atau pendekatannya lebih bersifat positif. Tabligh mencegah orang yang meninggalkan solah dengan cara menerangkan kepadanya kelebihan solah, mencegah orang yang rasuah dan tidak amanah dengan cara menanam tauhid (allah maha melihat, mendengar dan maha mengetahui), memberi teguran kepada pemimpin angkuh dengan cerita-cerita al-quraan - Firaun, Namruz, Haman dan lain-lain, menanam rasa benci terhadap kekufuran melalui cerita2 sahabat. Teringat satu kisah seorang sahabat bertemu rasulullah s.a.w.dan bertanya " Ya Rasulullah, bagaimana dengan seorang yang bersolah tetapi mencuri. Jawab nabi," Biarlah dia terus bersolah kerana satu masa tabiat mencurinya akan dihentikan dengan solah". Oleh itu, ada banyak pendekatan kepada sesuatu masalah. Selagi pendekatan tersebut halal, kurang kontroversi dan mencapai maksud, maka saya kira ianya adalah pilihan terbaik dan kita hendaklah membenarkannya.

Kesimpulannya, Tabligh dan PAS harus dilihat sebagai saling melengkapi antara satu dengan yang lain. Bukannya sebagai saingan untuk dituduh, difitnah, dikeji dan disisih oleh jemaah masing-masing.

Sekian, wassalam.

USTAZ BLUES





___________________________
Terbitan : 16 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)