Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

SPR - `SURUHANJAYA PILIHAN RASHID?', DARI MANUSIA JADI KAMBING?

Apabila saya mengikuti kenyataan Dato' Rashid selaku Pengerusi SPR di dalam TV baru-baru ini yang menganggap beliau telah di `kambing hitam'kan oleh syarikat percetakan yang telah melakukan kesalahan cetak pada kertas undi Sg Lembing baru-baru ini, saya merasa lucu dan pelik dengan kenyataan tersebut. Dato' Rashid adalah seorang pegawai tinggi kerajaan yang sudah tentu terpilih dan bijaksana untuk mengetuai SPR sebuah badan terpenting di dalam merealisasikan demokrasi di negara ini. Bagaimana mungkin orang cerdik pandai seperti beliau boleh menjadi `kambing'? Yang lucunya `kambing hitam' pula. Peliknya pula, yang meng`kambing'kan beliau adalah pekerja-pekerja syarikat percetakan yang mungkin berpendidikan SRP atau SPM.

Saya tidak bersetuju bahawa syarikat percetakan bertanggungjawab meng`kambing'kan Dato' Rashid. Hakikatnya beliau samada sedar atau tidak telahpun menjadi kambing beberapa bulan sebelum pilihanraya umum ke 11 lagi. Yang bertanggungjawab menjadikan beliau `kambing hitam' kalaupun tidak `kambing kurap' adalah UMNO/BN. Beberapa bulan sebelum pilihanraya umum ke 11 banyak perkara kontroversi yang timbul yang telahpun menunjukkan tanda-tanda Dato' Rashid di dalam `proses peralihan' dari seorang manusia bermaruah kepada seekor `kambing hitam' yang jelek. Beliau harus muhasabah diri sendiri dan bertanya kepada diri beliau sendiri selama bilakah beliau harus terus menjadi `kambing'.

Mengapa syarikat percetakan menjadi mangsa kemarahan Dato' Rashid? Dari segi lojiknya, setelah semua kertas undi dicetak, masakan tiada pemeriksaan dibuat oleh SPR bagi menentukan kertas-kertas undi tersebut mencukupi jumlah yang perlu dicetak serta lambang yang dicetak adalah betul? Beliau menyatakan bahawa selepas kertas tersebut dicetak, syarikat tersebut tidak menunjukkan kepada SPR untuk diperiksa. Ini menunjukkan bahawa SPR tidak mengambil tahu berapa banyakkah jumlah kertas undi sebenar yang perlu dicetak dan hanya percaya bulat-bulat kepada syarikat percetakan semata-mata. Oleh itu, tidak hairanlah kita melihat begitu banyak kertas-kertas undi yang berlebihan di merata-rata tempat dan negeri.

Oleh kerana begitu banyak akta dan undang-undang baru diperkenalkan oleh SPR, menjadikan badan itu lupa kepada etika dan tanggungjawab mereka sendiri terhadap SPR. Maka, SPR yang dahulunya dikenali sebagai SURUHANJAYA PILIHAN RAYA kini lebih sinonim dipanggil `SURUHANJAYA PILIHAN RASHID'. Saya mencadangkan kepada Dato' Rashid agar janganlah menuding jari merata-rata untuk menutup moral beliau yang rendah itu, kerana walau di mana jua anda berada dan bersembunyi di mana sekalipun jika sudah `kambing hitam', bau `kambing'nya tetap kita tahu. Kita bukan berniat untuk menuduh beliau `kambing hitam', tetapi beliau sendiri yang mengaku bahawa beliau telahpun di`kambing hitam'kan. Teringat kita kepada kenyataan bekas pemimpin negara kita yang mengaku bahawa `Sayalah Mahafiraun'.

ZULHAZMI NS





___________________________
Terbitan : 15 April 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)