|

|
SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun |
|
Perutusan Hari Pekerja Presiden KeADILan
SETIAP kali tibanya satu Mei sambutan pekerja dihargai dengan diberi cuti umum selama sehari.
Saban tahun sambutannya begitu 'stereoptype' disusuli dengan mengadakan perhimpunan besar-besaran bagi merai serta menghargai jasa dan sumbangan pada pekerja terhadap negara.
Namun, apakah sambutan serta pengiktirafan yang diberikan itu benar-benar menghargai serta membela nasib pekerja di negara ini.
Sambutan besar-besaran yang diberikan itu adakalanya bersifat retorik semata-mata. Sementara ribuan pekerja dihimpunkan bagi acara sambutan, jutaan lagi nasib pekerja tidak terbela.
Soal gaji minimun bagi pekerja ladang masih tidak selesai sehingga kini. Soal perumahan pekerja pula hanya dianggap isu remeh bagi para majikan.
Membicarakan soal prasarana hidup, hak mendapat faedah kesihatan dan pengajian bagi anak-anak pekerja amatlah memilukan.
Janji yang ditabur hanya tinggal janji. Sang majikan hanya terus rakus memerah kudrat dan keringat para pekerja untuk terus mengaut keuntungan jutaan ringgit. Sang pekerja pula, demi sesuap nasi, terus akur menerima keputusan majikan walaupun hati terus merintih.
Rasulullah s.a.w. bersabda "berilah upah sebelum kering peluhnya".
Mao Tze Tong, seorang ahli falsafah China juga menyatakan upah hendaklah diberi mengikut apa yang telah dikerjakan selain imbuhan-imbuhan terbela. Ghandi pula menyebut "adalah lebih baik sesuatu pekerjaan itu disusuli dengan upah yang setimpal".
Petikan-petikan di atas membuktikan pembelaan ke atas hak dan faedah-faedah pekerja adalah isu universal dan menepati cita rasa masyarakat Malaysia kini ke arah masyarakat madani.
Kita menyeru warga-warga koperat agar lebih perihatin membela nasib pekerja mereka. Utamakan soal pendidikan, kesihatan serta pembangunan prasarana apabila membicarakan hak-hak dan faedah pekerja.
Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua pekerja agar perihatin dengan faedah serta hak masing-masing, untuk kita membina masyarakat madani kerana andalah sebenarnya aset kepada negara ini.
"Selamat Menyambut Hari Pekerja."
Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden Parti KeADILan Rakyat
___________________________
Terbitan : 1 Mei 2004
Ke atas
Home
|
|