Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

SURAT TERBUKA MENGENAI ISU KHIDMAT NEGARA

ANGKATAN MUDA
PARTI KEADILAN RAKYAT
Ruj Kami :
Tarikh : 4 hb Mei 2004

YB DATO SERI NAJIB TUN RAZAK
TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA

YB Dato Seri ;

SURAT TERBUKA MENGENAI ISU KHIDMAT NEGARA

Perkara di atas dirujuk.

Kelmarin, Datuk Seri selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Program Latihan Khidmat Negara telah mengatakan bahawa kerajaan berhasrat menjadikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai model yang boleh dicontohi oleh seluruh dunia dalam usaha memupuk perpaduan nasional (Utusan, 1.5.2004)

Dato Seri tidak harus berfikiran jauh, mengkehendaki PLKN ala-Malaysia menjadi ikutan seluruh dunia sehingga beliau memastikan isu masalah keselamatan pelatih di Program yang semakin serius, sedia ada di hadapan matanya diatasi, yang semakin hari menghakis imej Kerajaan dan negara di kaca dunia.

Angkatan Muda menggesa Jawatankuasa Kabinet Mengenai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bertanggungjawab penuh dalam kejadian ini. Penangguhan segera PLKN amat perlu ekoran daripada berlaku satu lagi lagi masalah keselamatan yang tidak boleh dimaafkan, iaitu kehilangan Pang Shu Juan pelatih di UKM dari menjalani Programnya.

Apa yang mengejutkan adalah Pang yang berasal dari Pekan Nenas telah hilang dari institusi PLKN UKM melebihi 15 hari tanpa pengetahuan pihak berkuasa. Kehilangan Pang hanya diketahui apabila ahli keluarganya tidak menjumpainya di institusi tersebut.

Kejadian sedemikian jelas menunjukkan sikap pihak berkuasa yang tidak bertanggungjawab dan kelemahan penguatkuasaan keselamatan di institusi PLKN.

Keselamatan adalah perkara yang paling asas bagi membolehkan Program ini mendapat kerjasama dan keyakinan para ibubapa dan pelatih terhadapnya. Walaupun pihak Kementerian Pertahanan telah berulangkali memberi jaminan kepada para ibubapa berkenaan langkah-langkah keselamatan yang sedia ada, tetapi kejadian-kejadian seperti gangguan seksual, rogol, pergaduhan, peras ugut dan kematian tetap berlaku, jelas keseluruhan mekanisme perjalanan Program tidak betul dari awal permulaan Program ini.

Punca-punca kejadian berlaku adalah kerana pihak Kementerian Pertahanan mengkehendaki Program ini dijalankan di dalam keadaan tergesa-gesa tanpa perancangan yang teliti, rapi serta konsultasi yang lebih sempurna dengan orang ramai dan belia.

Kejadian dakwaan rogol, bukan kerana pelatih wanita mudah mempercayai kata-kata manis lelaki, sama juga, kematian pelatih, Awang Mohd Fadzli dari Bintulu tidak boleh begitu mudah ditolak tanggungjawab oleh pihak Majlis Latihan Khidmat Negara dengan memberi alasan bahawa kejadian tersebut kerana ditakdir Tuhan.

Insiden kehilangan Pang daripada institusi UKM selama 15 hari tanpa pengetahuan pihak UKM tidak boleh mempersalahkan pelatih semata-mata, walaupun, adalah tidak patut pelatih tersebut bertindak meninggalkan institusi dengan menggunakan nama bapanya.

Sebaik sahaja saya mengetahu perkara ini saya telah cuba menghubungi Ketua Pengarah JLKN, Haji Kamaruzaman dan Teo Khian How, Pengarah Pembangunan PLKN untuk mendapat tahu apakah tindakan yang akan diambil oleh pihaknya berkenaan perkara ini, tetapi panggilan tidak dijawab.

Sejak permulaan Program ini, pelbagai aduan daripada pihak ibubapa dan pelatih telah diutarakan tetapi malangnya kebanyakan dari kes cuba diselindungkan oleh pihak berkuasa kem. Malah ada pelatih yang diugut agar tidak menghebahkan masalah yang dihadapai dengan cubaan menyakinkan pelatih bahawa masalah tersebut kecil.

Angkatan Muda juga menyesali penggunaan media yang melampau dalam menutup kelemahan PLKN. Media khususnya televisyen digunakan sepenuhnya untuk menapis berita dan hanya menyiarkan propaganda menggambarkan kegembiraan peserta dan ibu bapa.

Mengapa tidak ditemuramah keluarga yang anaknya telah dicabul di dalam kem atau ibu bapa yang anak mereka telah mempunyai rekod polis kerana beberapa kes dalam kem atau keluarga yang anaknya mati semasa mengikuti PLKN ?

Cukuplah itu Dato Seri, jangan kerana ego dan keuntungan kroni yang mendapat peruntukan jutaan ringgit melalui PLKN nasib remaja negara diperjudikan.

Angkatan Muda dengan ini sekali lagi menegaskan desakan kami seperti yang terkandung dalam nota kami kepada Pengarah Jabatan latihan Khidmat Negera yang telah diserahkan pada 24 April 2004

___________________________________________________________________

DESAKAN ANGKATAN MUDA

( petikan nota bantahan Angkatan Muda kepada Jabatan Latihan Khidmat Negara yang telah dihantar pada 24 April 2004 lalu) Kejadian kejadian yang dinyatakan tersebut hanya merupakan sebahagian kejadian yang dilaporkan malah apa yang amat dikesali ialah usaha pihak yang terlibat cuba menyelindungkan kejadian – kejadian tersebut.

Dengan satu peruntukan yang sebesar RM 500 juta dan masa pelaksanaan yang jelas tergesa – gesa menggambarkan bahawa program ini bakal mengundang masalah yang lebih serius jika diteruskan.

Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat dengan ini mendesak supaya :

Program Latihan Khidmat Negara ditangguhkan segera

KeADILan menolak sama sekali kenyataan Najib bahawa, "menghentikan program ini separuh jalan akan menggagalkan tujuan asal PLKN itu diperkenalkan".

Sebaliknya keADILan berpendirian bahawa jika ia diteruskan dengan segala kepincangan ini, tanpa dikaji semula dan diperbaiki, bukan sahaja akan menggagalkan matlamat asal PLKN, malah memburukkan lagi masalah yang dihadapi generasi muda dan sekaligus menjejaskan masa depan negara.

Pelatih yang terdiri daripada remaja yang selama ini tidak bermasalah pun mula terdedah dengan perbagai anasir. Malah ada antaranya telah mempunyai rekod jenayah polis setelah terlibat dengan perbagai perkara negatif dalam kem.

Hentikan usaha menyaman 10,000 ribu pelatih dan ibu bapa yang tidak menghantar anak mereka menyertai PLKN

Kerajaan harus menhentikan usaha untuk menyaman ibu bapa atau pelatih yang tidak menghantar anak mereka ke PLKN seperti yang dinyatakan dalam media kerana dengan perbagai perkembangan yang dinyatakan jelas kekhuatiran mereka untuk tidak menghantar anak mereka menyertai PLKN berasas.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kabinet untuk PLKN perlu bertanggungjawab ke atas kepincangan yang berlaku dalam PLKN sejak dari peringkat perancangan lagi.

Beliau harus bertanggungjawab dengan meletakkan jawatan dengan memberikan laluan ke arah penubuhan satu jawatankuasa bebas yang dianggotai oleh pakar pembangunan belia, kaunselor dan tokoh berpengalaman untuk membuat kajian menyeluruh mengenai konsep, falsafah dan perjalanan PLKN.

Dato Seri, Angkatan Muda sama sekali tidak menentang malah sama mendokong apa jua program ke arah pemantapan remaja negara. Dalam hal ini kami bersedia sama – sama menyumbang tenaga dan kepakaran dalam menjayakannya jika Dato Seri dan program ini benar – benar telus.

Menjadi harapan kami agar Dato Seri dapat memahami surat terbuka yang ditulis dalam bahasa Melayu mudah ini.

Sekian dan terima kasih.

“KE ARAH KERAJAAN REFORMASI”

BADRUL HISHAM SHAHARIN
Timbalan Ketua Penerangan
Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat
016 3242564 – [email protected]

p/s : surat ini telah dihantar menggunakan letterhead Angkatan Muda kepada Najib Razak di Pejabatnya di Kementerian Pertahanan melalui fax





___________________________
Terbitan : 6 Mei 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]  atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD (Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)