Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Majlis Ulama Islam Sedunia bakal jadi kenyataan

KAHERAH: Sebuah majlis ulama sedunia bakal ditubuhkan dengan menjadikan Ireland sebagai ibu pejabat sekretariatnya selepas tiada satu pun negara Islam dan Arab yang sanggup menyediakan tempat.

Perkhidmatan berita Islam Qatar semalam melaporkan, majlis itu ditubuhkan bertujuan mengekalkan identiti Islam, memupuk kesedaran agama dan memberi nasihat kepada pemimpin negara Islam selain mengekang aliran kemusnahan agama ini.

Tokoh Islam terkemuka, Sheikh Youssef al-Qaradawi sudah pun menyiapkan draf penubuhan majlis kesatuan ulama itu, 24 tahun selepas idea itu dikemukakan oleh Menteri Pelajaran Bahrain, Ali Fakhro.

Dalam kenyataan kepada agensi ini, Qaradawi menggesa semua ulama seluruh dunia supaya menyertai badan baru ini.

Beliau berkata, kesatuan itu akan menjadi sebuah badan bebas yang mempunyai orientasi dan skop yang luas tanpa mengira perbezaan mazhab.

“Ia akan menjadi sebuah pertubuhan antarabangsa, popular, bebas, saintifik dan sederhana,” katanya.

Meskipun cenderung kepada rakyat, Qaradawi berkata, majlis itu akan membuka saluran dengan kerajaan dunia Islam.

“Badan ini juga akan memberi amaran kepada orang Islam bagi menghadapi ancaman terhadap ideologi mereka serta identiti budaya. Kita akan menghadapi penaklukan ideologi dan budaya menggunakan senjata yang sama.

Sheikh Qaradawi berkata badan baru ini akan menggunakan kaedah langsung dan tidak langsung bagi mencapai matlamatnya termasuk menggunakan akhbar, radio, televisyen serta internet, malah khutbah atau ceramah di masjid.

Badan ini juga akan bekerjasama dengan pertubuhan lain yang mempunyai matlamat yang sama tidak kira dalam bidang akademik, politik, budaya dan sosial serta kemanusiaan atau pertubuhan kebajikan.

Sementara itu, pemikir Islam veteran Mesir, Mohammad Salim Al-Awa, berkata usaha untuk mendapatkan sebuah negara Arab bagi menyediakan tempat untuk sekretariat ini tidak mendatangkan hasil.

Projek ini sudah dicadangkan kepada dua raja Arab tetapi mereka menolaknya mendorong pengasas pertubuhan memilih Ireland.

Beliau berkata, pertubuhan dunia Islam dan Arab sehingga kini gagal melaksanakan tanggungjawab mereka menyebabkan majlis seperti ini menjadi satu kemestian. – Agensi





___________________________
Terbitan : 6 Mei 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]  atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD (Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)