Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Edisi Nasional: Raut wajah 16 remaja bersih

PATTANI (Selatan Thailand): “Masih terbayang raut wajah mereka yang bersih dan jernih malah sentiasa tersenyum, sedap dipandang... mungkin itu yang dikatakan cahaya keimanan.

“Itu yang menyebabkan saya begitu terkejut sehingga demam apabila mengetahui mereka terbunuh kerana terbabit dalam serangan tempoh hari,” kata Mat Ali Ibrahim, 38, penduduk Kampung Kersik, dekat sini.

Mat Ali dipercayai satu-satunya penduduk kampung yang sempat makan malam bersama 16 remaja anggota kumpulan lelaki bersenjata yang terbunuh dalam tragedi di Masjid Muzaffar Shah, kampung itu, Rabu lalu.

Menceritakan pengalamannya kepada wartawan Harian Metro, Mat Ali berkata, kumpulan remaja berusia di antara 15 hingga awal 20-an itu mengajaknya makan malam ketika pertama kali bertemu di gerai berhampiran masjid.

“Mereka minta saya memesan makanan sedap-sedap supaya dapat makan bersama sampai kenyang. Selepas berlaku kejadian itu, baru saya sedar rupa-rupanya mereka dah tahu itu adalah hidangan terakhir mereka,” katanya.

Dia yang juga seorang kakitangan pejabat pembangunan mukim di kampung itu, berkata perasaannya bercampur aduk apabila mengetahui semua anggota kumpulan termasuk 16 `kawan barunya’ itu terbunuh dalam insiden berdarah itu.

Sehingga sekarang, katanya, fikirannya masih diganggu kenangan manis itu menyebabkan dia tidak mampu menjejakkan kaki ke masjid itu kerana terbayang setiap wajah remaja terbabit.

“Saya masih ingat lagi apabila diberitahu semua (kumpulan bersenjata) meninggal dunia, saya terus terbayangkan wajah setiap remaja itu yang kelihatan manis.

“Perwatakan dan wajah mereka langsung tidak menggambarkan orang yang ganas dan tergamak melakukan serangan itu tanpa alasan munasabah tetapi sehingga kini, tiada siapa tahu tujuan mereka,” katanya.

Mat Ali berkata, kumpulan remaja bersama kira-kira 20 lelaki yang terbunuh itu tiba di masjid berkenaan dengan menaiki kereta dan motosikal, pada petang Selasa lalu.

Katanya, dalam pertemuan itu, remaja terbabit hanya memberitahu tujuan mereka bermalam di masjid itu untuk mengerjakan amal ibadat seperti berzikir dan membaca al-Quran beramai-ramai.

Hantaran : Insan Pondok





___________________________
Terbitan : 6 Mei 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]  atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD (Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)