Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Pemimpin BN perlu akui pilihan raya ke-11 amat diragui - Nik Aziz

Oleh Mazlan Jusoh

KOTA BAHRU, 30 April (Hrkh) - Pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) diminta mengakui bahawa pilihan raya umum ke-11, sebagai 'amat diragui' ketelusannya sebelum mencabar kerajaan Kelantan membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun).

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, seluruh wakil rakyat BN yang menang dalam pilihan raya lalu hendaklah mengakui hakikat itu.

"Jangan pula hendak cabar orang lain bubar dewan, sedangkan perjalanan pilihan raya umum itu sendiri sangat 'dikhuatiri tidak sah' kerana penuh dengan segala penyelewengan,"katanya dalam temuramah khas bersama wartawan asing selepas kuliah mingguannya di sini hari ini.

Menurutnya, pemimpin yang membuat cabaran itu sepatutnya meletakkan jawatan terlebih dahulu kerana dipilih rakyat dalam suasana pilihan raya yang diragui.

Baru-baru ini, ramai pemimpin Umno mencabar kerajaan Kelantan untuk membubarkan Dun bagi membolehkan pilihan raya semula diadakan di negeri itu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursidul Am PAS berkata, Islam dan semua pihak menuntut supaya keadilan ditegakkan dalam semua aspek kehidupan manusia termasuk proses pilihan raya.

"Pilihan raya yang penuh dengan tipu muslihat ditolak sistem demokrasi dan Islam. Dengan demokrasi pun tidak betul, lebih-lebih lagi dengan Islam,"katanya.

Oleh itu, beliau berkata pilihan raya ke-11 yang lalu tidak boleh dijadikan ukuran untuk melihat tahap sebenar penerimaan rakyat kerana ia dicemari dengan pelbagai penipuan dan penyelewengan.

Menurutnya, semua pihak mengakui hakikat itu termasuk Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri.

Beliau juga bersyukur kerana biarpun gelombang untuk menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan begitu kuat melanda, namun ia masih lagi gagal.

"PAS Kelantan masih lagi mampu bertahan biarpun dilanda gelombang kuat pada pilihan raya lalu termasuk politik wang untuk mempengaruhi pengundi.

"Ini kerana rakyat Kelantan sudah lama diasuh dengan asas agama dan mereka menolak segala perbuatan yang bertentangan dengan kehendak Islam,"tambahnya.

Pada pilihan raya lalu, PAS berjaya mengekalkan kerajaan apabila memenangi dengan majoriti mudah sebanyak 24 daripada 45 kerusi Dun. Manakala Umno dan BN menguasai 21 kerusi.

Bagaimanapun PAS dan Umno masing-masing memfailkan 10 petisyen pilihan raya pada 28 April lalu kerana tidak berpuas hati terhadap perjalanan pilihan raya di tiga kawsan Parlimen dan tujuh Dun. - MJ/mks.





___________________________
Terbitan : 1 Mei 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]  atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD (Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)