Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

PAS Terengganu kemuka 8 petisyen

KUALA TERENGGANU, 29 April (Hrkh) – PAS Negeri Terengganu mengemukakan lapan petisyen pilihan raya di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini berhubung keputusan pilihan raya umum ke-11 pada 21 Mac lalu.

Semua petisyen itu difailkan melalui peguam Fariz Irwan Mustafa dari Tetuan Fariz, Halim & Co yang diserahkan kepada Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi Malaya, di sini pada jam 10.55 pagi.

Petisyen itu melibatkan keputusan pilihan raya bagi empat kerusi Parlimen iaitu Besut, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Jerteh, Ladang, Sura dan Cukai.

Fariz ketika bercakap kepada wartawan selepas menyerahkan semua petisyen itu memberitahu, respondan-respondan terdiri daripada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di Parlimen dan Dun terbabit (pertama), Suruhanjaya Pilihan Raya (kedua) dan calon-calon Barisan Nasional (BN) yang terlibat (ketiga).

“Kami difahamkan maklumat selanjutnya berkaitan perjalanan petisyen ini akan diketahui pada hari Selasa depan,” ujarnya yang turut disertai oleh peguam Haji Abdul Haris Malik, Encik Saifuddin Othman dan Encik Kamarul Zaman Abdul Wahab.

Sementara itu, BN turut mengemukakan petisyen bagi Dun Ru Rendang melalui peguam Dato’ Victor Isaacs dari Isaacs & Partners.

Pada pilihan raya umum lalu, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menewaskan calon BN, Dato’ Tengku Zainuddin Tengku Zahid di Dun tersebut dengan majoriti 1,435 undi.

Bagaimanapun Tuan Guru Abdul Hadi Awang tewas kepada calon BN, Dato' Abdul Rahman Bakar bagi kerusi Parlimen Marang dengan 163 undi.

Naib Presiden PAS, Dato' Mustafa Ali pula tewas kepada calon BN, Dato' Rosli Mat Hassan dengan 4,896 undi bagi kerusi Parlimen Dungun.

Bagi kerusi Parlimen Besut, Setiausaha Agung PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa kalah kepada calon BN, Prof Datuk Dr Abdullah Mohamed Zin dengan 8,500 undi.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi pula kalah kepada calon BN, Razali Ismail dengan 1,933 undi bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Bagi kerusi Dun Jertih, Dato' Idris Jusoh mengalahkan calon PAS, Haji Hassan Salleh dengan majoriti 2,047 undi manakala Wan Hisham Wan Salleh menewaskan calon PAS, Dr Sulaiman Abdullah dengan 1,041 undi di Dun Ladang.

Ahmad Kamal Abdullah mengalahkan calon PAS, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli di Dun Sura dengan 169 undi sementara Datuk Mohamed Awang Tera menang ke atas calon PAS, Dr Alias Abdul Rahman di Dun Cukai dengan majoriti 2,815 undi. P– KAM/ayu/zs





___________________________
Terbitan : 1 Mei 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net  atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD (Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)