Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Terlalu banyak keraguan dalam buku daftar pemilih - Mafrel

KUALA LUMPUR, 29 April (Hrkh) - Pemantau Pilihan Raya (Mafrel) dalam kajian khusus pada pilihan raya ke-11 mendapati terlalu banyak keraguan dalam Buku Daftar Pemilih (BDP) yang disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Wakil Mafrel, Khairul Anuar Zainuddin menegaskan, secara asas buku daftar pemilih yang tidak tepat akan melahirkan satu sistem pilihan raya yang tidak telus malah menjadikan kerajaan yang dipilih adalah kerajaan yang tidak sah.

Beliau berkata demikian dalam diskusi khas Mafrel berhubung Pilihan Raya ke-11 bersama wakil parti politik di bilik persidangan Harakah petang tadi.

Kata beliau, Mafrel dalam kajian yang dilakukan ke atas lima kawasan parlimen mendapati kebarangkalian wujudnya pengundi hantu yang mereka pantau dalam BDP adalah 48.14 peratus.

Lima kawasan parlimen itu ialah, Tanah Merah, Lembah Pantai, Permatang Pauh, Pokok Sena dan Gombak.

"Jumlah ini kami perolehi daripada kajian lapangan pasukan kami yang turun ke alamat-alamat yang Mafrel perolehi dari BDP dan menyiasat identiti pemilih berdasarkan alamat yang diberi,"tegasnya.

Jelas beliau, peratusan yang dibuat Mafrel terhadap kemungkinan wujudnya pengundi hantu ialah berdasarkan alamat yang ada dalam buku pemilih tetapi tidak dapat dikesan, dan pemilih yang tidak dapat dikenalpasti identiti walaupun alamat tertera dalam buku daftar pemilih.

Sebagai contoh katanya, di kawasan Lembah Pantai, BDP memperlihatkan terdapatnya pengundi yang mendaftar di Balai Bomba, sementara semasa merujuk kepada SPR,pihak tersebut sendiri hanya menyifatkan bahawa pemilih tidak mengemaskini alamat terkini.

Katanya lagi, jika hendak dibandingkan dengan sistem daftar pemilih yang ada di Sri Lanka, sememangnya Sri Langka lebih baik dari Malaysia,di mana negara tersebut benar-benar mengutamakan kriteria kewujudan pemilih yang berkepentingan atau bermastautin di tempat daftar pemilih.

Sementara di Malaysia buku daftar pemilih tidak menepati ciri-ciri untuk mewujudkan satu pilihan raya yang benar-benar berkesan.

Justeru beliau menyarankan agar parti politik terutamanya pembangkang akan lebih bersedia dari pengalaman yang mereka lalui untuk membentuk pendidikan mengenai hak dan kepentingan memastikan pengundi benar-benar mengetahui hak mereka sebagai pengundi berdaftar.

Mafrel juga katanya akan mengajukan kajian mengenai pilihan raya kepada kerajaan.

Turut hadir dalam sesi perbincangan petang tadi ialah, Naib Presiden PAS, Dato' Dr Hasan Mohd Ali; Setiausaha Agung Parti KeADILan Rakyat (KeADILan), Mustaffa Kamil Ayub; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Lo'Lo Mohd Ghazali; bekas Duta Malaysia ke Mexico, Dato' Yeop Adlan Che Rose; Ketua Wanita KeADILan, Fauziah Salleh dan beberapa jemputan lain. - WN/mks.





___________________________
Terbitan : 1 Mei 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]  atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD (Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)