Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Kenaikan harga barang: 'Hadiah' BN untuk rakyat

Oleh Wan Nordin, Mohd Sabri dan Mazlan Jusoh

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Hrkh) - Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mahfuz Haji Omar menyifatkan, kenaikan harga barangan sebagai 'hadiah' kemenangan Barisan Nasional (BN) terhadap sokongan rakyat kepada mereka.

Beliau turut menegaskan kemungkinan besar dalam masa terdekat tarif elektrik pula akan dinaikkan di samping beberapa tarif lain.

"Semua kenaikan itu merupakan hadiah kemenangan BN kepada rakyat yang telah memberi undi dalam pilihan raya umum ke-11 sehingga mereka menang besar di seluruh negara, " ujarnya ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Bagan di Travel Lounge, Butterworth baru-baru ini.

Tegas beliau, rakyat terpaksa menanggung bebanan setelah memberi kepercayaan terhadap kepimpinan BN walaupun berbagai peingatan diberikan oleh pembangkang dalam Barisan Alternatif (BA).

Ada segolongan pula sambungnya, tidak hirau tentang kenaikan barangan tersebut asalkan BA dikalahkan kerana khuatir negara bertambah mundur.

"Sebahagian rakyat masih buta tentang kepentingan pembangkang sehingga sanggup menidakkan peranan BA sekiranya diberikan kuasa memerintah, " terangnya yang juga bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Kedah.

Jesteru itu, BA harus bergerak ke hadapan untuk terus memperkasakan kedudukan di samping memberikan penerangan sehingga akar umbi untuk memastikan semua rakyat tidak terkecuali mendapat kefahaman yang hakiki.

Ini katanya, merupakan tanggugngjawab yang amat berat tetapi kerana perjuangan kita harus terimanya dengan kesungguhan.

"Selepas ini tugas kita makin berat maka kerjasama dalam BA mesti diperkukuhkan bagi melahirkan sebuah masyarakat yang prihatin, " kata beliau.

Persatuan pengguna turut bantah kenaikan harga minyak

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan, Mohd Yusof Abdul Rahman menegaskan, pihaknya secara dasar tidak bersetuju dengan kenaikan harga minyak yang diumumkan kerajaan berkuatkuasa 1 Mei lalu.

Katanya, kenaikan harga minyak seperti yang sedia maklum akan mendorong kepada kenaikan harga barang lain termasuk barangan runcit untuk kegunaan harian.

"Hampir setiap tahun kerajaan akan mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel, sementara kerajaan berjanji memastikan barangan lain tidak naik, tetapi sebaliknya bila harga minyak naik kerajaan tidak mampu untuk mengawal kenaikan harga barang lain,"tegasnya lagi.

Jelas beliau lagi, Malaysia mempunyai sumber minyak sendiri, bagaimanapun kerajaan memberi alasan kenaikan harga barang berikutan kenaikan harga pasaran minyak antarabangsa.

"Alasan tersebut dilihat tidak wajar, sepatutnya kerajaan boleh mengawal harga minyak kerana mempunyai bekalan mencukupi dari sumber tersendiri, saya kira Shell, dan syarikat minyak lain di Malaysia juga menggunakan sumber minyak dari negara ini selain Petronas,"tegasnya lagi.

Beliau yang dihubungi Harakahdaily mengenai perkara tersebut pagi tadi, sekali lagi menggesa kerajaan mengotakan janji untuk memastikan harga barangan lain tidak dinaikkan oleh pengusaha, pemborong, mahupun peniaga.

Selain itu, Mohd Yusof menyeru kerajaan pada masa akan datang agar berbincang dengan pihak-pihak tertentu sebelum membuat sesuatu dasar mahupun menaikkan harga sesuatu barangan.

Sebelum ini katanya, kerajaan dalam beberapa hal tidak pernah berbincang dengan pihak tertentu bagi mengubah dasar mahupun berhubung soal harga barangan.

Naik harga minyak balas jasa undi BN

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Ustaz Mohd Amar Abdullah dalam ceramahnya di Kampung Lahkota, Jeli 3 Mei lalu berkata, keniakan harga minyak sebanyak 2 Sen satu liter ini sebagai membalas jasa pengundi yang memilih parti BN.

"Kenaikan ini berlaku selepas hanya lebih sebulan rakyat memberi kepercayaan kepada Umno dan BN bagi membela nasib mereka.Inilah sebenarnya yang mampu dibalas Umno kepada rakyat,"tegas Mohd Amar lagi.

Selain itu, seorang kerani bank menegaskan, selaku pengguna tetap jalan raya, kenaikan harga barang memberi kesan kepada kos sara hidup dan pengangkutan.

Katanya, kalau sebelum ini beliau boleh menggunakan kereta untuk ke tempat kerja, bagaimanapun kali ini terpaksa menggunakan motorsikal bagi mengurangkan kos pengangkutan.

"Kami yang berpendapatan rendah antara RM 1,000 hingga 1,500 akan merasai kenaikan ini, kerajaan tidak akan rasa apa-apa sebab mereka hanya tahu naikkan harga sahaja tanpa mengkaji masalah bagi golongan berpendapatan rendah, bila pilihan raya pandai tabur janji, selepas pilihan raya rakyat terus tersiksa,"tegas beliau yang dihubungi Harakahdaily.

Baru-baru ini kerajaan telah mengumumkan kenaikan harga runcit petrol, diesel dan gas petroleum cecair sebanyak dua sen seliter berkuatkuasa 1 Mei lalu.

Kenaikan harga minyak itu dijangkakan akan mengakibatkan kenaikan harga berangan lain berikutan kos pengangkutan meningkat. - mks.





___________________________
Terbitan : 6 Mei 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]  atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD (Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)