Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

YT tinggal hutang RM86 juta masa BN

HULU TERENGGANU, 9 Mei (Hrkh) – Yayasan Terengganu (YT) berjaya mengatasi masalah kewangan yang dihadapi semasa pemerintahan kerajaan Barisan Alternatif (BA) pimpinan PAS negeri.

Ini berikutan YT semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum itu telah meninggalkan hutang kepada negeri sebanyak RM86 juta.

Demikian dinyatakan oleh bekas Pengarah YT, Haji Yusoff Tahir semasa menyampaikan Ceramah Motivasi pada Program Rehlah Yayasan Kebajikan Pendidikan di Taman Pertanian Sekayu, Kuala Berang, baru-baru ini.

“Pengalaman saya ketika di YT memerlukan perbelanjaan mengurus lebih RM30 juta setahun dan kita dapat peruntukan itu pada tahun 2000,” ujarnya.

Beliau berkata, pada tahun berikutnya peruntukan semakin berkurangan kerana kerajaan negeri mengalami masalah kewangan akibat royalti petroleum disekat oleh kerajaan pusat.

“Bayangkan ketika kita mengambil alih Yayasan Terengganu mempunyai hutang yang banyak. Pengurusan bekas kerajaan BN dahulu telah meninggalkan hutang berjumlah RM86 juta kepada kerajaan PAS,” katanya.

Jadi, katanya dalam keadaan yang serba kekurangan, beliau telah mengambil beberapa inisiatif bagi mengutip serta menyemak semula harta benda milik YT yang boleh dicairkan.

Tambahnya, tanah kosong milik YT di Kuala Lumpur yang digunakan oleh pihak tertentu untuk membuat kawasan tempat letak kereta pada 2001 berjaya mendapat hasil.

Sebelum itu, katanya YT tidak mendapat satu sen pun daripada pihak terbabit yang dipercayai mendapat perlindungan daripada kumpulan gangster.

“Tetapi saya pergi juga kerana kita diamanah dan akhirnya dapat bertemu dengan orang berkenaan, dia berjanji hendak bayar sewa kepada kita sebanyak RM4,800 sebulan,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya apa yang berlaku ada seorang hamba Allah di YT tanpa memberitahunya menerima hanya RM3,000 sebulan.

“Saya tidak tahu ke mana pergi RM1,800 lagi. Ini fakta tetapi akhirnya dalam masa satu tahun kita dapat meningkatkan kepada RM5,000 sebulan dan sekarang ini RM15,000 sebulan di tempat yang sama itu,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, selain itu ada pula duit yang dilaburkan sebanyak RM1.8 juta dengan satu muka surat perjanjian yang telah dibaiki terus.

Bagaimanapun, beliau telah mengambil tindakan melalui peguam terhadap perjanjian itu.

“Dan kita dapat sekarang ini enam buah kondo di Gurney Heights bernilai RM1.872 juta yang mulai bulan Mac baru-baru ini kita dapat pulangan sebanyak RM119,000 setahun untuk Yayasan Terengganu,” jelasnya. – KAM/ayu





___________________________
Terbitan : 10 Mei 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]  atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD (Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)