Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

ADAKAH DS ANWAR IBRAHIM DIBEBASKAN?

OLEH: MELI Assalamu’alaikum wrt.wbh,
Saudara-saudara budiman,

Saya amat tertarik ulasan yang dibuat oleh Ghazali Mat Dom dari Editor Laman Umno-reform yang disiarkan pada Hari Pekerja 1.5.2004 yang lepas. Ulasan beliau dibuat ekoran kes rayuan DS Anwar Ibrahim [DSAI] akan di dengar di Mahkamah Persekutuan, iaitu Mahkamah Tertinggi di Malaysia pada 10.5.2004 iaitu hari Isnin minggu depan. Mahkamah ini akan mendengar dua kes yang melibatkan DSAI iaitu, pertama kes liwat dan kedua kes rayuan untuk dibebaskan dengan ikat jamin bagi tujuan perubatan.

Mahkamah inilah merupakan Mahkamah terakhir bagi beliau berjuang menentukan nasib masa depannya. Proses undang-undang di Malaysia terhenti setakat ini sahaja, tetapi ada satu lagi cara untuk membebaskannya ialah melalui proses pengampuan dari Yang DiPertuan Agong seperti mana yang dibuat untuk membebaskan Jackei Chan seorang bekas Pengerusi MCA Cawangan Henry Gurney yang juga merupakan seorang “ gangster ‘ yang tidak pernah di dakwa di mana-mana mahkamah, hanya disimpan satu tahun di Simpang Renggam Johor.dan kemudian beliau dibebaskan dan diberi pengampunan oleh Yang DiPertuan Agong.

Hebat Jackei Chan. Nasib DSAI tidak seperti nasib Jackei Chan kerana DSAI tidak pernah membunuh orang, tidak perompak harta benda orang dan tidak melakukan rasuah dan tidak melakukan penyelewengan yang melibatkan jutaan ringgit wang rakyat, tetapi melibatkan kepartian UMNO, maka dengan itu ia tidak berhak untuk mendapat pengampunan dari Yang DiPertuan Agong setakat ini. Sebelum ini, kedua-dua kes ini telah pun didengar di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah tersebut menolaknya dengan kos.

Apa yang menariknya, beliau [ seorang ahli UMNO tulen katanya ] sangat berharap DSAI dibebaskan bagi menjamin kemantapan UMNO dan perpaduan orang Melayu kembali bertaut semula. Sambil beliau berharap keputusan ini tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur kepolitikan dan mengharapkan Dollah Badawi melakukannya.

Dalam tulisannya itu juga, ia juga turut menyentuh system kehakiman di Malaysia . Baik kiranya saya mengambil sedikit petikan sebahagian komen beliau terhadap system penghakiman di Malaysia yang ditulisnya berbunyi seperti berikut :

“Hakim sekarang juga boleh meletakan apa sahaja sebagai asas keadilan. Penyokong Anwar Ibrahim di luar bising melaungkan reformasi boleh mempengaruhi hakim untuk menafikan juga hak ikat jamin beliau.

Itu hakim zaman sekarang. Hakim Malaysia zaman ini boleh bergantung kepada pelbagai antisipasi - untuk menjatuhkan hukum. Hakim sekarang ini macam orang politik, macam kepimpinan politik dan terus bertindak mengikut siapa yang memerintah. Ini cengkaman namanya, ujar rakan saya tersebut. Rakan saya meneruskan lagi celotehan nya.

Bagi saya, selagi Anwar di katakan mampu menggugat UMNO dan Barisan Nasional maka beliau tidak akan di bebaskan. Bagi saya atas dasar itulah, Anwar Ibrahim akan terus terpenjara dan kerajaan baru kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi akan terus bacul lantas pasti akan mempengaruhi keputusan hakim. Tapi ini boleh juga di pandang sebagai kebaculan hakim yang takut membuat keputusan sebaliknya kerana mereka adalah hakim cari makan yang di ikat oleh UMNO dan kerajaan memerintah “.

Ini adalah pandangan seorang activist UMNO yang bercita-cita mahu membuat satu pembaharuan dalam gerak kerja UMNO dan tidak mahu lagi terikat dengan budaya lapok yang berakar umbi dalam tubuh UMNO itu seperti politik wang, rasuah, merebut jawatan, kroni, nepotistme, berkomplot untuk menjatuh satu sama lain, hasad dengki dan sebagainya. Bagi saya ini adalah angan-angan kosong dan beliau bermimpi di siang hari.

Pada pandangan saya dan pandangan kawan-kawan dari kumpulan Reformasi bahawa DSAI akan tetap dipenjarakan dan akan hanya dibebaskan mungkin pada tahun 2009 setelah menjalani 1/3 daripada hukumannya 9 tahun [ pilihan raya ke 12 ? ] atau terus menamatkan hukumannya pada tahun 2012. Ini semua bergantung kepada suasana politik UMNO ketika itu.

Ini juga merupakan salah satu syarat Mahathir kepada Dollah ketika peralihan kuasa yang belaku pada 31.10.2003 yang lalu, di mana syarat itu ialah DSAI tidak akan dibebaskan dengan apa cara sekali pun. Kedua, syarat yang Dollah wajib patohi ialah menjaga dan memelihara perniagaan anak-anaknya dan yang ketiga ialah jangan sekali-kali membawa masuk balik Tengku Razalengh Hamzah ke dalam kerajaan atau amnya jangan memberi ruang kepada Ku Li untuk bergerak bebas dalam arus perdana politk UMNO.

Hujah ini diperkuatkan lagi dalam satu kenyataan Saifuddin Nasution bekas ADUN Lunas dalam satu ceramahnya di Pusat Tarbiah PAS Pusat, di Taman Melewar pada bulan MAC 2004 beberapa hari sebelum parlimen dibubarkan. Saifudin mengulas isu pertemuan beliau secara sulit dengan Dollah Badawai di Putra Jaya, beliau menjelaskan bahawa Dollah tidak mahu terlibat dengan kes ini kerana yang terlibat ialah Mahathir dengan Anwar, bukan beliau. Oleh itu, penyelesaiannya mesti melibatkan orang-orang yang terlibat dalam pertikaian ini.

Satu lagi hujah yang boleh memberi gambaran yang DSAI akan tetap dipenjarakan di Penjara Sungai Buluh ialah perancangan Ketua Hakim Negara [ sudah tentu menerima arahan dari pihak atasan ] menetapkan 3 orang hakim lebih junior [ tidak dikenali umum ] untuk mendengar kes rayuan ini, sedangkan DSAI melalui peguamnya memohon mendapatkan panel hakim seramai 5 orang untuk mendengar kesnya itu, tetapi ditolak tanpa alasan oleh Ketua Hakim Negara.

Tiga orang hakim junior ini baru sahaja dinaikkan pangkat sebagai Hakim di Mahkamah Persekutuan pada tahun lepas yang penuh kontroversi kerana meminggirkan hakim-hakim yang lebih kanan. Mereka ialah Datin Paduka Rahmah Hussain baru naik pangkat dari Mahkamah Rayuan ke Mahkamah Persekutuan, beliau dari segi kekanann berada di tangga ke 12 dari senarai hakim-hakim yang lebih kanan. Hakim Dato’ Hamid Hj. Mohamad dari Mahkamah Rayuan baru naik pangkat juga, dari segi kekanan beliau berada di tangga ke 4 dari hakim-hakim yang dipinggirkan. Hakim Tengku Dato’ Baharudin Shah Tengku Mahmod dari Mahkamah Tinggi jauh lebih junior dinaikkan pangkat menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan, dari segi kekananan beliau berada di tangga ke 15.

Sebagai makluman pembaca, Mahkamah Persekutuan mempunyai jumlah hakim seramai 11 orang, Mahkamah Rayuan mempunyai 14 hakim dan Mahkamah Tinggi mempunyai 41 hakim. Persoalannya mengapa mereka ini dipilih, sedangkan ketika ini Mahkamah Persekutuan masih lagi mempunyai hakim yang lebih senior seperti Hakim Dato’ Siti Normah Yaakob, Hakim Dato Haji Abdul Malik Hj Ahmad dan Hakim Dato’ Wira Hj. Mohd. Noor Ahmad. Jawapannya sangat mudah kerana ini merupakan satu perancangan jahat mereka untuk terus-menerus memenjarakan DSAI. Strategi ini jugalah yang digunakan dalam perbicaran kes rasuah DSAI tanpa melibatkan wang sesen pun, mereka membawa hakim coklat hack, Hakim Augustine Paul yang tidak pernah dikenali umum dan datang entah dari mana, tiba-tiba ditugaskan menjadi hakim dalam perbicaraan yang amat penting itu dan kita telah pun sama-sama mengetahui perjalanan perbicaraan tersebut lintang pukang mengotorkan imej system kehakiman kita.

Satu perkara lagi kita perlu ingat bahawa kes terakhir yang kerajaan [ baca UMNO ] kalah dalam perbicaraan ialah pada tahun 1997, apabila Tun Salleh Abas membebaskan seorang wartawan Asian Wall Street Journal [AWSJ] yang bernama Jonh Berthelson. Selepas itu dengan pelbagai peraturan dan undang-undang digubal dan dilaksanakan terutama selepas Mahathir berjaya memecat Tun Salleh Abas sebagai Ketua Hakim Negara pada 8.8.1998 melalui surat bertarikh 6.8.1998, maka semua kes yang bersangkutan dengan kerajaan [ baca UMNO ] dan kroni-kroni yang rapat dengan PM semuanya menang seperti apa yang berlaku dalam pilihan raya ke 11 yang lalu yang mana SPR, Polis, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan/Agensi kerajaan membantu UMNO mengegalkan kuasa.. Kerajaan menang. Semua hakim-hakim tunduk dan menyembah pemerintah, tanpa memperdulikan lagi asas-asas kebenaran dan keadilan. Yang penting bagi mereka ialah kemewahan, kekayaan dan pangkat.

Banyak contoh-contoh yang dapat kita berikan kalau kita rajin merujuk kepada Journal Undang-undang Malaysia . Satu kes yang paling istemewa yang tercatat dalam sejarah moden Malaysia ialah kisah percutian keluarga di Itali pada 10 – 12 12.1994 yang melibatkan bekas Ketua Hakim Negara, Eusuff Chin, bekas Peguam Negara ketiku, Mohktar Abdullah, Vincen Tan, Pengerusi Eksekutif Berjaya Group dan V.K.Lingam [ penguam Vinven Tan ]. Percutian ini juga lebih dikenali sebagai “ pencutian mencari hakim “ dan akhirnya Hakim Mahkamah Rayuan Mokhtar Siding dipilih bagi mengendali kes rayuan saman Vincen Tan terhadap 4 orang penulis yang menulis menjejaskan kewibawaannya. Di akhir kes, Vincen Tan berjaya mendapat RM10 juta ganti rugi dan yang seronoknya keputusan penghakiman ini dibuat oleh V.K Lingam [ peguam Vincen Tan sendiri ] di pejabatnya sendiri yang bangunannya ialah kepunyaan Vincen Tan dan Mokhtar Siding hanya membacanya sahaja.

Peristiwa DSAI adalah sama dengan kes petisyen pilihan raya yang dibuat oleh PAS baru-baru ini seperti yang diulas oleh Subhki Latif dalam kulomnya di Harakahdily. Sebanyak 23 kes petisyen di buat oleh PAS. Petisyen di parlimen Kepala Batas telah ditolak mentah-mentah oleh Hakim Mohd.Noor Abdullah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 7.5.2004 tanpa merujuk dan berbincang peguam Darshan Singh yang mewakili calon PAS ustaz Abdul Khalid Rasid. Pada hari penamaan calon 13.3.2004 yang lalu, Dollah Badawi tidak menyertakan penyata perbelanjaan pilihan raya tahun 1999 seperti yang dikehendaki oleh undang-undang mengikut seksyen 32[b] Akta Kesalahan Pilihan raya 1954, tetapi Pengurus Pilihan Raya terus membenarkan Dollah Badawi bertanding walaupun ada bantahan dari PAS, tidak seperti yang berlaku di Subang Jaya yang mana calon DAP, KC Cheah telah ditolak kertas pencalonannya kerana tidak menyertakan penyata perbelanjaan tahun 1999 sama dengan kes Dollah Badawi di Kepala Batas dan calon MCA Lee Hwa Beng menang tanpa bertanding.

Banyak lagi kes-kes petisyen yang dibuat oleh PAS belum lagi didengar di Mahkamah. Kalau ikut kebiasaanya atau tradisinya, PAS tidak akan memenangi satu pun petisyen itu. Kalau PAS memenanginya bermakna hakim yang mengendali kes itu telah menjadi “ gila dan tidak siuman “ kerana seperti mana kita semua sedia maklum semua kes yang membabitkan UMNO, UMNO mesti dimenangkan walau dengan apa cara sekali pun. Itu satu ketetapan atau undang-undang yang tidak bertulis dan telah diterima pakai oleh mahkamah-mahkamah di Malaysia.

Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan PAS dan penyokong serta ahli-ahli PAS sekarang ini berada dalam keadaan amat cemas kerana UMNO telah membuat 4 petisyen terhadap kerusi DUN termasuk kerusi DUN Chempaka yang dimenangi oleh Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat. Kalau ada arahan kepada hakim-hakim yang akan mengendali kes ini ini mengikut formula yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, maka bererti kerajaan PAS di Kelantan akan tumbang. Bekas Ketua Hakim Negara , Eusuff Chin pernah mengeluarkan arahan kepada Hakim Mohd. Kamil Awang yang ketika itu sedang mengendali kes pengundi hantu di Likas, Sabah supaya hakim itu menggugurkan kes tersebut, tetapi hakim ini seorang yang berani terus membatalkan keputusan pilihan raya tersebut. Laporan polis dibuat, tetapi sehingga kini kita tidak tahu apa cerita sebenarnya yang berlaku. Dalam senarai hakim-hakim yang ada dalam mahkamah kita sekarang ini, tidak ada sebarang wajah yang memberi gambaran seberani dan sehebat Hakim Mohd. Kamil Awang.

Ingat pemimpin-pemimpin UMNO akan buat apa sahaja, asalkan kuasa ada dalam tangan mereka. Halal haram tidak ada dalam kamus politik mereka. Walau bagaimana pun kita amat berharap, hakim-hakim ini bertindak bijak dan adil jangan memberi kemenangan percuma kepada UMNO. Adakan pilihan raya kecil semula, kita sama-sama masuk gelanggang secara anak jantan. Walau kita tumpas, tumpas secara anak jantan. Genarasi yang akan datang tetap mengenang sejarah kita sebagai orang yang bermaruah dan bermoral dalam berpolitik, bukan kemenangan secara pengecut dengan mempergunakan segala jentera untuk menipu dan meyeleweng dalam mengegalkan kuasa memerintah.

Sebagai kesimpulannya, DSAI akan tetap dipenjarakan sehingga tamat tempoh hukuman. DSAI boleh dibebaskan dengan dua kaedah. Kaedah pertama, melalui pilihan raya. Kaedah ini nampaknya telah gagal. Sudah dua kali percubaan dibuat, tetapi PAS dan Keadilan tetap gagal untuk mengambilalih kuasa dari segerombolan haiwan-haiwan yang bertopengkan manusia yang rakus dengan kuasa dan kekayaan duniawi. Terlalu sukar untuk mencapai matlamat kita melalui system pilihan raya yang diuruskan secara biadap dan menyempang dari adap-adap masyarakat berdemokrasi.

Kaedah kedua, DSAI perlu menyertai semula UMNO dan membubarkan parti Keadilan sepertimana yang pernah dibuat oleh Tengku Razalengh Hamzah dan Rais Yatim, membubarkan parti SM46 dan menyertai semula UMNO secara beramai-ramai serta memberi taat setia tidak berbelah bagi terhadap kepimpinan UMNO masa kini. Atau DSAI bersara terus dari arena politik arus perdana seperti yang dibuat oleh Tan Sri Musa Hitam. Soalnya adakah DSAI sanggup mengorbankan prinsip perjuangannya yang telah banyak makan korban, banyak orang telah menjadi mangsa, diserang, dipukul, dihalau macam anjing kurap, disimbah dengan air berasid, banyak wang ringgit telah dikeluarkan, sahabat-handai merana dan melarat, masa terbuang, tenaga tercurah, buah fikiran, turun-naik mahkamah dan sebagainya. Ini sahaja kaedah yang ada pada masa kini bagi tujuan pembebasan DSAI. Semua proses undang-undang yang akan dan sedang berjalan akan menemui kegagalan dan kekecewaan.

Oleh itu, kepada semua penyokong keadilan dan kebenaran bersabarlah menempuh kekecewaan demi kekecewaan. Lawan tetap Lawan, walau pun kalah. Di suatu hari nanti, pasti UMNO akan rebah jua ke bumi. Itu adalah hukum alam. Tiada yang kekal di dunia ini, melainkan ALLAH SWT yang kekal abadi selama-lamanya. Berdoalah semoga UMNO cepat pupus di muka bumi Malaysia ini. Doa adalah senjata bagi orang-orang mukmin yang dizalimi.

Sekian, terima kasih. Wassalam.





___________________________
Terbitan : 9 Mei 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net  atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD (Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)