|

|
SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun |
|
BILA PAK LAH CAKAP SOAL DIDERA DAN DIAIBKAN...
Satu dunia terkejut bila akhbar tabloid Britain, Daily Mirror
menyiarkan gambar tahanan Iraq yang didera dan diaibkan (dikencingkan
ke atas kepala yang tertutup, dibelasah dan dibogelkan) oleh tentera
British. Ia kemudiannya diikuti oleh pendedahan sebuah lagi akhbar
Amerika, The New Yorker dan pengakuan kebenaran laporan-laporan ini
oleh Amnesty International. Seluruh dunia mengutuk, bukan hanya negara-
negara Arab, tetapi reaksi sama juga disuarakan oleh Kesatuan Eropah
(EU).
Maka pemimpin-pemimpin Malaysia pun turut sama cuba untuk terus-terusan
berlakon. Akhbar-akhbar arus perdana tidak henti-henti menyorot isu
ini, berlagak seolah-olah merekalah jagoh kemanusiaan. Syed Hamid Albar
telah mengeluarkan kenyataan beliau. Hari ini Abdullah Ahmad Badawi
sendiri memberi komen. Kata beliau, keganasan ini (mendera dan
mengaibkan tahanan) tidak boleh dimaafkan dan tidak boleh diterima sama
sekali. Saya sedang tercari-cari keikhlasan di sebalik kata-kata ini,
atau ia hanya retorik politik yang semakin hari semakin jelek dan
memualkan.
Kepada Abdullah Ahmad Badawi, ingin saya ingatkan bahawa di Penjara
Sungai Buloh sana ada seorang manusia bernama Anwar Ibrahim sedang
merengkok dalam sel tahanan. Saya belum lupa yang Anwar Ibrahim ini
pernah didera (dilebamkan matanya, dipukul dengan cara yang boleh
membunuh), kemudiannya diaibkan pula (setelah lima hari dibiarkan tanpa
rawatan, Anwar dibawa berjumpa seorang doktor perempuan berbangsa India
dalam keadaan mata tertutup, tangan bergari dan TELANJANG BULAT!). Ini
semua terkandung di dalam Laporan Suruhanjaya DiRaja yang menyiasat
insiden ini. Apakah Abdullah Ahmad Badawi terlupa bahawa ini juga
adalah perbuatan mendera dan mengaibkan tahanan yang beliau sendiri
takrifkan sebagai keganasan yang tidak boleh dimaafkan? Belum lagi
dicampur dengan tuduhan-tuduhan liwat yang jelas mendera emosi dan
mengaibkan maruah bukan sahaja Anwar Ibrahim tetapi seluruh kaum
keluarganya, yang telah dibicarakan pula dalam mahkamah bersuasanakan
tidak ubah seperti sebuah orkestra terpimpin.
Jangan Abdullah Ahmad Badawi menjadi ayam yang kokoknya berderai-derai
tetapi ekor penuh bergelumang tahi. Walaupun insiden Anwar berlaku jauh
sebelum beliau menjadi Perdana Menteri, kebertanggungjawaban mesti ada
kerana kerajaan yang beliau pimpin hari ini tetap kerajaan Barisan
Nasional, kerajaan sama yang memerintah pada September 1998. Abdullah,
mahupun Syed Hamid Albar mesti menyatakan pendirian yang jelas dan
tegas, jangan hanya pandai mengkritik insiden di luar negara sana,
tetapi menutup mata terhadap apa yang berlaku di sini; kalau kuman di
seberang lautan boleh nampak, jangan pula gajah di depan mata kita
tidak perasan.
Mohd Zukri Aksah
Ketua Penerangan Angkatan Muda keADILan Negeri Pahang
http://zukri-keadilan.blogdrive.com
___________________________
Terbitan : 6 Mei 2004
Ke atas
Home
|
|