Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

PELAN INTEGRITI NASIONAL: KERAJAAN BN HIPOKRIT

KENYATAAN MEDIA (29 APRIL 2004)

PELAN INTEGRITI NASIONAL: KERAJAAN BN HIPOKRIT

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) berasa sangat sangsi terhadap usaha Kerajaan BN menubuhkan Pelan Integriti Nasional (PIN) pada 23 April yang lalu dengan tujuan untuk membina etika masyarakat Malaysia, khususnya terhadap perbuatan rasuah dan penyelewengan. DPP Pusat juga mempunya pandangan yang sama terhadap Institut Integriti Malaysia (IIM) yang turut ditubuhkan untuk memantau PIN. DPP Pusat melihat penubuhan PIN hanyalah satu usaha politik murahan Kerajaan BN yang palsu lagi hipokrit kepada rakyat kononnya Kerajaan BN mahukan sebuah kerajaan yang bersih.

PIN cuba digambarkan kepada rakyat bahawa Kerajaan BN di bawah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sedang berusaha membentuk sebuah kerajaan yang bersih daripada amalan rasuah, kronisme, kolusi, nepotisme dan penyelewengan yang diamalkan pada zaman Dr Mahathir Mohamed. PIN seolah-olah satu penerusan terhadap usaha Abdullah Badawi untuk melahirkan kerajaan bersih selepas penangkapan Eric Chia, Kasitah Gaddam dan beberapa orang bekas exco yang didakwa terlibat dengan rasuah. Sedangkan hakikat sebenar, Kerajaan BN di bawah Abdullah Badawi merupakan kerajaan yang paling tidak berperinsip, tidak bermaruah dan penuh dengan korupsi.

Kerajaan BN yang ada hari ini adalah kerajaan yang dibina atas penipuan, pembohongan dan penyelewengan yang sangat hina, jijik, keji dan terkutuk. BN telah melakukan penipuan besar-besaran dalam pilihan raya yang lepas untuk mendapatkan kuasa. BN telah menggunakan SPR untuk menipu pengundi melalui daftar pengundi, sempadan pilihan raya, undang-undang pilihan raya dan lain-lain. BN sendiri membentuk kerajaan secara kotor dengan menggunakan undi hantu, politik wang, sogokan, ugutan dan sebagainya. Ini menunjukkan bahawa Kerajaan BN yang ada hari ini adalah sebuah kerajaan yang kotor dan tidak layak langsung untuk bercakap soal integriti.

Kabinet yang dibentuk selepas pilihan raya, masih mengekalkan menteri-menteri yang diketahui umum terlibat dengan pelbagai kesalah rasuah dan penyelewengan. Beberapa menteri seperti Rafidah Aziz telah ada kertas pertuduhan rasuahnya; Nazri Aziz telah diheboh oleh media dalam isu permit teksi; Samy Vellu dalam kes Maika Holding; Aziz Shamsuddin didakwa oleh rakyat sebagai konspirator isu Anwar Ibrahim; Ong Ka Ting dituduh sendiri oleh Ketua Pemuda MCA sebagai mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas; dan sebagainya. Beberapa menteri besar seperti Menteri Besar Terengganu dituduh oleh rakyat telah membolot projek wang ehsan; Menteri Pahang dituduh menyelewengkan balak; Menteri Besar Selangor dituduh menerima rasuah; dan lain-lain. Apakah mereka ini mempunyai integriti untuk menduduki jawatan-jawatan awam yang penting? Atau apa makna PIN kepada Kerajaan BN?

Jika integriti hendak dipersoalkan, Abdullah Badawi sendiri boleh dipertikaikan kebersihan dirinya daripada amalan-amalan korupsi, konisme dan nepotiosme. Sebagai Menteri Keselamatan Dalam Negeri, beliau tidak bertindak ke atas Scomi milik nakanya yang dituduh memperdagangkan peralatan nuklear, sedangkan rakyat dikenakan ISA. Sebaliknya, Scomi dianugerahkan projek Petronas bernilai RM2.3 bilion ketika beliau sebagai individu yang bertanggungjawab terhadap Petronas. Isu Dewina Food milik adiknya yang membolot hak penyediaan makanan di IPTA-IPTA dan juga diberi tender membekalkan Maggi pada harga yang mahal ketika beliau menjadi Menteri Pertahanan. Integriti jenis apa yang hendak ditujukkan oleh Abdullah Badawi menerusi PIN.

Sebagai Pemangku Presiden Umno yang telah berada dalam Majlis Tertinggi Umno semenjak awal 1980-an, Abdullah Badawi bertanggungjawab terhadap penularan budaya politik wang besar-besaran dalam Umno. Sehingga hari ini, pemimpin Umno masih terus bercakap tentang politik wang apabila menjelang pemilihan Umno. Abdullah Badawi sepatutnya mewujudkan integriti di dalam partinya dahulu, sebelum menunjukkan ‘muka tak malu’nya untuk bercakap tentang integriti kepada rakyat. BN yang dipimpin oleh beliau telah menggunakan politik wang secara besar-besaran untuk mempertahankan kuasa dalam pilihan raya yang lepas. Ini bukan suatu yang tersembunyi lagi, seluruh rakyat mengetahuinya. Umno, BN dan Kerajaan BN adalah institusi-institusi yang tidak mempunyai integriti dan harga diri.

DPP Pusat sangat percaya bahawa Abdullah Badawi menubuhkan sebuah badan yang dinamakan PIN ini kononnya untuk membangunkan sebuah masyarakat yang beretika, sebenarnya hanyalah satu helah politik murahan untuk membina semula imej BN yang runtuh pada zaman Mahathir. Abdullah Badawi cuba menipu rakyat dengan lakonan-lakonan politik murahan seperti ini. Jika benar Abdullah Badawi mahu membentuk sebuah kerajaan yang bersih, DPP Pusat mencabar beliau membubarkan kerajaan-kerajaan yang ada dan mengadakan sebuah pilihan raya semula yang bersih dan telus. Kerajaan mestilah terlebih dahulu bersih dan telus barulah seruannya kepada kebersihan dan ketelusan berpijak di hati rakyat. Manakan mungkin rakyat boleh menghormati satu ‘seruan daripada bapa ayam supaya rakyat jangan berzina’.

SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat





___________________________
Terbitan : 7 Mei 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net  atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD (Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)