Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

DERA TAHANAN: AMERIKA PENGGANAS SEBENAR

KENYATAAN MEDIA (5 MEI 2004)

DERA TAHANAN: AMERIKA PENGGANAS SEBENAR

Dewan pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius kejadian penderaan fizikal dan seksual yang dilakukan oleh tentera Amerika Syarikat (AS) ke atas tahan perang di Iraq seperti yang dilaporkan media antarabangsa semenjak kebelakangan ini. Tindakan AS ini bukan sahaja melanggar hak asasi manusia, tetapi juga pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa sehingga membuktikan kepada dunia siapa sebenarnya pengganas. DPP Pusat melihat bahawa perbuatan kejam tentera AS ini adalah manifestasi daripada dasar-dasar ganas yang ditaja oleh Presiden George W Bush yang menggalakkan keganasan ke atas umat Islam.

DPP Pusat mengutuk sekeras-kerasnya sikap kebinatangan AS yang melakukan penderaan ke atas tahanan perang. Perbuatan biadap AS ini telah meletakan mereka dalam krisis peradaban dan kemanusiaan yang teruk dalam sejarah manusia. AS bukan lagi manusia, tetapi syaitan ganas yang lebih kejam daripada binatang buas. AS sudah tidak bertamadun dan hilang sifat kemanusiaannya. Tindakan kejam AS ini membuktikan retorik hak asasi manusia dan demokrasi yang dilaungkan ketika mula menjajah Iraq adalah lakonan palsu semata-mata untuk mendapatkan sokongan tali barutnya. Terbukti, AS bukanlah penaja demokrasi, tetapi pencetus kepada budaya kuku besi.

DPP Pusat mendesak masyarakat antarabangsa supaya mengambil tindakan yang setegas-tegasnya ke atas kebinatangan AS dan kuncu-kuncunya di Iraq. PBB mesti bertindak segera untuk menyekat AS daripada terus menggunakan nama masyarakat antarabangsa bagi melakukan keganasan di Iraq. Majlis Keselamatan PBB juga hendaklah menghalang AS daripada terus melakukan kekejaman ini. NAM dan OIC yang dipimpin oleh Malaysia mesti memainkan peranan sebagai masyarakat sivil antarabangsa untuk mengimbangi kuasa AS. OIC mewakili umat Islam bukan sahaja perlu mendesak tindakan tegas negara-negara dari seluruh dunia, tetapi mestilah membantu umat Islam Iraq sama ada dari aspek ketenteraan mahupun bantuan kemanusiaan.

DPP Pusat melihat tidak cukup jika OIC hanya mengadakan Mesyuarat Khas OIC mengenai Timur Tengah tanpa mengambil apa-apa langkah yang proaktif. Berunding dengan AS samalah seperti berunding dengan penjenayah yang berkeras mahu melakukan jenayah. Ternyata pengiktirafan AS dan Britain terhadap peranan OIC dalam menyelesaikan isu Timur Tengah hanyalah satu penipuan politik sahaja. Malaysia sebagai Pengerusi OIC telah tertipu dengan helah licik AS. DPP Pusat mendesak Malaysia supaya mengambil langkah yang lebih berkesan untuk menangani masalah ini, atau meletakkan sahaja jawatan sebagai Pengerusi OIC jika Malaysia tidak berupaya melakukan sesuatu. Kerajaan BN sepatutnya berhenti daripada memalukan rakyat negara ini dan umat Islam keseluruhannya jika Malaysia tidak berupaya menyelamatkan maruah dan nyawa umat Islam daripada keganasan AS dan kuncu-kuncunya.

SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat





___________________________
Terbitan : 7 Mei 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]  atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD (Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)