Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegang : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

MEMORANDUM MENDESAK TINDAKAN TEGAS UNITED NATION DALAM ISU PENDERAAN TAHANAN DI IRAQ

Kepada;
The Honorable Mr. Kofi Annan,
Secretary General of United Nation
United Nations Head Office,
NEW YORK

Melalui,
Pejabat UNDP,
Wisma United Nation,
Jalan Dungun,
50490 KUALA LUMPUR               6 MAY 2004

Tuan.,

MEMORANDUM MENDESAK TINDAKAN TEGAS UNITED NATION DALAM ISU PENDERAAN TAHANAN DI IRAQ

Perkara di atas adalah dirujuk.

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius laporan media massa antarabangsa tentang penderaan fizikal dan seksual yang dialami oleh tahanan perang di di Iraq. DPP Pusat melihat perkara ini sebagai satu kejadian yang sangat serius dan perlu ditangani dengan segera oleh masyarakat antarabangsa. Amerika Syarikat (AS) dan Britain sebagai kuasa besar dunia telah melakukan pencerobohan terhadap undang-undang antarabangsa yang sekali gus menyalahgunakan kedudukan mereka sebagai Anggota Tetap Majlis Keselamatan PBB untuk menimbulkan ketidakstabilan politik dunia. DPP Pusat mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tidak bertamadun ini.

Perbuatan kejam tentera AS dan Britain terhadap tahanan perang di Abu Ghaib di Iraq adalah bertentangan sama sekali dengan semangat kemanusiaan dan prinsip hak asasi manusia. Sebagai tahanan perang, mereka sepatutnya menerima layanan sebagai seorang manusia dan diberikan hak-hak mereka mengikut undang-undang antarabangsa, tetapi malangnya hak mereka telah dicabul. Penderaan fizikal, seksual dan psikologi sehingga mengakibatkan kematian ini telah meletakkan tahanan lebih hina daripada binatang. Perkara ini sama sekali bertentangan dengan semangat kemanusiaan yang terkandung dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia PBB 1948 dan Konvensyen Hak-hak Sivil dan Politik 1966. Kejadian ini juga membuktikan bahawa slogan demokrasi dan hak asasi manusia yang dilaungkan oleh US ketika mula menjajah Iraq pada Mac 2003 adalah palsu dan bertujuan mengaburi mata dunia.

PBB harus melihat tragedy ini dengan lebih luas kerana ia melibatkan penganut dua agama besar di dunia. Pertembungan antara Islam dan Kristian secara terbuka telah berlaku semenjak Peristiwa 11 September 2001. Di seluruh dunia telah timbul kebencian agama terutama terhadap penganut Islam. Mereka dituduh sebagai pengganas di seluruh dunia oleh masyarakat Barat. Beberapa perperangan antara Islam dan Kristian seperti yang berlaku di Balkan, Asia Tengah, Ambon, Mindanao dan Teluk Parsi, termasuk Palestin telah menimbulkan permusuhan yang berasaskan agama. AS and Britian yang menjajah Iraq juga mewakili penjajahan Kristian ke asas umat Islam. Ketika Barat sedang memomokkan bahawa Islam adalah agama pengganas, Barat sewenang-wenang melakukan keganasan ke atas umat Islam terutama di Palestin and Iraq. DPP Pusat membimbangi pencabulan hak asasi manusia yang berasaskan agama di Iraq ini akan membawa kepada pertembungan peradaban yang akan mengggat kestabilan dunia.

Menyedari keadaan ini yang akan semakin parah sekiranya tidak ditangani dengan segera, DPP Pusat mewakili umat Islam di Malaysia menuntut beberapa tindakan PBB seperti berikut;

i. Menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan antarabangsa yang turut dianggotai oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB untuk menyiasat penderaan-penderaan yang berlaku terhadap tahanan perang. Suruhanjaya ini hendaklah diberi kuasa untuk menyiasat secara telus semua peristiwa yang berlaku di Iraq;

ii. Menarik balik semua tentera antarabangsa di Iraq termasuk tentera AS dan Britain untuk membolehkan rakyat Iraq membentuk kerajaan sendiri tanpa campur tangan kuasa-kuasa besar dunia;

iii. Mendakwa AS dan Britain di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di atas jenayah perang yang mereka lakukan di Iraq;

iv. Mengenakan tindakan politik dan ekonomi ke atas AS and Britain untuk menghalang mereka daripada terus mengganas. PBB mewakili masyarakat antarabangsa hendaklah mengutuk perbuatan biadap US and Britain ini;

v. Menamatkan kuasa veto Majlis Keselamatan PBB yang dipegang oleh anggota tetap kerana kuasa ini telah disalahgunakan untuk mereka menjajah dan menindas negara-negara sedang membangun dan mundur;

vi. Menyediakan bantuan kemanusiaan dan pembangunan dengan segera ke Iraq untuk membolehkan satu proses pembangunan semula dibuat dengan segera.

Sekian, pandangan dan tuntutan kami.

Yang menjalankan amanah

SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ahli Parlimen Malaysia
Ketua Dewan Pemuda PAS
Setiausaha Agung Asean Muslim Youth Secretariat (AMSEC)





___________________________
Terbitan : 7 Mei 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : [email protected]  atau : [email protected]

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD (Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)