Kenyataan Media: 30 Julai 2001
MERITOKRASI MAHATHIR
Antara sebab utama mengapa masalah perkauman yang diwariskan oleh penjajah Inggeris kepada negara ini terus menggejala ialah berpunca daripada sikap dan tabiat pemimpin-pemimpin negara ini yang terus-menerus memperalatkan isu perkauman ini dalam percaturan politik mereka.
Tindakan terbaru secara tiba-tiba mengusulkan dasar meritokrasi dalam pengambilan mahasiswa baru ke universiti-universiti bukan sahaja sebagai "pukul anak sindir menantu", tetapi adalah satu lagi permainan politik perkauman dan politik balas dendam Dr. Mahathir untuk menangguk di air keruh. Dr. Mahathir secara tiba-tiba sahaja menelan cemuhannya kepada Perdana Menteri Singapura, Goh Chok Tong dan Jk Rayuan Pilihanraya Suqiu mengenai dasar meritokrasi, semata-mata untuk permainan politik sempitnya. Tentu ada udang di sebalik batu!
Parti Keadilan Nasional [keADILan] yang memperjuangkan keadilan untuk semua amat prihatin dengan tahap yang jauh ke belakang pelajar-pelajar luar Bandar, anak-anak rakyat miskin di lading-ladang dan kawasan pedalaman yang akan terus tercicir ke belakang sekiranya dasar pengambilan meritokrasi ini dilaksanakan secara semberono. Infrastruktur pendidikan yang masih rendah di kawasan desa di Semenanjung dan pedalaman Sabah dan Sarawak perlu disempurnakan terlebih dahulu sebelum dasar meritokrasi Mahathir Mohamad ini dilaksanakan.
keADILan juga berharap agar warganegara Malaysia tidak mudah terpancing oleh permainan politik adu domba Dr. Mahathir untuk ke sekian kalinya ini. Kepada golongan pengkagum Dr. Mahathir, berhati-hatilah sebelum menyokong secara 'Burung Kakaktua' kepada permainan politik Dr. Mahathir ini. Jangan dipolitikkan masa depan anak bangsa semata-mata untuk survival politik beliau kali ini.
MOHD ANUAR TAHIR
Setiausaha Agung
Parti Keadilan Nasional [keADILan]