Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Sampai bila BA rela ditekan?

Oleh : Aman Rais

Ceramah politik di tempat terbuka diharamkan kecuali semasa kempen pilihanraya. Hanya ceramah di kawasan tertutup dibenarkan. Larangan ini meliputi semua parti politik. Langkah terbaru kerajaan ini dipercayai usaha membendung pengaruh parti-parti alternatif.

Kerajaan dengan menggunakan polis dan pelbagai akta terutama Akta Polis dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sedang berusaha keras mematikan langkah PAS, DAP, Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia serta gerakan reformasi setelah pelbagai usaha memujuk dan berlembut gagal memenangi semula hati rakyat, terutama orang Melayu.

Taktik menyerang dengan kekerasan - tetapi dibenarkan oleh undang-undang - seperti ini diharapkan dapat melumpuhkan kegiatan aktivis parti-parti pembangkang ini.

Bermula dengan penahanan pemimpin muda dan agresif Keadilan seperti Mohamad Ezam Mohd Nor, Lokman Noor Adam, Tian Chua, Saari Sungib, dan N Gobalakrishnan di bawah ISA, taktik itu dilanjutkan kepada pemimpin pelajar di institusi pengajian tinggi awam.

Bertitik tolak daripada kebakaran Dewan Tunku Canselor (DTC) Universiti Malaya, dua pemimpin pelajar ditahan di bawah akta yang sama. Beberapa hari selepas itu beberapa pemimpin PAS, termasuk anggota Dewan Rakyat bagi Kuala Kedah Mohamad Sabu, ditangkap kerana berceramah tanpa permit.

Agaknya apa lagi selepas ini? Mungkinkah golongan ulama yang menyampaikan kuliah atas tiket penceramah bebas akan dijadikan sasaran? Mungkinkah senarai ulama, yang dilarang berceramah di masjid yang ditadbir oleh majlis agama negeri, akan menjadi panjang berjela?

Pancutan air asid

Jangan terkejut jika aktivis-aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan wartawan, terutama penulis-penulis bebas yang menerbitkan akhbar atau majalah tidak berkala, pula akan menjadi sasaran selepas ini.

Selepas ceramah terbuka diharamkan, di mana lagi saluran untuk rakyat mendapatkan maklumat alternatif? Stesen televisyen dan akhbar arus perdana ada tidak lebih daripada suara propaganda kerajaan, media yang lebih liberal dan berani ditutup dengan menggunakan karenah birokrasi Kementerian Dalam Negeri.

Selain penerbitan dalam Internet, rakyat bawahan sekarang menjadikan majlis-majlis ceramah terbuka sebagai saluran utama mendapatkan maklumat alternatif. Kini majlis seperti dilarang, apa lagi pilihan yang tinggal?

Ceramah tertutup masih dibenarkan tetapi apakah ada jaminan penganjur sesuatu majlis itu tidak diganggu polis pencegah rusuhan (FRU) dan pancutan air asid? Beberapa kejadian ceramah tertutup telah diserbu atau dihalang polis kebelakangan ini.

Misalnya, perhimpunan tertutup NGO yang membantah ISA di Hulu Kelang, Selangor baru-baru ini. Lebih 20 anggota polis menyerbu datang dan mengarahkan majlis ditamatkan.

Begitu juga ceramah berkelompok yang dirancang di satu kawasan perumahan di Puchong, Selangor baru-baru ini - ia terpaksa dibatalkan apabila polis mengadakan banyak sekatan jalan raya.

Adakah ini juga bermakna ceramah tertutup di Markas Tarbiah PAS di Taman Melewar, Gombak tidak boleh diadakan lagi kerana majlis-majlis itu sering bertukar ceramah umum akibat terlalau ramai pengunjung?

Marah dan meluat

Jadi apakah ada jaminan ceramah kelompok atau tertutup dapat diadakan tanpa gangguan?

Semua langkah keras yang diambil oleh kerajaan Barisan Nasional kebelakangan ini (bertujuan mengekang aktiviti parti-parti alternatif) menunjukkan kebimbangan besar mereka terhadap masa depan politik BN menjelang pilihanraya umum 2004.

Kerajaan sedar sentimen rakyat terutamanya orang Melayu tidak berubah. Sebaliknya rasa marah dan meluat terhadap Umno makin meluap-luap. Pelbagai usaha dilakukan untuk memujuk kakitangan kerajaan, guru, tentera, usahawan dan pelajar agar kembali ke pangkuan parti itu dan kerajaan, namun semuanya gagal.

Kebelakangan ini gaji, elaun dan pelbagai kemudahan baru diberikan kepada kakitangan kerajaan. Sementara dana-dana khas disediakan untuk membantu usahawan-usahawan kecil setelah beberapa kerat kroni ‘gergasi’ diselamatkan dalam pelbagai program bailout.

Taktik keras terhadap aktivis Barisan Alternatif dan langkah lembut serta memujuk dihulurkan kepada orang ramai seumpama ini diharapkan dapat mengekalkan pemerintahan BN walau selepas tahun 2004.

Adakah parti-parti alternatif, terutamanya PAS, hanya berdiam diri menerima tekanan demi tekanan ini? Jangan terlalu yakin pilihanraya umum 2004 akan memihak kepada BA kerana jika parti-parti alternatif akur dan membiarkan diri terus ditekan, sedikit sebanyak keyakinan dan harapan rakyat terhadap mereka akan terhakis.

Sampai bila parti-parti pembangkang rela diperkotak-katikkan?

..........................................
Petikan Malaysiakin.com






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 21 Julai 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com