Oleh: Anak Rakyat Marhaen (ARM)
AHAD, 29 Julai 2001: Keadaan dan suasana terkini pelajar-pelajar di Institut
Profesional Baitulmal (IPB), sebuah Institut Pengajian Tinggi Swasta di Taman
Maluri sudah semakin pulih. Namun demikian, trauma dan suasana kacau bilau pula
dapat dilihat di kalangan pentadbir dan sesetengah pensyarah IPB sendiri.
Pada hari Rabu yang lalu, seorang pensyarah di khalayak ramai secara
terang-terangan membaca artikel "Malangnya Pelajar di IPB (Edisi Gempar 1)"
sambil berkata;
"Kalau yang ini Edisi Gempar satu, tentu nanti akan ada yang lebih gempar
lagi!??"
Pada hari jumaat lepas sahaja dilaporkan satu mesyuarat tergempar telah diadakan
dengan dipengerusikan oleh Tan Sri dato' Haji Hanafiah bin Haji Ahmad, Pengerusi
Eksekutif IPB. Menurut sumber, antara perkara yang dibincangkan ialah untuk
mewujudkan suatu program yang dipercayai bagi mendekati atau mengambil hati
pelajar.
Bagaimanapun, seorang pensyarah yang tidak mahu mendedahkan identiti beliau
berkata, "Pihak pentadbiran mempersoalkan mengapa perlu 6 orang pensyarah
tersebut meletakkan jawatan hampir serentak"
Selain daripada itu, ketika menghadiri Acara Pertandingan Nasyid sempena Bulan
Kesedaran 2001, Puan Maheran Nasahar, Koordinator Program Usahasama UiTM-IPB
dikatakan dengan penuh emosi telah menyelar tindakan pelajar-pelajar menyebarkan
laporan-laporan yang dicetak dari internet berkenaan isu IPB yang kononnya
sangat sensitif itu.
Sebelum itu di dalam suatu Majlis Diskusi yang dianjurkan sempena bulan yang
sama, Hajjah Azmawati Bachik, Ketua Akademik (Pengarah) IPB dikatakan telah
melenting hanya kerana soalan seorang pelajar senior yang kononnya menggugat
ketenteraman IPB. Atas alasan itu beliau telah mengarahkan semua jenis Majlis
Diskusi di kalangan pelajar agar tidak diadakan. Sedangkan majlis tersebut telah
mendapat sambutan yang luar biasa daripada pelajar.
Bagaimanapun, Majlis Perwakilan Pelajar Institut Profesional Baitulmal(MPPIPB)
telah gagal memainkan peranan untuk memenuhi kehendak para pelajar di dalam hal
ini. MPPIPB tidak langsung bersungguh-sungguh mahu mendesak keputusan itu
ditarik balik sedangkan suara ramai pelajar mahu majlis itu diteruskan.
Hasilnya, pada pagi ini Acara Tarik Tali yang diadakan pada awal pagi tidak lagi
mendapat sambutan dari para pelajar yang telah kecewa dengan tindakan
memansuhkan 'hak mereka untuk berdiskusi'.
Jangan sampai nanti MPPIPB hanya mampu mengurut hidung yang sakit akibat dicucuk
atau mengeluh sakit tulang belakang kerana letih diperkudakan.