Oleh ARZAMAN SULAIMAN
SEMENJAK penyingkiran Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kerajaan dan Umno, Mahathir Mohamad kelihatan sudah hilang wibawa.Taringnya semakin tumpul dan hampir tercabut. Kredibilitinya sebagai pemimpin nombor wahid negara semakin dirobek-robek. Mahathir silap kerana "menjentik" Anwar yang terus mendapat simpati rakyat.
Buatlah apa sahaja untuk memujuk dan meredakan kemarahan rakyat. Rakyat sedar semakin Mahathir banyak bercakap semakin menyerlahkan pembohongannya. Mahathir mencuba lagi bagi memulihkan imejnya yang tercalar hebat, dengan mencetuskan pelbagai isu terutamanya yang berkaitan dengan isu hak istimewa dan ketuanan orang Melayu serta isu-isu keagamaan. Beliau amat berharap agar isu-isu itu dapat mengembalikan sokongan orang Melayu kepada dirinya, Umno dan BN. Dari isu suqui dan ketuanan Melayu membawa kepada isu Amanat Hj Hadi yang berusia lebih 20 tahun yang lain juga telah dibangkitkan semula.
Namun apa jua isu yang dibangkitkan dan kemudiannya dimainkan dengan hebat oleh media-media arus perdana tetap tidak mendapat perhatian rakyat. Rakyat tetap memandang sinis dan terus pasif terhadap isu yang dibangkitkan. Isu-isu ini hanya menarik perhatian pemimpin Umno yang terkenal dengan sikap yesman mengulas dalam media. Mereka tetap menyokong walaupun Perdana Menteri berkata, satu hari nanti mungkin negara ini akan diperintah oleh seorang Perdana Menteri yang bukan di kalangan orang Melayu.
Kalau sebelum peristiwa 1998, apa saja isu yang dilafazkan oleh seorang yang bergelar Perdana Menteri tidak kira sama ada Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussien malah Mahathir sendiri pastinya mendapat perhatian, sambutan dan tindakan yang positif daripada rakyat terutama sekali orang Melayu. Senjata paling ampuh yang sering digunakan oleh Perdana Menteri khasnya Mahathir ialah isu ketuanan Melayu dan hak istimewa orang Melayu, tetapi ia tidak menjadi. Mengapa boleh jadi begitu? Kenapa rakyat terutama sekali orang Melayu menjadi begitu pasif terhadap apa jua isu yang dibangkitkan? Jika kenyataan ketua eksekutif negara yang bergelar Perdana Menteri sudah tidak dipedulikan bermakna, parti dan kerajaan itu sedang menanti saat-saat kehancuran.
Fenomena ini berlaku kerana rakyat mula sedar bahawa Mahathir menggunakan isu-isu tersebut hanya untuk kepentingan politiknya supaya orang Melayu terus berada dibelakang BN/Umno. Majoriti orang Melayu beranggapan semua itu hanyalah sandiwara politik Mahathir. Hakikat sebenarnya, di bawah kepimpinan Mahathirlah segala keistimewaan orang Melayu banyak terhakis.
Pada zamannya pengenalan sebagai orang Melayu dalam kad pengenalan ditiadakan. Biasiswa untuk pelajar Melayu di IPTA hilang malah banyak lagi kepentingan Melayu yang lain hilang sedikit demi sedikit.
Kini isu terbaru yang dibangkitkan oleh Mahathir mula mendapat liputan meluas akhbar-akhbar arus perdana, daripada isu kuota pelajar Melayu ke IPTA serta isu perumahan - orang luar boleh membeli rumah yang berharga RM250,000 ke atas tanpa dikenakan sebarang levi dan syaratsyarat lain. Persoalan yang timbul kini kenapa Mahathir memberikan kelonggaran itu? Adakah kesemua rakyat Malaysia telah mrmpunyai sekurang-kurangnya satu nimah untuk satu keluarga? Adakah rumah rumah murah yang sepatutnya dibina telah melebihi permintaan?
Tindakan Mahathir ini dipercayai untuk menjaga kepentingan kroni-kroninya yang menjadi pemaju dan pembina rumah-rumah mewah. Apabila permintaan terhadap rumah-rumah mewah ini semakin kurang maka untuk menyelamatkan mereka, kerajaan telah memberikan kelonggaran untuk orang asing membelinya.
Dasar ini pastinya akan menggalakkan pemaju-pemaju perumahan berlumbalumba mencari lokasi yang strategik untuk mendirikan rumah yang berharga lebih RM250,000 kerana pasarannya lebih meluas dan keuntungan yang lebih banyak. Akibatnya pemaju-pemaju perumahan hilang minat untuk mendirikan rumahrumah kos sederhana dan murah. Kesannya rakyat terutama yang tinggal di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Johor akan menghadapi masalah untuk mendapatkan rumah di negeri-negeri ini kerana ia sudah menjadi tumpuan pembeli luar.
Kalau dulu Mahathir pernah melabel Anwar sebagai agen asing yang hendak menjajah semula negara ini, sekarang Mahathir menjadi agen kepada siapa setelah membuka pintu kepada orang asing untuk membeli rumah di negara ini sedangkan masih terlalu ramai lagi rakyat negara ini yang "laparkan" rumah? Tanpa disedari tindakan menjual rumah kepada orang asing seolah-olah menggambarkan Perdana Menteri telah berusaha menjual negara kepada orang asing. Nampaknya sikap, tindakan serta dasar yang dibawa oleh Mahathir banyak menjejaskan rakyat terutama sekali orang Melayu. Akibat terlalu ghairah mengejar pembangunan atas nama kemajuan Mahathir sanggup mengetepikan kepentingan rakyat khususnya orang Melayu.
Mahathir seolah-olah terlupa dari mana beliau datang dan berjaya menduduki takhta kekuasaan kerajaan. Sedarlah wahai Mahathir bahawa kamu berada di situ kerana kamu merupakan Presiden Umno dan majoriti anggota Umno pula terdiri daripada orang Melayu. Begitu juga kawasan pilihan raya parlimen yang diduduki sekarang juga merupakan kawasan majoriti orang Melayu, jadi mengapa Mahathir memperkenalkan dasar yang merugikan orang Melayu?
Inilah tugas dan misi penting kepimpinan Umno baik di peringkat cawangan, bahagian, negeri lebih-lebih lagi barisan kepimpinan MT Umno untuk membetulkan dasar yang diperkenalkan oleh Mahathir. Pandanglah segala dasar yang diperkenalkan oleh Mahathir daripada kaca mata orang Melayu di peringkat bawah. Jangan lihat dari sudut kemampuan diri sendiri yang begitu jauh tarafnya daripada orang Melayu di peringkat akar umbi yang terkial-kial mencari rezeki apalagi untuk memiliki rumah.Dan jangan sekali-kali hanya menjadi tukang angguk dan ampu semata-mata untuk menjaga kepentingan diri sendiri.
Oleh kerana kepimpinan Umno langsung tidak berani menegur Mahathir menyebabkan beliau begitu berani bertindak mengikut hatinya untuk menjaga kepentingan beberapa kerat peniaga yang berada di bawah naungannya. Misalnya tindakan kerajaan membeli balik saham MAS yang berharga RM3.30 dengan harga RM8.00. Tindakan ini sebenarnya bukan bertujuan untuk menyelamatkan MAS sebaliknya menyelamatkan Tajudin Ramli.
Rasanya tidak ada manusia di dunia ini mahu membeli satu unit barangan yang harganya hanya RM3.30 tetapi diminta membayar dengan harga RM8.00. Jika ada orang yang bertindak begitu, bukan saja orang lain malah peniaga yang menjual barangan itu sendiri akan mengatakan kita bodoh malah mungkin gila kerana kita sanggup mengambil rugi dalam pemiagaan. Jadi dalam keadaan ini apakah label yang patut diberikan kepada kerajaan Malaysia? Kenapa pemimpin Umno yang berada di dalam kabinet dan MT Umno tidak bersuara untuk membantah tindakan ini?
Justeru, jangan hairan jika berbondong bondong orang Melayu meninggalkan Umno dan memberikan sokongan kepada Barisan Altematif. Jangan salahkan mereka. Mereka telah memberikan kepercayaan yang cukup lama kepada Umno tetapi kepimpinan Umno kini sudah lari jauh daripada landasan perjuangan yang sebenar.
Jangan salahkan pembangkang yang dituduh menabur fitnah, yang salah Presiden Umno kerana tindak-tanduknya yang merugikan bangsa, yang silapnya pemimpin Umno yang tidak berani bersuara menegur kesilapan Presiden.
Rata-rata pemimpin Umno hanya mampu jadi pak angguk dan pengampu nombor wahid. Seandainya ada pemimpin yang berani bersuara maka orang itu akan dinyahkan dari saf kepimpinan parti apabila tiba masanya. Dan sebelum itu tokoh yang mengkritik pimpinan atasan akan dikritik oleh pengampu-pengampu Presiden. Akibatnya Umno mula hilang sokongan daripada majoriti orang Melayu dan jika keadaan ini berterusan tidak mustahil Umno yang dipimpin oleh Mahathir akan mencipta satu lagi sejarah, giliran Umno menjadi pembangkang.