Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Tauliah Mengajar Di Sabah: Jabatan Imigresen dan Jabatan Agama Negeri Mesti Berdialog

Tenaga pengajar agama/pendakwah/guru al-Qur'an bukan warganegara di Sabah memang cukup digemari oleh segelintir masyarakat Islam di Sabah. Untuk menjadikan mereka itu guru di instutusi pengajian agama/sekolah rakyat/pengajar/bilal di masjid/surau di beberapa masjid terutama di sekitar bandar. Memang mereka sebagai bukan warganegara perlukan visa menetap di Sabah dari Jabatan Imigresen dan juga tauliah mengajar dari Jabatan Agama.

Disebabkan urusan mereka (bukan warganegara) ini di dua jabatan kerajaan. Kedua-dua jabatan kerajaan iaitu Jabatan Imigresen (pengeluar visa/permit menetap) dan Jabatan Agama (pengeluar Tauliah Mengajar). Mengikut sumber Jabatan Agama, pihak di Jabatan Imigresen pernah mendesak tentang surat tauliah mengajar disegerakan untuk mereka memproses visa bukan warganegara yang akan tamat tempoh menetap mereka di Sabah.

Pada penulis isu seperti ini tidak sepatutnya timbul antara dua jabatan kerajaan dalam menyelesaikan urusan bukan warganegara. Kata seorang rakan penulis, apakah tauliah yang dikeluarkan oleh jabatan agama itu menjadi syarat lulusnya atau tersambungnya visa pemohon bukan warganegara untuk terus menetap di Sabah. Ini yang kita musykil tambahnya, sepatutnya pihak Imigresen mendekati dan memahami tugas atau fungsi jabatan agama negeri, kerana setiap jabatan kerajaan ada prosedur dan peraturan tertentu yang mesti dipatuhi. Adalah tidak wajar sama sekali kerana untuk menolong atau mengunakan budibicara undang-undang/peraturan/prosedur jabatan diketetapikan atau dilanggar sebegitu rupa.

Penulis juga difahamkan bahawa pemohon mendapatkan tauliah mengajar agama di jabatan agama Islam negeri Sabah majoritinya adalah datang dari bukan warganegara. Dalam soal keagamaan ini, memang kita tidak membezakan sesiapa, tetapi PATUT difahami setiap negara di dunia ini ada undang-undang tersendiri yang wajib dipatuhi oleh bukan warganegara. Ini yang mengecewakan kita, bukan warganegara kita bantu sekalipun membelakangi peraturan dan undang-undang, tapi untuk urusan rakyat warganegara kita lebih ketat. Kenapa ini terjadi, dimana kita meletak jati diri bangsa sebagai rakyat Malaysia. Apakah ada di kalangan pegawai tinggi/pegawai/kakitangan kerajaan lebih mementingkan bukan warganegara dengan keselamatan dan kedaulatan rakyat, negeri dan negara ini?.

Memang isu warga asing di Sabah cukup popular dan rumit. Pegawai kerajaan dan jabatan kerajaan yang melibatkan sama ada secara langsung atau tidak dengan bukan warganegara ini seperti berada dipersimpangan yang cukup susah. Kerana sikap kita sendiri tidak tegas dengan peraturan dan undang-undang, terlalu hendak menunjuk sikap toleransi, ihsan dan manusiawi. Tetapi sebenarnya tidak kena tempatnya. Akhirnya kita sendiri yang tersepit.

Moga-moga Jabatan Imigresen dan Jabatan Agama Islam Negeri dapat mencari satu pendekatan terbaik, berdialog atau apa juga cara ke arah menyelesaikan kekusutan, ketidak fahaman dan juga salah tanggap antara kedua agensi kerajaan ini. Dengan harapan kerjasama antara pelbagai jabatan kerajaan dalam mengatasi isu warga asing/PTI di Sabah benar-benar menjadi kenyataan. Sekian, insya-Allah selepas ini penulis akan menulis lagi isu-isu menarik tentang pendakwah warga asing di Sabah.

Kiriman: Pendakwah Anak Sabah,
Kota Kinabalu.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 21 Julai 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com