Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Parlimen Eropah tuntut benarkan Anwar memilih kaedah rawatannya sendiri

Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Ahli-ahli Parlimen, Inter-Parliamentary Union, yang berpangkalan di Geneva telah mengambil ketetapan dalam sesinya yang ke-94 pada pertengahan bulan lalu menuntut Kerajaan Malaysia membenarkan Datuk Sri Anwar Ibrahim dirawat oleh pakar dan menurut kaedah pilihannya sendiri. Parti Keadilan Nasional (Keadilan) ketika memaklumkan demikian dalam satu kenyataan hari ini berkata, Kerajaan Malaysia kini wajar mempertimbangkan permohonan Anwar untuk mendapat rawatan pakar di Jerman sesegera yang mungkin bagi merawat sakitnya.

Setiausaha Agung Keadilan, Mohd Anuar Tahir berkata, keputusan Inter-Parliamentary Union itu menunjukkan bahawa Anwar mempunyai kes untuk menuntut haknya sebagai warga negara Malaysia dipenuhi oleh kerajaan.

Sementara itu dalam kenyataan yang berasingan, Keadilan turut menyatakan rasa terkejutnya dengan tindakan terbaru kerajaan menahan seorang pelajar Institut Kemahiran Mara, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pagi tadi.

Kata Mohd. Anuar, sepanjang pengetahuan Keadilan, inilah kali pertama seorang pelajar ditahan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri sejak lebih 26 tahun yang lalu.

Pada penghujung tahun 1974, sejumlah pemimpin dan aktivis pelajar telah ditahan di bawah akta warisan penjajah ini termasuklah beberapa pemimpin pelajar Universiti Malaya, ITM dan juga Presiden ABIM, Anwar Ibrahim.

“Jelaslah kerajaan Dr Mahathir Mohamad semakin hari semakin terdesak, sehingga seorang rakyat biasa, remaja yang masih di bangku pengajian, ditahan di bawah ISA demi propaganda murahan. Keadilan mengutuk keras penggunaan ISA terhadap rakyat jelata dan menuntut Khairul Anuar dibebaskan atau dibicarakan di mahkamah terbuka seandainya beliau didapati melakukan sebarang kesalahan – dan bukannya dikurung di bawah akta ini,” kata Mohd. Anuar






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 6 Julai 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com