Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Lafaz cerai menerusi khidmat SMS sah: Mufti Terengganu

KUALA TERENGGANU, Rabu – Lafaz cerai menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) telefon bimbit dikira sah mengikut hukum syarak, kata Mufti Terengganu, Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir.

Beliau berkata, lafaz cerai boleh dilakukan dengan direkod atau tanpa rekod, atau sama ada dilakukan di khalayak atau sebaliknya.

“Masyarakat perlu faham, suami mempunyai kuasa melafazkan cerai dan tindakan itu tidak hanya tertakluk di hadapan isteri.

“Kemudahan penggunaan teknologi komunikasi maklumat membolehkan perceraian dilakukan ke atas pasangan yang tinggal berjauhan,” katanya ketika diminta mengulas permintaan Puteri Umno, semalam, supaya pihak berkuasa di negara ini tidak membenarkan lafaz cerai melalui khidmat SMS seperti yang diiktiraf di Singapura dan beberapa negara Arab.

Ketua Penaja Puteri Umno, Azalina Othman Said, dalam kenyataannya berkata, kebenaran lafaz talak menerusi SMS telefon selular itu boleh disalahgunakan.

Abdul Halim berkata, masyarakat tidak boleh melarang sesuatu perkara atau melatah sekiranya ia mengikut hukum syarak kerana itu adalah peraturan dan hukum Allah.

“Tugas umat Islam hanya mematuhi hukum dan peraturan yang ditetapkan Allah,” katanya.

Bagaimanapun katanya, lafaz cerai itu perlu mendapat pengesahan daripada Mahkamah Syariah dan sekiranya suami mengaku bahawa dia berniat untuk menjatuhkan talak kepada isterinya maka, lafaznya itu dikira sah tanpa perlu dipertikaikan.

“Manakala bagi suami yang tidak mengaku berbuat demikian dengan SMS atau e-mel atau telefon, pihak mahkamah akan mencari bukti dan sekiranya suami berbuat demikian tetapi tidak mengaku, dia akan berhadapan dengan hukuman Allah,” katanya.

Beliau berkata, tidak timbul masalah kaedah SMS akan menganiaya golongan wanita kerana ia sudah ditentukan dalam hukum syarak.

Dalam laporan akhbar 6 Julai lalu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahya, mengesahkan bahawa lafaz cerai menerusi SMS sah mengikut hukum syarak dan kesannya sama seperti penggunaan surat, telefon dan e-mel.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 12 Julai 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com