Oleh LORIEN HOLLAND (FEER)
Di Terengganu, pertempuran sengit sedang berlangsung. Bagaimanapun ia tidak melibatkan senjata-senjata konvensional, dan bala tentera yang terlibat pula ialah aktivis-aktivis politik, bukannya anggota infantri.
Kemenangan dicapai menerusi perhimpunan rakyat, bukan melalui pertarungan yang menumpahkan darah. Akan tetapi kesannya sama gawatnya dengan pertempuran fizikal. Ini kerana, natijah kemenangan itu amat penting – si pemenang setidak-tidaknya akan memiliki kuasa untuk membentuk kerajaan Malaysia pada masa depan.
Apabila parti pembangkang Islam mula menguasai Terengganu, setelah menang besar dalam pilihan raya umum pada akhir 1999, pantai-pantai yang indah dan ladang-ladang kelapa sawit yang tebal di negeri itu mula menjadi medan pertelagahan bagi merebut hati dan minda rakyat Malaysia.
Di satu pihak, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berusaha gigih menonjolkan imej yang lebih toleran dan cuba membentuk corak pentadbiran yang bakal dijadikan model untuk ditunjukkan kepada pengundi-pengundi bahawa parti itu mampu mentadbir Malaysia menurut kaedah moden tapi berlandaskan prinsip-prinsip Islam.
Di pihak lain, Umno, dengan kuasa yang ada padanya, berhempas pulas cuba menggagalkan apa saja usaha yang cuba dilaksanakan PAS; mencanangkan bahawa terdapat perpecahan dalam parti itu, dan cuba menyakinkan pengundi bahawa PAS hanya akan membawa masalah kepada orang bukan Islam, kaum wanita dan juga ekonomi negara.
“Kami berjaya mendapatkan sokongan rakyat di peringkat akar umbi dan menjadi ancaman yang sangat ditakuti Umno. Kini mereka (Umno) cuba merampas kekuatan itu daripada kami,” kata Wan Mutalib Embong, salah seorang anggota pentadbiran kerajaan PAS Terengganu.
Perwakilan Umno Terengganu dalam perhimpunan Umno lalu, Abdul Rashid Ngah pula menekankan bahawa usaha partinya untuk mendapatkan semula sokongan pengundi telah pun membuahkan hasil. “Secara perlahan-lahan kami menyerang balas; kami dedahkan kelemahan-kelemahan PAS dalam mentadbir negeri, dan rakyat di peringkat akar umbi mula sedar bahawa mereka telah melakukan kesilapan,” katanya.
Antara serangan balas itu termasuklah arahan pusat menyekat pemberian royalti kepada Terengganu atas hasil minyak yang diperolehi di perairan pantainya. Dana ini kemudiannya diagihkan terus dari Kuala Lumpur kepada sekolah-sekolah, hospital dan masyarakat tempatan di Terengganu. Memandangkan lima perempat peratus perbelanjaan negeri selama ini datangnya dari royalti minyak, ketiadaannya memberikan kesan yang sangat besar pada rancangan ekonomi PAS.
“Kami telah dirompak,” kata Mustafa Ali, Exco yang mengawasi dasar ekonomi negeri, dan orang no. 2 dalam pentadbiran PAS negeri itu. “Mereka lakukan semua itu kerana kepentingan politik; untuk menyukarkan kedudukan kami,” katanya. Menurut kerajaan pusat, perubahan itu perlu untuk memastikan dana tersebut diurus dengan betul.
Ekoran sekatan royalti itu, kerajaan PAS Terengganu mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan pusat. Tetapi, memandangkan kes tersebut berjalan amat perlahan, beberapa rancangan pentadbiran PAS Terengganu terpaksa dibekukan. Bagaimanapun, tumpuan baru telah diberikan kepada sektor swasta bagi mengelakkan kerajaan negeri membiayai projek-projek yang akan dijalankan. Ahli-ahli perniagaan berkata pentadbiran baru ini lebih telus dan bersedia membantu syarikat-syarikat kecil dan sederhana, walaupun natijahnya masih belum menunjukkan tanda-tanda ia dapat mempertingkatkan ekonomi negeri itu.
Bagi PAS, kemajuan ekonomi Terengganu sangat penting bagi meraih sokongan pengundi di tempat-tempat lain di Malaysia. Ini kerana, ia perlu dibezakan dengan jirannya, Kelantan yang merupakan kubu kuat PAS selama lebih satu dekad tetapi ekonominya dilihat sebagai terbantut.
Sementara Kelantan ditadbiri berdasarkan prinsip-prinsip Islam yang ketat, Terengganu mengambil pendekatan yang lebih praktikal, dan ini diharapkan dapat memenangi hati pengundi, khususnya pengundi di kawasan bandar yang sangat mengharapkan ekonomi negeri itu berkembang dan diurus dengan cekap.
Pemimpin-pemimpin PAS Terengganu juga telah memainkan peranan yang besar dalam usaha menggerakkan parti itu memasuki politik arus perdana. Dalam perhimpunan agung parti itu Jun lepas, buat pertama kalinya seorang wanita, serta sekumpulan intelektual yang moderate dilantik menduduki jawatankuasa pusatnya.
Ahli-ahli PAS yang moderate ini juga diberikan tanggung jawab bertemu dan berbincang dengan wakil-wakil gereja dan melawat kuil-kuil Buddha untuk melebarkan jalinan PAS dengan pelbagai komuniti di Malaysia.
Bertentangan dengan itu, media-media kebangsaan, yang kebanyakkannya dikawal ketat parti pemerintah, terus menonjolkan contoh usaha-usaha keras PAS melaksanakan peraturan agama di negeri-negeri yang dikuasainya.
Laporan mengenai kerajaan Terengganu mengenakan peraturan kaunter bayaran berasingan bagi lelaki dan perempuan di pasaraya, mengharamkan salun uniseks dan alkohol, semuanya dilebih-lebihkan. Hakikatnya, orang bukan Islam di Terengganu masih boleh mendapatkan alkohol. Malah, Hotel Primula yang dimiliki kerajaan, yang terletak di ibu negeri itu, Kuala Terengganu, hingga kini masih mempunyai salun uniseks, dan walaupun kerajaan PAS telah mengeluarkan arahan diwujudkan kaunter bayaran yang berasingan, namun ia masih belum dikuatkuasakan.
Kekeliruan mengenai arah tuju dan matlamat parti itu timbul barangkali disebabkan, di Terengganu sendiri masih terdapat percanggahan mengenai beberapa isu penting, khususnya mengenai peranan Islam itu sendiri.
Ahli PAS yang dilihat lebih moderate seperti Syed Azman Syed Ahmad, Ahli Parlimen PAS kawasan Kuala Terengganu berkata, Pas tidak akan melaksanakan konsep kerajaan Islam sepenuhnya dan wanita-wanita digalakkan bertanding merebut jawatan. Tapi Mustafa Ali, wakil kerajaan Terengganu pula berkata, wanita tidak dibolehkan menceburi dunia politik dan kerajaan mahu melaksanakan sepenuhnya undang-undang Islam di negeri itu.
“Disebabkan PAS merupakan parti pembangkang, ia menghimpunkan orang yang mempunyai pandangan yang sangat berbeza. Justru, amat sukar untuk melahirkan satu dasar yang sepadu,” jelas seorang diplomat asing di Kuala Lumpur. “Persamaan ini boleh dilihat pada parti Green di Jerman dimana mereka yang pada asasnya mempunyai pandangan yang bertentangan, berada dalam kelompok yang sama.”
Contoh terbaik untuk menjelaskan tentang pergelutan ini ialah dengan melihat kes patung penyu yang terdapat di tengah-tengah bulatan di bandar Kuala Terengganu sejak 25 tahun yang lalu. Sebaik sahaja mengambilalih pemerintahan kerajaan Pas telah merobohkannya dengan alasan ia bertentangan dengan prinsip Islam. Apabila media kebangsaan mula menyamakan tindakan tersebut dengan tindakan puak Taliban di Afghanistan (merobohkan patung Buddha), ahli-ahli PAS yang moderate berkata, tindakan itu wajar untuk membolehkan projek membina jalanraya dilaksanakan. Tapi sehingga kini projek tersebut belum dijalankan. Dan, selain itu, sebuah patung penyu yang lain, iaitu di lobi Hotel Primula, masih berdiri megah, dan nampaknya belum ada rancangan untuk merobohkannya.
“Kami rasa kita patut memberikan masa kepada pentadbiran baru ini menyesuaikan diri,” kata Su Lim, Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Cina di Kuala Terengganu. “Tapi isu utamanya di sini ialah, bagaimanakah bentuk kerajaan Islam yang hendak dilaksanakan itu dan apakah ia akan membela nasib orang-orang bukan Islam?”
Orang bukan Islam – kebanyakannya dari kaum Cina dan India – mewakili satu pertiga jumlah penduduk Malaysia. Walaupun 95% penduduk Terengganu adalah orang Islam, namun di kawasan-kawasan bandar di seluruh negara, peratus terbesar penduduknya adalah orang bukan Islam dan undi mereka sangat penting jika PAS berhasrat memerintah masyarakat.
Sejauh ini, masyarakat Cina masih menyatakan persetujuan pada pentabiran baru Terengganu itu. Permit-permit perniagaan lebih mudah diperolehi, tanah-tanah yang telah lama dipohon kini telah diberi jaminan untuk diberi hakmilik kepada penduduk sebuah kampung yang dikenali sebagai Kampung Pulai, dan cukai-cukai yang pernah dikenakan oleh kerajaan Umno terhadap pintu gerbang yang terdapat di sebuah kawasan Cina di Kuala Terengganu, kini telah dihapuskan.
Bagaimanapun tidak semuanya berjalan dengan baik lancar. Agak mengejutkan masyarakat Cina di sini ialah apabila kerajaan baru itu mengharamkan kerja shif malam bagi kaum wanita, tapi akhirnya setelah rundingan diadakan, ia dibenarkan dengan syarat pengangkutan disediakan untuk menghantar mereka pulang selepas bekerja. Konsesi yang membenarkan orang Cina menternak babi pula sebenarnya terlalu sedikit maknanya memandangkan syarat-syarat yang dikenakan terlalu sukar untuk dipenuhi.
“Kerajaan membenarkan kita berbuat sesuatu yang kita tidak dapat buat. Inilah helah mereka untuk cuba mendapatkan sokongan orang bukan Islam,” kata Wong Foon Neng, seorang tokoh perniagaan terkenal di Kuala Terengganu.
Namun begitu, kalaulah jumlah kehadiran orang ramai dalam ceramah-ceramah politik yang diadakan boleh dijadikan kayu ukur untuk menentukan kekuatan sokongan, maka PAS nampaknya masih terlalu jauh meninggalkan Umno.
Dua perhimpunan yang diadakan di Kuala Terengganu baru lalu mengundang beribu-ribu orang dan diserikan pula dengan puluhan gerai yang menjual majalah-majalah, akhbar dan VCD pembangkang. Di tempat lain, di serata negara, bilangan penyokong PAS terus meningkat.
Penyokong-penyokong kuat PAS berkata, pilihan raya 2004 menjanjikan kemenangan yang besar buat parti itu. Tidak menghairankan, kerana penyokong-penyokong Umno sendiri menyimpulkan, kali ini daripada lebih banyak negeri bakal jatuh ke tangan pembangkang.