Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Jomo: Khabar angin untuk diamkan Daim

Oleh Susan Loone
(masukkan dua pasport, dan juga quotation)

KHABAR-KHABAR angin mengenai Tun Daim Zainuddin ditangkap dan serbuan ke atas pejabat-pejabat mereka yang rapat dengannya, adalah bertujuan untuk mengugut beliau dan kroninya, bagi memastikan mereka tidak menimbulkan sebarang tentangan terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, kata profesor ekonomi terkenal, Dr Jomo KS.

Walau bagaimanapun, kata Jomo, ugutan-ugutan tersebut mungkin tidak memberikan kesan seperti yang diharapkan.

“Mungkin ramai orang mendakwa sebelum ini tidak banyak tanda menunjukkan mereka akan bertindak balas, tetapi mungkin juga mereka akan bertindak secara ‘undergroun’', atau memaksa mereka membuat pakatan yang tak pernah difikirkan sebelum ini,” katanya lagi.

“Daim mungkin akan mendakwa: ‘Tak adillah, kita buat semua ini sama-sama, tetapi sekarang saya seorang saja yang dipersalahkan’,” kata Jomo.

Daim meletakkan jawatan Menteri Kewangan secara rasmi pada 1 Jun, selepas bercuti selama dua bulan. Dia juga melepaskan jawatan Menteri Tugas-tugas Khas dan Bendahari Umno.

Sejak itu tersebar khabar angin mengatakan beliau ditangkap. Timbalan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi menafikannya; dan baru-baru ini Dr Mahathir juga menafikannya.

Mengikut Jomo, keputusan-keputusan dasar terbaru yang dikaitkan dengan Daim, telahpun disemak semula.

“Semua semakan dan kebalikan dasar akan dianggap sebagai menolak Daim. Hal itu membolehkan kerajaan memisahkan dirinya daripada beberapa keputusan yang memalukan, seperti bailout MAS, Time dotCom dan LRT,” tegas pensyarah ekonomi lulusan Universiti Yale dan Harvard itu.

Siapa yang bertanggungjawab

Jomo yang telah menulis 30 buah buku dan mengedit lebih 40 buku berkata, perkembangan terbaru telah menimbulkan pertanyaan-pertanyaan penting mengenai siapakah yang bertanggungjawab terhadap dasar ekonomi, dan mengenai peranan kabinet.

“Apakah Majlis Penasihat Ekonomi Kebangsaan telah menggantikan kabinet, atau apakah ia juga menjadi pembantu kepada Mahathir – ‘First Lord of the Treasury’ - Perdana Menteri? Atau kepada Daim, yang dikenali sebagai tsar ekonomi negara ini?” soal Joma.

Menurut beberapa penganalisis ekonomi, pengganti Daim tidak akan membawa sebarang perubahan dalam dasar ekonomi Malaysia.

Seorang penganalisis berkata, “Menteri kewangan yang baru akan menjadi seorang lagi yang taat setia kepada Mahathir. Malaysia tetap menjadi ekonomi yang pro-pasaran, yang memberi sedikit pertimbangan kepada soal agihan, atau kepada keperluan buruh.”

Dalam satu sidang akhbar baru-baru ini Mahathir berkata Menteri Kewangan yang baru mestilah seorang yang ‘bersih’ dan tidak kontroversil, yang tidak semestinya ahli politik.

“Ini merupakan satu tamparan ke muka Daim, kerana PM menyatakan apa yang telah lama didakwa oleh pengkritiknya. Dan itu juga menunjukkan yang PM telah membiarkannya selama ini,” kata Jomo.

“Sekarang sukar untuk menemui seorang yang ‘bersih’ di kalangan kerusi kerajaan. Kalau ada pun ialah orang yang belum lagi mendapat peluangnya,” kata beliau lagi.

‘Checks & balances’ lemah

Jomo yang pernah memberi kuliah di universiti Harvard, Yale dan Cornell serta tiga universiti di Malaysia berkata, kita perlu kepada reformasi menyeluruh dalam pentadbiran kerajaan.

“Mereka yang memegang kuasa terlalu lama cenderong untuk menyalahgunakan kuasa, terutama apabila ‘checks ands balances’ lemah, dan sejarah serta budaya pula tidak membina norma dan precedent yang sihat dan kuat,” katanya.

Kedudukan Menteri Kewangan di negara ini telah menjadi terlalu berkuasa dan mudah disalahguna, kerana dia meluluskan kontrak-kontrak yang menguntungkan, dan dalam persekitaran yang semakin tidak telus. Malah, kata Jomo, proses tender pun misalnya, disembunyikan sebagai rahsia rasmi.

“Adanya ahli-ahli perniagaan yang mempunyai rangkaian sebagai anak didik menteri, menyebabkan berleluasanya kronisme. Begitu juga dengan ahli-ahli politik ambitious yang merestui politik wang, dan pemaju-pemaju ‘pharaonic’ dengan kompleks-kompleks mega.

“Semua itu tidak boleh menggantikan sistem ‘checks and balances’ yang kuat, ketelusan, dan akauntabiliti awam,” tegas Jomo.

Sama ada Menteri Kewangan yang baru nanti adalah seorang ahli politik atau bukan, tidak relevan, kata Jomo lagi. Tetapi beliau mengakui sukar untuk mencari seorang yang layak dari kalangan ahli parlimen yang ada.

“Apa pun, yang penting ialah dasar - dan pelaksanaan, akibat serta kesan daripada dasar-dasar tersebut,” katanya.

“Pada masa ini terlalu banyak retorik. Kita ada OPP-3 dan Rancangan Malaysia ke-8. Kita nak tengok rancangan-rancangan ini memberi faedah kepada negara, terutama kepada mereka yang tak bernasib baik selama ini, bukannya untuk kepentingan kroni-kroni kaya dan berkuasa,” tambahnya.

Jomo menegaskan, negara ini memerlukan dasar ekonomi untuk keseimbangan dan pembangunan berterusan, serta dasar yang menekankan pembangunan manusia; demi keadilan sosial dan perpaduan nasional yang tulen.

“Satu-satunya jalan ke hadapan ialah melahirkan dasar kerajaan yang berorientasikan perpaduan nasional dan keperluan sosial,” katanya.

“PM dan BN tak perlu pandang terlalu jauh,” kata Jomo. “Sebagai contoh, lihat saja manifesto Barisan Alternatif.”

Kesan ekonomi Amerika

Kelembapan ekonomi Amerika akan memberi kesan ke atas Malaysia. Jomo menegaskan pendapatnya ini, walaupun menteri-menteri kabinet terus memberi jaminan mengatakan kita boleh mengatasi kesan tersebut.

Kata Jomo: “Kalau tidak ada kesan, mengapa Mahathir memperkenalkan pakej RM3 bilion, Mac lalu, untuk merangsang ekonomi? Apakah itu cuma untuk memberi kerja lebih kepada orang-orangnya? Nampaknya Mahathir lebih bimbang daripada menteri-menterinya. Dan ternyata mereka itu tidak faham dan tidak bersetuju dengan dia. Rupa-rupanya Mahathir lebih terasing dari yang saya fikirkan.”

Dengan banyaknya pembuangan kerja akhir-akhir ini, dijangka pengangguran akan meningkat, kerana kita terlalu bergantung kepada industri elektronik, yang terjejas teruk akibat keadaan di Amerika.

Masalah berkembar

Mengikut Jomo, Malaysia menghadapi dua masalah ekonomi yang besar. Satu, ekonomi terbuka yang keterlaluan - akibat warisan dasar Mahathir terdahulu, yang berlawanan dengan retorik anti-globalisasinya akhir-akhir ini. Satu lagi ialah salahguna kuasa, rasuah, kronisme dan nepotisme.

Kedua-dua masalah tersebut, kata Jomo, perlu ditangani secara serentak.

“Untuk memahaminya kita mesti lihat pada kedua-dua masalah. Kita tak boleh bincang mengenai kronisme sahaja, apabila terdapat masalah ekonomi terbuka akibat globalisasi,” katanya.

“Yang kedua, orang yang memerintah negara ini banyak bertindak untuk kepentingan diri. Perhatian kepada kepentingan awam terlalu sedikit, kecuali waktu hampir dengan pilihanraya.

“Mereka biasanya tidak fikirkan pembangunan jangka panjang; dan kalaupun sesekali mereka fikirkannya, mereka membuat silap, seperti projek Koridor Raya Multimedia (MSC), yang tidak banyak menunjukkan pencapaian walaupun segala sumber ditumpukan ke situ, hingga mengorbankan sektor-sektor lain,” tambah Jomo.

Kini apa yang rakyat boleh buat, katanya, ialah menukarkan kerajaan kepada yang lebih telus dan bertanggungjawab.

“Institusi-institusi mesti direformasi. Lebih banyak perhatian mesti diberikan kepada kepentingan awam dan negara, dan kepada cabaran-cabaran jangka panjang yang berterusan, saksama dan seimbang,” tegasnya. – terjemahan artikel Malaysiakini.com oleh wartawan CABARAN

(Dipetik dari tabloid politik semasa, CABARAN, 1Julai 2001)






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 2 Julai 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com