SUSUNAN ABU BAKAR RASHID
Peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam sektor korporat memperlihatkan bahawa wujudnya perbalahan yang serius antara Datuk Sri Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangannya Tun Daim Zainuddin, lapor Far Eastern Economic Review(FEER) keluaran terbarunya 5 Julai.
Dalam rencana bertajuk 'Why Mahathir Axed Daim' (Kenapa Mahathir Menyingkir Daim), majalah ulasan berita antarabangsa itu turut menyatakan bahawa selain perebutan dalam sektor korporat, kelembapan ekonomi yang telah menguncupkan peluang untuk mencipta kemakmuran dan kekayaan juga dikaitkan sebagai punca perbalahan antara dua sahabat karib itu.
Sementara itu, menurut Business Week(BW) dalam rencananya 'Can Mahathir Run Malaysia Minus His Alter Ego' (Bolehkah Mahathir Mentadbir Malaysia Tanpa Sahabat Karibnya), majalah mingguan antarabangsa itu telah menyatakan bahawa Bank Negara (BN) mengalami kerugian hampir AS bilion dalam rezab asing pada suku pertama tahun ini dan selepas itu terus merudum di dalam separuh kedua April.
Ini telah mencetuskan semula khabar angin bahawa ringgit akan disusut nilai.
Pada bulan April, lapor BW, hasil jualan sektor pengeluaran - yang menjadi penggerak utama ekonomi Malaysia - merudum enam peratus berbanding Mac dan pekerjaan di sektor itu jatuh satu peratus dalam tempoh yang sama.
"Tanda-tanda kemerosotan berada di mana-mana," majalah itu memetik salah seorang ahli ekonomi di Kuala Lumpur sebagai berkata.
Akibatnya, lapor majalah itu, penganalisa menurunkan ramalan pertumbuhan ekonomi dari lima peratus kepada empat peratus atau lebih kecil dari itu untuk tahun ini.
Kroni Penyebab Kejatuhan Daim
Satu lagi majalah berita mingguan antarabangsa Asiaweek 29 Jun pula, dalam rencananya 'We Are Not At War' (Kami Tidak Berperang) menyatakan mereka yang sering dituduh sebagai kroni Daim mungkin menjadi penyebab kejatuhannya.
Ketika ekonomi Malaysia berhempas pulas beberapa tahun lepas, perniagaan mereka dilanda masalah dan hutang pula memuncak.
Walaupun Daim mempunyai perbezaan pendapat dengan Dr Mahathir dalam soal polisi, seperti apa yang hendak dilakukan dengan polisi mengikat nilai ringgit, punca utama yang kelihatan meretakkan hubungan mereka ialah tindakan kerajaan membeli saham Penerbangan Malaysia (MAS) dengan harga dua kali ganda dari harga pasaran dan tindakan menyelamatkan Time dotCom dengan menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Pencen, lapor Asiaweek.
Kedua-dua urusniaga itu berlaku di bawah pengawasan Daim.
Balah Ada Kaitan Dengan Mokhzani
Menurut FEER, sebahagian dari punca perbalahan serius itu mungkin ada kaitan dengan urusan niaga anak kedua Dr Mahathir, Mokhzani, khususnya mengenai penglibatan beliau dalam tindakan kerajaan menggabungkan bank-bank yang kelihatan menjejaskan kepentingan perniagaan persendirian Daim.
Mokhzani ialah salah seorang pemegang saham PhileoAllied Bank, menerusi pegangan tidak langsung, lapor majalah itu lagi. Beliau telah mendapatkan pegangan di dalam bank tersebut sebelum tindakan penggabungan dicadangkan.
Syarikat Mokhzani yang tersenarai di bursa saham, Tongkah Holdings, saling memegang saham satu sama lain dengan sebuah lagi syarikat yang tersenarai, Pantai Holdings, lapor FEER.
Secara bersama, majalah itu seterusnya melaporkan, Pantai dan Tongkah mempunyai pegangan sebanyak 28 peratus di dalam Phileo Land, juga syarikat yang tersenarai.
Phileo Land pula, dengan pegangan 18.4 peratus, adalah pemegang saham tunggal yang terbesar di dalam Phileo Allied, pemilik PhileoAllied Bank.
Phileo Land kemudiannya dinamakan Avenue Assets.
Walaupun pada waktu itu Mokhzani rapat dengan Daim, kata majalah tersebut, Datuk Tong Kooi Ong yang menguasai PhileoAllied enggan bergabung dengan Multi-Purpose, bank yang khabarnya dikuasai oleh Daim.
Avenue Assets akhirnya dapat menjual PhileoAllied Bank kepada Maybank dengan nilai RM1.3 bilion. Dengan penjualan banknya, lapor majalah itu, Phileo Allied menjadi syarikat yang kaya dengan wang tunai.
Syarat S’jaya Sekuriti Tidak Pernah Berlaku
Dalam bulan Januari, kata FEER, sebaik sahaja selepas penjualan Phileo Allied Bank, Suruhanjaya Sekuriti, yang berada di bawah kekuasaan Kementerian Kewangan, memaklumkan kepada pemegang-pemegang saham Phileo Allied, termasuk Avenue Assets, bahawa mereka tidak boleh melepaskan kepentingan mereka di dalam syarikat yang kaya dengan wang tunai itu.
Mereka juga tidak boleh membuat sebarang perubahan di dalam soal pegangan saham tanpa persetujuan suruhanjaya.
Syarat yang dikenakan oleh Suruhanjaya Sekuriti ini tidak pernah berlaku dalam sejarah korporat Malaysia, kata FEER.
Ia menjadi perhatian kerana syarat yang sama tidak dikenakan oleh Suruhanjaya Sekuriti kepada Tan Sri Tajuddin Ramli, anak didik niaga Daim, yang syarikatnya, Naluri, menerima RM1.8 bilion hasil daripada penjualan Penerbangan Malaysia kepada kerajaan dalam urusniaga yang penuh kontroversi dan dilakukan dalam masa yang sama dengan penjualan Phileo Allied Bank.
Pada awal April, lapor FEER, Daim menyuarakan hasratnya untuk bercuti panjang dan tidak lama selepas itu Mokhzani mengumumkan bahawa beliau melepaskan semua kepentingannya dalam sektor korporat.
Jual Aset Dalam Kerugian
Oleh kerana Mokhzani menjual aset-asetnya dalam keadaan rugi, faktor lain mungkin mempengaruhi keputusannya untuk berhenti berniaga.
Majalah itu seterusnya melaporkan, apabila Mokhzani melepaskan pegangannya dalam perniagaan, Daim mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan anak perdana menteri itu seharusnya dihormati.
Apa yang menarik, kata majalah itu, bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah, yang pernah mengkritik keras penglibatan anak-anak perdana menteri dalam perniagaan, membuat kenyataan bahawa Mokhzani seharusnya mengekalkan kepentingan perniagaannya.
Menurut FEER, Razaleigh dipercayai secara meluas sebagai menaruh harapan untuk dilantik menggantikan Daim di Kementerian Kewangan, yang akan memberikan beliau ruang untuk kembali ke dalam hirarki arus perdana Umno.
Apa Rahsia Disebalik Penjualan Pos Malaysia
Pada hujung Mei, lapor majalah itu, perkhidmatan pos kerajaan, Pos Malaysia dijual kepada PhileoAllied.
Sebelum itu, tidak ada sebarang pengumuman dibuat oleh pihak kerajaan tentang niatnya untuk menswastakan Pos Malaysia yang membuat keuntungan itu atau mengusahakan penyenaraian untuk Pos Malaysia dengan memasukkannya ke dalam PhileoAllied.
Pos Malaysia, dengan kedudukan yang ada padanya, boleh disenaraikan tanpa melalui urusniaga seperti itu tetapi ditangguhkan oleh lembaga pengarahnya atas alasan keadaan pasaran yang lemah, kata FEER.
PhileoAllied membayar RM800 juta untuk membeli Pos Malaysia, RM550 juta dalam bentuk tunai dan bakinya melalui pinjaman lima tahun boleh tukar dari kerajaan dengan kadar faedah 5 peratus.
Kerajaan boleh menukarkan pinjamannya kepada ekuiti, oleh itu ia mempunyai pilihan menjadi pemegang saham besar di dalam PhileoAllied pada bila-bila masa dalam lima tahun.
Oleh kerana Pos Malaysia diswastakan ketika Daim sedang bercuti, kata majalah itu, keputusan untuk menukarkan penguasaan kepada PhileoAllied tidak mungkin merupakan keputusannya.
Pertanyaan Demi Pertanyaan
Isu yang melibatkan PhileoAllied, penggabungan bank-bank dan penswastaan Pos Malaysia menimbulkan banyak persoalan tentang pentadbiran korporat dan awam di Malaysia, kata majalah itu.
Majalah itu seterusnya mengemukan beberapa pertanyaan.
Mengapa PhileoAllied dijual kepada Maybank, yang dilaporkan sebagai tidak begitu berminat dengan penggabungan bank-bank, sedangkan ia boleh digabungkan sembilan bank utama yang lain yang lebih kecil?
Apakah sebenarnya kriteria untuk menentukan bank mana yang boleh menjadi bank utama dan rakan penggabungan mereka?
Mengapakah Suruhanjaya Sekuriti mengenakan syarat ke atas PhileoAllied tetapi tidak ke atas Naluri sedangkan kedua-dua syarikat menerima wang kerajaan yang begitu banyak dari penjualan aset mereka?
Majalah itu seterusnya bertanya, mengapakah Pos Malaysia dijual tanpa notis kepada syarikat yang dikuasai oleh orang yang membeli syarikat yang dimiliki oleh Mokhzani?
Adakah permainan korporat ini mempunyai kaitan dengan hubungan yang merosot antara Daim dan Mokhzani/Mahathir?
Bagaimana Dr M Akan Menangani Sekutu Daim
Apa yang menarik, majalah itu menyatakan, perbalahan antara Dr Mahathir dan Datuk Sri Anwar Ibrahim adalah disebabkan oleh penentangan Anwar kepada cadangan supaya kerajaan mengambilalih aset-aset syarikat anak tertua Dr Mahathir, Mirzan, yang sarat dengan hutang.
Fokus utama sekarang, kata majalah itu, ialah bagaimana Dr Mahathir akan menangani sekutu-sekutu rapat Daim dalam perniagaan dan aset korporat – dan juga hutang - yang begitu besar yang masih dalam pegangan mereka.
Bagaimanapun, FEER menyimpulkan, tanpa pengawasan ke atas tindakan-tindakan kerajaan, usaha Dr Mahathir untuk melakukan “reformasi” tidak dijangka membangkitkan keyakinan di dalam sektor korporat Malaysia.