Assalammualaikum & Salam Sejahtera!
Saudara yang budiman, sebagai memulakan bicara elok juga diperkenalkan serba
sedikit kepada suadara tentang institut ini. Institut Profesional Baitulmal
(IPB) terletak di Lot 1363, Jalan Perkasa, Off Jalan Kampung Pandan, Taman
Maluri, 55100 Kuala Lumpur; merupakan sebuah Institut Pengajian Tinggi Swasta
(IPTS) yang dinaungi oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan
dikelolakan oleh sebuah syarikat yang diberi nama Institut Profesional Baitulmal
Sendirian Berhad.
Setakat ini, IPB telah mengadakan usahasama dengan pihak Universiti Teknologi
MARA (UiTM) menawarkan program peringkat Diploma, Pra-Diploma dan Sijil. Selain
daripada itu, IPB juga turut menawarkan kursus profesional seperti ICSA, LCCI
dan sebagainya.
Menjelang semester Jun 2001 yang baru lalu, IPB telah menaungi lebih 1000 orang
pelajar yang datang dari seluruh pelusuk negara. Rata-rata dari pelajar di IPB
adalah datang dari keluarga yang kurang berkeupayaan dari sudut ekonomi (Anak
Rakyat Marhaen). Angka ini memanglah cukup membanggakan bagi sebuah institusi
milik penuh sebuah badan yang menaungi Islam di negara ini. Namun, semua
menyedari bahawa angka semata-mata bukanlah sesuatu yang mencerminkan kejayaan
sebenar, sedangkan hakikatnya sangat banyak kelemahan yang perlu dicerminkan
untuk diperbaiki.
Masalahnya berpunca dari sikap pihak pentadbiran IPB yang begitu berbangga
dengan kejayaan mengumpul sejumlah pelajar kerana pegawa-pegawai ini adalah
terdiri daripada manusia yang tidak mudah menerima teguran. Apalagi teguran
yang datang daripada pelajar, maka semakin banyaklah masalah dan rasa
ketidakpuasan yang berbangkit terus terpendam ataupun sengaja dipadamkan.
Malangnya, semua permasalahan ini tidak hilang begitu sahaja malah ia akan
terus-menerus menghantui pelajar yang semakin tertekan menahan perasaan mereka.
Hasilnya, pada 29 Jun yang lalu suatu pergaduhan hebat di antara para pelajar
dengan pihak peniaga minuman di Kafe IPB telah tercetus. Peniaga tersebut baru
sahaja dua bulan memperolehi kontrak/tender berniaga dari pihak pentadbiran
IPB.
Di dalam kejadian pertama yang berlaku di sebelah pagi hari Jumaat lepas,
beberapa orang pelajar lelaki telah dituduh oleh peniaga tersebut di khalayak
ramai kononnya tidak membayar minuman. Sedangkan peniaga tersebut tiada bukti
berbuat demikian melainkan untuk memalukan pelajar tersebut. Maka, terjadilah
pertengkaran dan pergaduhan yang diikuti oleh tindakan drastik peniaga
mengacukan pisau kepada kumpulan pelajar. Jika benar seperti apa yang didakwa
oleh peniaga itu, apakah tiada tindakan yang lebih wajar untuk menangani masalah
tersebut. Sedangkan peniaga lain yang telah bertahun-tahun beroperasi di Kafe
IPB ini tidak pernah menghadapi masalah dengan pelajar yang dikatakan samseng
itu.
Selepas menunaikan solat Jumaat pada hari tersebut, sekali lagi pelajar IPB
dikejutkan dengan tindakan melulu peniaga tersebut menyerang salah seorang
keluarga pelajar yang datang melawat. Serangan tersebut telah disaksikan oleh
setiap pelajar di institut ini dan ianya dianggap sebagai sangat keterlaluan dan
tidak masuk akal. Menurut para pelajar yang melihat kejadian tersebut, peniaga
berkenaan telah dilihat membawa masuk beberapa orang yang dikatakan samseng yang
lengkap bersenjatakan besi dan kayu.
Apa yang merisaukan dan amat dikesali oleh para pelajar ialah tindakan IPB yang
sewenang-wenangnya menyalahkan pelajar di dalam masalah ini. Pegawai terbabit
seolah-olah tidak mengendahkan langsung keterangan dari pelajar. Maka, dengan
semberono dan sombongnya Pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP) diiringi oleh Pegawai
Warden Asrama membuat kenyataan Polis. Di dalam kenyataan Polis mereka berdua
secara cuai, memihak (bias), tidak profesional dan tanpa usul periksa telah
menamakan beberapa orang pelajar yang disyaki . Sekarang seramai 4 orang
pelajar sedang dalam proses membantah mengapa nama mereka dikaitkan di dalam kes
ini, sedangkan pelajar terbabit sebenarnya tidak ada di tempat dan semasa
kejadian tersebut. Mereka mempunyai bukti bahawa mereka berada di tempat lain
semasa keajadian.
Sebenarnya di dalam kedua-dua kejadian tersebut, ramai lagi pelajar yang boleh
tampil menjadi saksi--malah ada di kalangan pelajar yang telah bertindak bijak
mencatatkan kenderaan para samseng bersenjata tersebut. Malangnya, sikap acuh
tak acuh pihak pentadbiran IPB ternyata amat menyusahkan pelajar yang
rata-ratanya datang dari kalangan keluarga yang miskin.
Nasib para pelajar juga semakin malang selepas kejadian itu memandangkan
persepsi (pandangan) serong yang sengaja ditanamkan oleh pihak-pihak tertentu
dengan mengecop 'semua pelajar IPB sebagai samseng'. Di kalangan pensyarah dan
kakitangan IPB juga telah disebarkan khabar angin yang mengatakan pelajar IPB
telah mengupah samseng sedangkan cerita sebenarnya adalah sebaliknya. Buktinya,
selepas solat Jumaat (sebelum kejadian kedua) beberapa orang pelajar telah
ditahan dan digertak di pintu masuk lif Asrama Lelaki oleh orang-orang yang
tidak dikenali (orang yang sama dilihat memukul keluarga pelajar itu). Semua
kejadian seperti ini belum pernah terjadi di IPB.
Tetapi pihak IPB tidak mahu melihat fakta yang sebenar di sebalik insiden ini.
Malah, pegawai IPB nampaknya cuba menutup cerita sebenar dengan meletakkan beban
kesalahan kepada pelajar semata. Apakah wajar menuduh seorang pelajar dengan
alasan beliau mempunyai kes dengan Jawatankuasa Disiplin dan masalah kehadiran
pada semester yang lalu? Kecenderungan pegawai IPB untuk melindungi fakta
sebenar dari diketahui jelas dapat dilihat melalui kenyataan Polis mereka
sendiri. Lebih malang lagi, apakah wajar Pegawai HEP di dalam laporannya kepada
pihak atasan hanya meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada pihak keselamatan
Kampus? Sedangkan fakta sebenarnya bahawa peniaga tersebut merupakan pihak yang
bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kejadian ini.
Mungkin agak keterlaluan untuk menuduh peniaga minuman yang seorang ini
mempunyai hubungan rapat dengan Pendaftar IPB. Namun, perkara seremeh korupsi
dan kroni di IPB bukanlah sesuatu yang menjadi rahsiah lagi untuk diketahui oleh
kalangan pelajar mahupun pensyarah. Keadaan ini bertambah rumit apabila
kepentingan pelajar terpaksa diketepikan demi menjaga kepentingan orang yang
berkepentingan seperti pegawai-pegawai di IPB ini. Berkaitan hal kroni dan
korupsi ini sebenarnya tidak langsung menggugat cengkaman kuasa Pendaftar kerana
pegawai-pegawai lain seolah-olah buta dan tuli atau telah dipukau untuk tidak
menyedari perangai ketua mereka. Sebelum ini pun telah banyak rungutan dan
aduan pelajar yang diremehkan sahaja oleh Pendaftar. Jauh sekali untuk
menggamit campurtangan Pengerusi Eksekutif yang tunduk kepada kuasa Pendaftar
itu. Contohnya, sebuah artikel yang bertajuk IPB digesa lebih telus dengar
aduan pelajar (Berita Harian:17/04/2000) tidak langsung dihiraukan malah apa
yang sangat mengecewakan ialah tindakan Pengerusi Eksekutif IPB sendiri yang
lebih sibuk mencari penulis artikel itu. Persoalannya, sampai bilakah pelajar
IPB akan dapat menahan segala akibat dari tingkahlaku para pentadbir yang tidak
bertanggungjawab?
Wassalam, sekian.