Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


KESAL TERHADAP PENAHANAN SAUDARI MABEL AU DI KLIA

KENYATAAN MEDIA - 21 JULAI 2001

KUMPULAN KELUARGA TAHANAN ISA

KESAL TERHADAP PENAHANAN SAUDARI MABEL AU DI KLIA

Kita baru saja dikejutkan dengan peristiwa penahanan seramai 41 orang baru-baru ini di Kamunting, yang mana salah seorang dari tahanan tersebut ialah Aliza Jaffar iaitu isteri kepada Saari Sungib, salah seorang tahanan ISA. Hari ini kita dikejutkan pula dengan satu lagi tindakan luar batasan hak asasi manusia di mana pihak berkuasa telah melarang Saudari Mabel Au iaitu tunang kepada Saudara Tian Chua daripada memasuki negara kita, Malaysia.

Beliau ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 10.20 malam, 20hb. Julai 2001. Pihak imigresen memberikan alasan bahawa beliau memudaratkan keselamatan negara sama seperti tuduhan yang dilemparkan terhadap keenam-enam tahanan ISA yang kini berada di Kamunting selama 2 tahun. Beliau telah diarahkan untuk pulang dengan segera ke Bangkok.

Tindakan zalim ini telah menafikan hak Saudari Mabel untuk melawat tunangnya, Tian Chua yang merupakan salah seorang tahanan ISA di Kamunting. Ini menjustifikasikan bahawa pihak kerajaan tidak lagi menghormati hak asasi manusia dan sudah hilang perikemanusiaan serta sengaja ingin memecah-belahkan kasih sayang keluarga. Alasan menggugat keselamatan negara adalah satu alasan yang tidak munasabah dan membuktikan bahawa pemerintah zalim sangat takut dan hilang punca dengan kekuatan dan pengaruh keluarga tahanan ISA.

Kami berasa amat kesal dan kecewa dengan tindakan zalim pihak berkuasa yang hanya mengikut telunjuk pemerintah yang zalim. Apakah dengan memberi kebenaran kepada Saudari Mabel, seorang wanita dan ahli keluarga, memasuki negara kita akan mengancam keselamatan negara yang tercinta ini atau keselamatan siapakah yang sebenarnya terancam ?

Oleh itu, kami menyeru kepada pihak berkuasa untuk bersikap telus kepada rakyat dengan memberikan lapuran dan maklumat yang sebenarnya tentang sebab-sebab penahanan ini. Kami berharap pihak imigresen dapat bertindak dengan lebih bijak dan rasional dengan menarik balik larangan ini. Penahanan terhadap rakyat asing ini memberikan kesan yang buruk terhadap imej negara sebagai sebuah negara yang demokrasi.

Tindakan mereka ini tidak akan sesekali melunturkan semangat Sokongan Keluarga malah memperkukuhkan lagi usaha untuk meneruskan perjuangan membebaskan tahanan ISA dan memansuhkan akta ISA !

Kumpulan Sokongan Keluarga
Tahanan ISA






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 21 Julai 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com