Ketua Dewan Pemuda PAS, MAHFUZ OMAR, berbicara tentang sekatan terhadap
ceramah BA, kemungkinan Malaysia menjadi negara polis, pilihan yang ada
buat
pembangkang untuk menyampaikan penerangan serta isu tangkapan ISA
terhadap
pelajar. Wawancara ini dipetik dari akhbar MEMO5, editor AHMAD LUTFI
OTHMAN
MEMO: Tindakan dan sekatan yang dikenakan ke atas pembangkang oleh
kerajaan
kebelakangan ini semakin keras dan ketat. Program-program ceramah dan
perhimpunan semakin sukar diadakan dan kalau diadakan pun sering
diganggu
dan terpaksa dibatalkan di tengah jalan. Bagaimanakah saudara melihat
perkara ini.
MAHFUZ: Bagi saya, langkah-langkah itu memperlihatkan kekalutan dan
ketakutan kerajaan Barisan Nasional (BN) berdepan kebangkitan rakyat
yang
semakin hangat membincangkan soal-soal berkaitan penyalahgunaan kuasa
dan
penyelewengan pemerintah.
Sebab itu, apa jua alasan yang diberikan oleh kerajaan dalam hal ini
didapati tidak munasabah. Umpamanya, alasan keselamatan; ini langsung
tidak
munasabah kerana negara kita telah lama bebas dari ancaman komunis.
Jadi,
pihak kerajaan atau pihak keselamatan tidak perlu menghadkan atau
menghalang
ceramah-ceramah yang diadakan, sebagaimana sebelum ini. Kecuali jika
kerajaan merasakan terdapatnya ancaman komunis yang baru. Dan pada
ketika
itu darurat perlu diisytiharkan.
Semalam (18/7/2001) kerajaan mengatakan syarat-syarat lama berkaitan
hal
ini akan diperketatkan. Kita ingin bertanya; apakah masalahnya dengan
syarat-syarat lama itu?
Pembangkang tidak pernah mengingkari
syarat-syarat
yang dikenakan selama ini. Mereka juga mengatakan ceramah-ceramah
terbuka
tidak lagi akan dibenarkan. Apa masalahnya?
Sebelum ini tidak pernah
berbangkit masalah kesan-kesan buruk yang timbul dari ceramah-ceramah
terbuka. Dan polis memberikan kerjasama yang sangat baik.
Oleh itu, saya menyeru kepada kerajaan dan juga pihak keselamatan
supaya
memberikan alasan yang lebih munasabah, bukannya alasan berdasarkan ego
pangkat.
Ego pangkat?
Ya. Umpamanya pihak polis; hanya disebabkan mereka rasa mereka ada
kuasa,
maka syarat-syarat dibuat sewenang-wenangnya. Begitu juga dengan
menteri-menteri. Syarat-syarat yang dibuat sepatutnya diberikan
alasan-alasan yang rasional.
Apakah kesannya pada kegiatan pembangkang apabila presiden PAS Ustaz
Fadzil
Noor dan Mohamad Sabu dihalang meneruskan ceramah, sedangkan kejadian
seperti ini belum pernah berlaku sebelumnya?
Bagi PAS, kita akan terus mengadakan program-program ceramah di
seluruh
negara. Tapi ini tidak bermakna kita mahu berlawan dengan pihak polis.
Apa
yang kita lakukan itu berasaskan tuntutan hak yang sepatutnya diberikan
kepada kita seperti termaktub dalam fasa 10 Perlembagaan negara.
Sebarang
penangkapan atau gangguan yang dikenakan, seperti dalam kes Ustaz
Fadzil
dan Mohamad Sabu ini, tidak sedikit pun akan menghalang PAS dari
meneruskan
ceramah.
Bagaimana jika tindakan yang lebih aggresif diambil pemerintah?
Itu terpulang, tapi jika ia berlaku maka akan lebih buruklah nasib
negara
kita ini. Dunia akan melihat Malaysia semakin hampir untuk menjadi
police
State atau negara polis. Dan pada waktu itu ekonomi negara akan turut
terjejas kerana pelabur-pelabur asing semakin menjauhkan diri dan
pelancong
juga tidak akan datang ke mari. Di samping itu, dari sudut politik,
suasana
yang lebih tidak sihat akan timbul.
Apabila ceramah dan perhimpunan disekat dan dihalang terus, natijahnya
mungkin akan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini seperti
demonstrasi
jalanan dan gerakan yang menjurus ke arah militan. Sekatan seperti ini
seolah-olah mengundang dan memprovokasi supaya perkara seperti itu
berlaku,
sedangkan kerajaan berkali-kali memberi amaran ‘jangan berdemonstrasi’,
‘demonstrasi bukan cara kita’ dan sebagainya.
Bagaimanakah jika semua itu memang bertujuan memprovokasi supaya
apabila
berlaku kejadian yang tidak diingini kerajaan dapat mewajarkan dakwaan
dan
tindakannya selama ini, seperti penggunaan ISA dan tuduhan terdapat
kegiatan
bercorak militan.
Kalaulah benar tujuannnya begitu, apakah keuntungannya pada negara?
Tidak
ada untungnya. Tindakan jahat seperti itu hanya akan
memporak-porandakan
negara dan sangat merugikan. Apabila rakyat mula turun ke jalan raya
tanpa
dapat dikawal, kekacauan akan wujud.
Tapi kerajaan pada waktu itu dapat menjustifikasikan pemakaian ISA …
Kerajaan sekarang tidak memerlukan sebarang justifikasi untuk memakai
ISA.
Sebab, jika kita tengok, orang yang tidak keluar ke jalan raya pun
ditangkap
menggunakan ISA. Bagi saya dalam hal ini kerajaan sebenarnya hilang
arah
dalam menghadapi kebangkitan rakyat.
Memandangkan program ceramah terus disekat dan dihalang, apakah
pembangkang,
khususnya PAS akan menggunakan cara yang lebih kreatif untuk
menyampaikan
mesejnya?
Salah satu program ‘tradisional’ Pas ialah ceramah. Pas tidak akan
meninggalkan program tradisionalnya ini dan dari semasa ke semasa kita
akan
terus mempertingkatkan mutu dan persembahannya. Di samping itu kita
menggalakkan organisasi parti di semua peringkat mempelbagaikan
kegiatan
untuk menyalurkan mesej dan maklumat kepada orang ramai. Ini tertakluk
kepada kreativiti organisasi setempat supaya kegiatan yang dijalankan
itu
bersesuaian dengan kehendak persekitaran.
Tapi satu perkara yang agak menyulitkan kita ialah apabila
kegiatan-kegiatan
itu melibatkan kos yang tinggi. Itu sebabnya kita lebih menumpukan
perhatian
pada ceramah-ceramah; ia tidak melibatkan kos yang tinggi, malah
sebaliknya
dapat memberikan pulangan yang seterusnya akan digunakan pula untuk
melaksanakan program-program lain. Justru, apabila program-program
ceramah
disekat, sumber kewangan parti turut terjejas.
Komen mengenai pemimpin pelajar yang baru dibebaskan sehari dua lalu?
Ini membuktikan pelajar tidak terlibat dalam sebarang kegiatan militan
seperti yang didakwa sebelum ini. Perdana Menteri pernah membuat
tuduhan
mengatakan kebakaran Dewan Tunku Canselor (DTC) di UM adalah angkara
sabotaj
dan perbuatan khianat pelajar. Dan selain itu dia juga mengaitkan
pelajar
dengan kegiatan bercorak militan. Tapi apabila Fuad dibebaskan, dengan
sendirinya menunjukkan polis tidak mempunyai bukti tentang itu.
Saya melihat, akibat tuduhan-tuduhan liar yang dibuat PM dan
pemimpin-pemimpin Umno, kerajaan kini cuba mengekang pelajar dan
ahli-ahli
akademik dengan meletakkan terma-terma baru dalam perjanjian bagi
setiap
kemasukan baru pelajar atau pensyarah. Bagi saya, kalaulah perkara ini
dilaksanakan, kerajaan secara tidak langsung mahu memberitahu dunia
bahawa
golongan akademik dan intelektual tidak lagi bersamanya. Untuk
memastikan
mereka ini menyokong semula kerajaan, diadakan perjanjian baru. Inilah
mesejnya sekiranya syarat-syarat baru itu dilaksanakan.
Apa agaknya kesan tindakan mengenakan syarat-syarat baru ini?
Tujuan syarat-syarat ini dikenakan adalah untuk mengekang dan
mengongkong
pergerakan dan idealisme pelajar dan juga golongan intelek. Tapi perlu
diingat bahawa idealisme golongan ini tidak berasaskan emosi dan
egoisme.
Idealisme anak-anak muda dan juga ahli-ahli akademik ini, berasaskan
budaya
ilmu. Jadi, oleh kerana idealisme itu berasaskan budaya ilmu, maka
kerajaan
seharusnya menghadapi mereka dengan budaya ilmu, bukannya melalui
keegoan
kuasa. Menggunakan ego kuasa untuk menangani hal-hal seperti tentu
sahaja
tidak akan dapat menyelesaikan masalah. Kerajaan mungkin boleh
meletakkan
syarat bagi kemasukan pelajar tapi kerajaan tidak akan berjaya
meletakkan
syarat pada pemikiran mereka.
Menurut penelitian, apakah kejadian menangkap pelajar di bawah ISA
baru-baru
ini telah melemahkan atau membantutkan gerakan pelajar?
Satu hal perlu di perhatikan di sini ialah, peritiwa penangkapan itu
menunjukkan kerajaan semakin sedar dan bimbang terhadap kebangkitan
anak-anak muda, pelajar-pelajar dan belia. Mereka cukup takut pada
student
power dan juga youth power. Bagi saya penangkapan itu dibuat memang
bertujuan untuk melemah dan membantutkan pergerakan pelajar; untuk
menjadikannya pasif. Itulah maksud mereka. Tapi saya lihat apa yang
berlaku
adalah sebaliknya; mahasiswa kini semakin sedar mengenai kuasa dan
kekuatan
yang mereka miliki. Mereka boleh berperanan untuk menentukan kedudukan
dan
corak politik dalam negara. Peristiwa penangkapan ISA itu tidak
membuatkan
pergerakan mereka terencat, bahkan semakin memperkasakan idealisme
mereka.