Azlina Ngainon
8:07pm, Sun: Sebuah laman web pembangkang, yang pernah dibuang daripada Tripod.com Mac lalu, hingga kini masih menghadapi masalah untuk menempatkannya apabila terus ditolak oleh beberapa pelayan dan kegagalan ini dikaitkan dengan “tekanan kerajaan.”
Laman web Tranung Kite (atau Terengganu Kita), yang diusahakan oleh sekumpulan aktivis PAS kawasan Dungun, telah berpindah sebanyak lima kali daripada pelayan syarikat Tripod.com dan NBCi.com, yang memberikan khidmat percuma webhosting (menempatkan tapak web) kepada pengguna Internet.
Setelah laman itu pulih daripada masalah yang menyerangnya, dan hampir 20 laman web proreformasi dan pembangkang 11 Mac lalu, Tranung Kite yang asalnya beralamat di http://tranung.tripod.com/ memindahkan operasi ke http://tranung.daily.tripod.com/ Bagaimanapun ia hanya bertahan selama dua minggu saja.
Empat bulan, laman web proreformasi yang berdaftar dengan Tripod.com dan gagal dicapai oleh penguna internet termasuklah Mahafiraun, Komentar, Pemantau, Minda Rakyat, Debat 2020, NT (anti) Zalim, sementara laman pertubuhan antaranya Harakah Daily (laman sokongan), Detik Daily (milik syarikat Penerbitan Pemuda), Pemuda Keadilan, PAS Parit Buntar, Perak dan tiga laman web yang diusahakan PAS Dungun.
Syarikat penyedia tapak web percuma itu bagaimanapun memohon maaf apabila mendapati kejadian itu tidak disengajakan akibat masalah teknikal.
Tanpa sebarang alasan
Menurut pengendali Tranung Kite, yang tidak mahu dikenali, setiap kali laman itu dialihkan dengan menggunakan alamat URL yang baru di Tripod.com, laman itu diberitahu ia "melanggar peraturan" syarikat itu.
Dalam mesejnya kepada pengendalinya, Tripod.com menyifatkan laman itu "menyalahgunakan" kemudahan di pelayannya.
Laman itu kemudian berpindah ke alamat baru http://members.nbci.com/tranung tetapi tiga minggu kemudian mengalami masalah yang serupa seperti di Tripod. Operasi itu dipindahkan pula ke alamat baru http://members.nbci.com/tranungkite tetapi bertahan selama seminggu sebelum laman itu “hilang.”
NBCi.com tidak memberikan sebarang alasan.
Pengendali Tranung Kite mengesyaki terdapat tekanan daripada kerajaan untuk menghalang penerbitan laman webnya.
"Kami menganggap masalah ini timbul kerana ada usaha untuk menyekat operasi laman web kami. Ia adalah tekanan yang cuba dilakukan oleh kerajaan kepada pengendali laman ini," katanya.
Beliau menolak simpanan memori besar yang menyebabkan laman itu menghadapi masalah demikian.
Arkib masih selamat
(Penyedia tapak-tapak web percuma di Internet selalunya mengehadkan laluan, atau jumlah pengunjung, dan memori kepada laman-laman yang menggunakan khidmat mereka. Laman yang terlalu aktif dan memakan saiz simpanan memori yang besar tidak dibenarkan kerana menghalang laluan ke laman-laman web lain yang ditempatkan di tapak pelayan itu).
“Jika dibandingkan dengan laman web TV (rtv.tripod.com) yang turut saya kendalikan, Tranung Kite tidak mengunakan begitu banyak simpanan memori,” katanya.
Bagaimanapun, tambahnya, masalah pembuangan dan perpindahan laman web itu tidak melibatkan kehilangan tujuh ribu fail yang terkumpul sejak beroperasi Disember 1999. Arkib laman ini diletakkan di beberapa tapak lain.
Menurutnya lagi, laman itu sehingga kini bergantung kepada tapak web percuma kerana kos untuk menyewa ruang di pelayan komersial memerlukan sejumlah wang yang besar.
Pada 17 Julai, Tranung Kite berpindah ke tapak Geocities.com, dengan alamat http://clik.to/tranung.
Malaysiakini tidak menerima sebarang maklumat berhubung masalah seumpama itu pada laman-laman web pembangkang dan proreformasi yang lain.
Pengkritik kerajaan mula menggunakan Internet untuk menyalurkan maklumat politik secara aktif sejak pemecatan timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 1998.
.............................................
Petikan Malaysiakini.com