Oleh: Hj Mohnas
Adakah ada istilah yang layak diberikan kepada
kenyataan yang berbunyi begini, "Kita menangkap
[dengan ISA] bukan untuk membunuh tetapi itulah tahap
kasih sayang kita [kerajaan] kepada mereka [rakyat].
Kita bela mereka kerana kita sayang mereka. Kita
tangkap kerana kita hendak menjaga dan membentuk minda
[mereka]," melainkan bebal, bangang dan bangsat?
Maaf, saya tidak menemukan sebarang istilah yang
sesuai. Adalah bebal, bangang dan bangsatlah saya
sekiranya menamakan kenyataan sebegitu sebagai
intelek, bijak dan cerdik. Kenyataan sebegini tidak
layak keluar dari mana-mana mulut orang yang
menggunakan kewarasan dan kebijaksanaan, menggunakan
otak di kepala, bukannya berotak di kepala lutut.
Parlimen tidak wajar dijadikan kandang jenaka dan
kumbah lawak sehingga mana-mana ahli parlimen, tidak
kira yang paling jahat daripada parti kerajaan hingga
yang paling baik daripada parti pembangkang,
mengeluarkan kenyataan yang tidak menggambarkan
ketinggian intelek.
Malangnya, sejak akhir-akhir ini, pemimpin UMNO
khususnya, banyak mengeluarkan kenyataan yang tidak
menggambarkan pemikiran takat tinggi, sebaliknya
mendedahkan kegelojohan, kebebalan dan
ketidakmatangan. Saya kira selepas kegagalan Ibrahim
Ali bukan sahaja semasa menjadi timbalan menteri,
bahkan ditolak rakyat dalam pilihan raya, pemimpin
UMNO mengambil iktibar daripada pemikiran dan
kenyataan Ibrahim Ali selama ini. Sebaliknya, seorang
demi seorang pemimpin UMNO gemar menggunakan kaedah
dan cara berfikir Ibrahim Ali yang ditolak rakyat itu.
Menyebut betapa menggunakan ISA adalah kasih sayang
kerajaan, adakah ia bermakna kita sudah bersetuju
dengan tindakan Hitler melancarkan pembersihan etnik
Yahudi atau anti-sematik, demi membela rakyat German?
Atau adakah kita bersetuju dengan kaedah dan cara
Zionis, terutamanya, di bawah Ariel Sharon, si
penjenayah perang melancarkan serangan militan
terhadap rakyat Palestin sebagai kasih sayang kepada
rakyat negara haram Israel?
Adakah kenyataan ini penanda awal, penyakit latah dan
nyanyuk [lanyuk] sudah mewabak kepada menteri dan
timbalan menteri, ahli parlimen dan ADUN, pemimpin
bahagian dan cawangan UMNO? Atau ia adalah fenomena
yang melatari pemikiran dan minda pemimpin UMNO,
sehingga mulut bukan sahaja lebih cepat, malah lebih
bijak daripada otak mereka?
Persoalan ISA bukan kerana hanya dikenakan kepada
seorang dua pemimpin mahasiswa seperti Fuad dan
Khairul Anuar, atau pun seperti Azmin dan Hishamuddin,
atau pun penyebar ajaran Syiah, atau pun segelintir
yang tersangka komunis, tetapi ISA ialah persoalan
keadilan dan hak asasi manusia.
ISA ditentang bukan semata-mata kerana Anwar Ibrahim
pernah diperosokkan ke lokap dan kemudiannya
dibelasah, atau pun, secara menggila dikenakan kepada
pemimpin reformasi, tetapi adalah kerana ISA
bercanggah dengan lunas-lunas demokrasi serta
bertentangan dengan hak mendapat pembelaan.
ISA adalah kepercayaan kepada kepala otak seorang
menteri dalam negeri dan memberikan kebebasan tanpa
batasan kepada polis untuk bertindak sebagai peguam
bela, pendakwa raya, saksi, hakim dan juri kepada yang
didakwa dalam mahkamah tertutup dengan jaring besi di
Bukit Aman!
ISA adalah penghinaan kepada sistem kehakiman apabila
mengenepikan hakim untuk mengendalikan perbicaraan,
sebaliknya dengan kelulusan menteri dalam negeri,
pihak polis yang secara bebas boleh menjatuhkan
hukuman terhadap yang didakwa. Ia adalah
ketidakyakinan kerajaan [baca: UMNO] terhadap sistem
kehakiman, sehingga secara berwenang-wenang boleh
menahan sesiapa sahaja mengikut kepala otak menteri
dalam negeri berkemungkinan melakukan sesuatu
kesalahan. Adakah ini tidak dinamakan sangka buruk?
Akta yang sepatutnya dikenakan kepada komunis, tetapi
melarat kepada pemimpin pembangkang dan mahasiswa,
malah tidak mustahil ulama! Alasan bahawa akta ini
juga digunakan terhadap mereka yang mengamalkan
amalan-amalan komunis adalah alasan haprak dan
bangsat.
Adakah, menahan seseorang tanpa bicara, menumbuk dan
membelasah dalam lokap, membelasah penunjuk-penunjuk
perasaan, dan merompak khazanah negara, bukan amalan
komunis? Sejarah menunjukkan, apabila Jepun menyerah
diri, komunis berleluasa di tanah air, menahan dan
membicarakan sesiapa sahaja yang disyaki tali barut
Jepun dalam mahkamah yang tidak mempunyai keadilan,
atau pun Tragedi Tiannanmen yang menyaksi ratusan jiwa
terkorban dan 10,000 manusia cedera adalah tindakan
komunis China terhadap kalangan mahasiswa dan buruh?
Hei, jawab ini dulu sebelum mengatakan ISA adalah
kasih sayang!
Adalah meloyakan apabila mendengar betapa ISA
digunakan terhadap Fuad dan Khairul Anuar sebagai
prosedur biasa yang boleh diambil terhadap sesiapa
sahaja bagi membantu siasatan polis. Negara apakah
ini, menahan seseorang tanpa bicara beralasankan
siasatan polis sebagai prosedur biasa? Adakah ini
bermakna selepas ini persetankan prosedur normal
mendapatkan waran tangkap dan wajib membebaskan yang
disyaki dalam masa 48 jam sekiranya tidak menemui
sebarang bukti yang menyabitkan kesalahan, atau
membawa ke mahkamah sekiranya cukup bukti?
Adakah selepas ini sekiranya saya melaporkan dompet
saya dicuri, maka polis boleh menahan sesiapa sahaja
dengan ISA bagi membantu siasatan? Bunyinya lawak dan
bodoh bila saya yang mengucapkannya, tetapi tidak
apabila seorang timbalan menteri dalam negeri yang
mengeluarkan kenyataan tersebut!
Begini sahajalah, untuk menunjukkan kasih sayang kita
kepada UMNO, marilah kita menyahkan parti serba purba,
fobia dan haprak ini sebelum UMNO 'betul-betul
menunjukkan kasih sayangnya' dengan menahan kita semua
tanpa bicara!
=====