Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Dimana silapnya?

Assalamualaikum wrmthwbrkth.

Memang tidak dapat kita nafikan bahawa gejala Black Metal,dadah,membunuh dan merogol ini menggerunkan kita terutama dikalangan ibubapa. Namun disebalik berlakunya gejala ini,eloklah kita pandang pada sudut yang berbeza sedikit dan bertanya pada diri sendiri terutama pada kedua ibubapa yang menghadapi masalah ini pada anak-anak mereka. Dimana silapnya? Tentunyalah diri kita sendiri dahulu,barulah ia berkait pula dengan keadaan semasa ketika itu, kini dan seterusnya.

Bukanlah niat saya nak salahkan sesiapa dalam perkara ini, semuanya sudah ditakdirkan sebegitu.Oleh itu eloklah kita ambil iktibar dan cuba cari jalan penyelesaian yang lebih proaktif.

Kebanyakan remaja yang menghadapi masalah ini adalah yang berumur belasan tahun. Bermakna sepuluh tahun yang lalu mereka adalah budak-budak kecil yang masih tidak tahu menilai mana yang baik dan mana yang buruk. Ikut mengikut dan pandai-pandai adalah keputusan mereka. Juga kalau tak salah saya, waktu itu adalah tahun orang kata Malaysia tengah megah maju kedepan.

Mari kita tinjau pendapat saya yang kerdil ini untuk sama-sama kita renungkan dan mungkin dapat kita perkembangkan untuk kepentingan bersama.

Ibubapa gairah dengan kemewahan

Saya masih ingat lagi ketika itu, masing-masing berkejaran mencari kesenangan hidup yang berasaskan kewangan.Saham sini,saham sana, overtime dll. Termasuklah diri saya sendiri. Dalam waktu yang sama, kita lupa akan perkembangan hidup anak-anak kita yang hanya tahu nak berseronok sahaja ketika itu. Oleh kerana mak dan ayah sibuk dengan kerja, terpaksalah mereka mencari alternatif yang lain untuk memenuhi keseronokkan mereka. Anak-anak bebas keluar rumah main-main tanpa diselidiki dahulu apa yang mereka buat.

Ibubapa gairah dengan keputusan akedemik

Kadang-kadang ibubapa apabila anak mereka dihantar ke sekolah tadika tak kira samada biasa atau agama,maka itu sudah mencukupi buat mereka.Tambahan pula kegairahan ibubapa untuk melihat keputusan yang cemerlang adalah satu kebanggaan buat mereka seolah-olah naluri kemanusian seseorang insan kecil itu sudah dipenuhi sepenuhnya dan mampu merempuh hidup seterusnya.Sedangkan dalam hati kecil mereka adalah terselit satu pemberontakkan yang ingin menular dari jiwa mereka yang tersepit itu. Mereka dipaksa untuk mentelaah buku, membuat matematik dan lain-lain tanpa mempunyai masa untuk berseronok bahkan tahap mental mereka belum sampai lagi untuk di asuh sebegitu.

Mereka mampu untuk berdoa tapi implikasinya kurang sebab mak bapak tak ada masa untuk melayan anak dirumah. Mampu untuk membuat kira-kira tapi apa impact buat kehidupan mereka.

Ibubapa sendiri tidak kenal erti hidup

Ini semestinya satu masalah yang tidak perlu kita pertikaikan lagi. Kalau dah ibubapa sendiri tak tahu erti hidup, anak mereka tak payah kita tanya lagilah.Ingin saya berkongsi pengalaman saya sewaktu belajar di UK dulu. Pernah saya bersama dengan seorang pelajar senior yang bagi saya adalah 'genius'. Kuliah tak pernah pergi,cuma tutorial aja yang pergi. Habiskan masa di Disco dan mana-mana entertainment area. Tapi bila tiba waktu exam dia pasti lulus dan lulus pulak cemerlang sekali. Ibubapa mereka amat berbangga dengan anaknya.Jadi apa pendapat saudara semua,dia dapat bekerja dengan syarikat atau mana-mana institusi swasta di negara kita dan membawa perwatakan sebegitu kedalam era atau alam pekerjaan pula?Sudah tentu rosak binasalah moral pekerja-pekerja yang bersamanya.Apakah punca dia jadi sebegitu rupa? Ibubapa yang tidak kenal erti hidup dalam erti kata sebenarnya.

Ibubapa terlalu manjakan anak

Bab manjakan anak ini tak nafilah dulu saya pun pernah mengalaminya juga. Tapi bab kena debuk di belakang,rotan dibetis cubit sana-sini dan kena ikat tangan dan mulut tu ada juga membawa kenangannya. Tapi anak-anak zaman sekarang lain pula ceritanya. Cikgu rotan aje di sekolah, bapak dah datang bawak parang mengamuk!! Pihak kementerian pulak akur dengan ibubapa dan melarang kekerasan dilakukan pada murid-murid. Sekarang lihatlah sendiri, macam-macam yang dilakukan oleh murid-murid terhadap cikgu-cikgu mereka. Sudah tiada nilai kemanusian lagi tindakan mereka. Hormat pada guru sudah tidak ada dalam jiwa mereka lagi.

Jadi yang di atas itu cuma segelintir sahaja yang boleh saya nampak bahkan mengalaminya juga. Elok kita buat perbandingan di sini senario yang berlaku ketika kita kecil dahulu dengan kanak-kanak zaman kini.

1. Guru disiplin sekolah:

-Zaman kita tak adalah guru yang paling kita takutkan kalau tidak beliau.Kecut perut dibuatnya bila ada perhimpunan sekolah.Tambah-tambah pulak bila lencana lupa nak pakai dan tertinggal di rumah. Baju baru basuh pulak tu yang dipakai,mak dah tanggal lencana besi tu.Balik rumah marah kat mak pulak.

-Sekarang,kereta guru disiplin disembahkan asid dan sempat mengaku pulak tu depan guru tersebut!! Jangankan kesalahan tak pakai lencana, duk buat perkara sumbang seperti bercumbu bahkan sampai ketahap sex bebas di sekolah pun boleh berlaku.

2. Bermain tengah jalanraya:

-Zaman kita memang selalulah main di tengah jalanraya kawasan rumah kita. Tapi tiap kali kalau nampak kereta atau kenderaan datang,dengan cepatnya kita semua memberi laluan sebab telah dididik bahawa jalanraya tu bahaya tempatnya.Mak kita tak habis menjerit-jerit melarang main disitu.

-Sekarang masih ada yang main tengah jalanraya,tapi bila kenderaan lalu, jangankan nak beralih, pandang pun tidak. Bahkan kadangtu kena tunggu sehingga mereka selesai satu tahap permainan.Bila kita tekan hon kereta,mak bapak yang berdekatan dah mula menjeling macam nak makan orang.

3.Bermotosikal ke sekolah:

-Zaman kita,basikal ajelah yang kira mampu untuk naik.Tak mampu nak berlagak sangat di sekolah ataupun dimana-mana? -Sekarang dah berlambak-lambak anak-anak remaja yang masih bersekolah dah naik motosikal kesekolah.So senanglah nak berpoya-poya terlebih dahulu selepas sekolah sebelum pulang kerumah. Tak payah nak tunggu ke Universiti nak berkepit dengan awek. Agaknya sekolah tadika pun dah ada berkepit nanti.

Konklusi saya:

Atas semua ini, yang terutama sekali bagi pendapat saya ialah kita kenalah didik anak kita bahkan kita sendiri agar lebih bersikap sederhana dalam segala-galanya.Juga lebihkan didikan ugama bersifat sivikal terlebih dahulu pada mereka bahkan kalau boleh lebih proaktif dari zaman kita dulu.Tegur bahkan rotanlah mereka pada tahap yang munasabah agar mereka mengerti dan menilai tindakan tersebut bila dah besar nanti. Jangan terlalu ingin melihat anak-anak kita maju dalam akedemik tapi mundur dari segi maruah dan perilaku seorang manusia atau insan yang berjiwa murni dan di redhai olehNya.Bukankah matlamat hidup kita ialah mengharapkan keredhaan Allah swt.

Akhir kata dari saya yang kerdil ini, segala sesuatu yang baik itu adalah dari Allah jua dan yang buruk atau salah itu adalah kelemahan saya sendiri dalam memberi pendapat. Oleh itu perbetulkanlah buat saya.

Sekian Wassalam
Nukilan hati kecilku






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 26 Julai 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com