Ramai mahasiswa yang lantang mengkritik pemain-pemain politik tanahair. Antara yang bingit telinga menahan kritikan ialah ahli-ahli politik kerajaan. Mungkin sudah menjadi adat manusia apabila satu pihak menjadi ketua, maka mulalah pihak-pihak yang lain sibuk menunjuk ajar itu dan ini kepada si ketua tadi. Bukan tidak boleh menunjuk ajar, malah banyak kebaikannya kalau kita berkongsi pandangan, tapi apa yang menjadi kekesalan kita bersama ialah kritikan yang tidak bermakna, lebih-lebih lagi kalau mahasiswa yang berbuat begitu.
Ada sesetengah mahasiswa yang menampilkan imej luaran yang hebat, apabila dipandang sekali, kita sangkakan mahasiswa intelektual, tapi apabila dibuka mulutnya, keluarlah kata-kata dan pendapat yang tidak setaraf dengan status dan lagak tuan punya mulut. Apakah patut mahasiswa yang dikatakan berilmu itu dengan lancar dan fasihnya mengeluarkan kata-kata kesat mencarut, memaki-hamun dan mencaci pemimpin-pemimpin negara? Tidak perlu bersekolah pun boleh mencarut, mencaci dan menghina sesedap rasa.
Kalaupun tidak bersetuju dengan pemimpin-pemimpin, berilah pandangan secara membina dan ada arah tujuan. Sekurang-kurangnya, hormatlah kepada orang lain. Kalau asyik memaki saja, pemimpin jadi marah dan rakyat pun tidak faham buah butir percakapan si pemaki. Sampai kiamat pun tidak akan diendahkan orang. Apabila tidak diendahkan, si mahasiswa berasa terhina kononnya dia diperlekehkan. Maka, mulalah dia mengangkat sepanduk dan membawa caci-makinya ke tengah jalan raya pula supaya pengguna jalan raya tidak ada pilihan kecuali berhenti dan dipaksa mendengar.
Jangan sia-siakan tenaga dan air liur. Kalau benar mahasiswa percaya ISA itu patut dimansuhkan, katakanlah ISA itu melanggar prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law) kerana mengandungi fasal penyingkiran mahkamah serta memberikan budibicara mutlak kepada pembuat keputusan awam (public decision-maker). Mengapa harus menuduh yang bukan-bukan dengan mengatakan ISA itu salah kerana si polan dan si polan pengkhianat bangsa dan sebagainya menggunakan ISA untuk memudahkan perompakan wang rakyat.
Begitu juga apabila mahasiswa mengatakan si polan dan si polan itu 'setan' kerana mengkafirkan orang Islam yang lain. Tidak ada apa-apa diperjelaskan kepada kita supaya kita lebih memahami pandangannya, pokoknya, si polan itu 'setan' atau 'sekutu setan'. Di manakah letaknya kredibiliti kenyataan-kenyataan mahasiswa ini?
Entah apa malangnya nasib kita, bukan mahasiswa yang muda belia itu saja yang bersikap begitu, cendekiawan, ahli politik, malah alim ulama juga memilih kaedah cacian dan carutan yang semestinya lebih sensasi. Maka gamatlah suasana setiap kali diadakan pesta caci-mencaci, hasut-menghasut dan bertukar-tukar isyarat lucah. Tapi berapa kerat sangat pendengar dan pemerhati mereka yang endahkan perjuangan mereka? Ramai yang gemar mendengar dan melihat saja sebagai hiburan percuma. Jadi, ramai peminat jangan disalah sangka sebagai ramai penyokong.
Bertanyalah kepada diri anda, kalau orang yang ada otak, adakah akan tertarik memikul perjuangan yang dilandaskan kepada maki hamun yang tidak berasas?
Orang Kita