PERUTUSAN SEMPENA DUA DEKAD DR MAHATHIR MENJADI PERDANA MENTERI (16 JULAI 2001)
CUKUPLAH 20 TAHUN KEZALIMAN MAHATHIR
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) merakamkan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia sempena ulang tahun ke-20 pemerintahan Dr Mahathir Mohammad sebagai Perdana Menteri negara ini. Pencapaian Dr Mahathir ini merupakan satu rekod kepada politik tanah air kerana sebelum ini belum ada seorang Perdana Menteri dapat bertahan begitu lama sehingga mencecah 20 tahun.
DPP Pusat merasakan bahawa sangat wajar kiranya pencapaian Dr Mahathir ini direkodkan di dalam buku Malaysia Book of Record kerana kemungkinan selepas tidak ada orang yang dapat menandingi kemampuan beliau mempertahankan kuasanya. Sebenarnya kebanggaan Perdana Menteri kerana sepanjang 20 tahun memerintah negara ini beliau telah berjaya mengubah hala tuju negara daripada sebuah negara pertanian kepada negara industri telah menyebabkan ekonomi negara bergantung kepada negara asing.
Industri pertanian yang sebelum ini menjadi sector utama kini terpinggir dan orang Melayu juga turut terpinggir daripada arus pembangunan. Wawasan 2020 yang beliau kemukakan dengan kemajuan teknologi komunikasi dan maklumat telah mendedahkan negara ini kepada bahaya globalisasi. Perdana Menteri juga gagal memulihkan kegawatan ekonomi dan mendedahkan negara ini kepada ancaman kuasa asing apabila negara menggunakan khidmat penasihat ekonom Yahudi dan terlalu bergantung kepada modal asing.
Dalam pada itu, DPP Pusat merasa sangat bertuah kerana memiliki seorang Perdana Menteri yang sangat karismatik dan licik dalam mempertahankan kuasanya demi untuk kepentingan politik peribadi dan kroni-kroninya sehingga sanggup membelakangkan kepentingan rakyat dalam semua aspek kehidupan. Perdana Menteri sanggup untuk mencabul kepentingan sivil, politik, ekonomi, social dan budaya rakyat semata-mata untuk mempastikan kekuasan yang dimilikinya dapat dipertahankan.
Sepanjang 20 tahun menguasai tampuk pemerintahan negara ini, Dr Mahathir telah melakukan pelbagai bentuk jenayah politik, pencabulan hak rakyat, kerakusan ekonomi, pemerkosaan sistem kehakiman dan perundangan, penghinaan terhadap Islam, penindasan ke atas rakyat bawahan, politik kroni dan nepotisme, penyalahgunaan kuasa, penodaan media massa, demokrasi terpimpin dan sebagainya.
Siri-siri kezaliman yang ditaja oleh Umno/BN yang dipimpin oleh Dr Mahathir telah berjaya meletakkan rakyat negara ini dalam keaddan yang terhimpit sehingga membolehkan kuasa yang dimiliki oleh Perdana Menteri tidak dicabar langsung oleh rakyat. PAS sendiri sebagai sebuah parti politik yang sah di negara ini telah mengalami pelbagai pahit maung dalam menghadapi sendiwara politik Dr Mahathir.
Bermula daripada Kertas Putih tentang isu kafir mengkafir (1983), tangkapan ISA (1984, 1985, 1987 dan 1989), peristiwa berdarah Lubuk Merbau (1985), Peristiwa Memali (1985), rampasan tanah Muassasah Darul Ulum (1987), menganaktirikan Kerajaan Kelantan (semenjak 1990), menghina hukum hudud (1994), Ops Kriket (1997), menyekat pengeluaran Harakah (2000) dan menafikan royalti minyak Terengganu (2000).Peristiwa belum diambil kira tentang halangan berceramah, laporan media yang tidak adil, penghinaan ke atas hokum-hukum Islam, sunnah Nabi, ulama dan sebagainya yang berlaku dengan begitu hebat dalam masa 20 tahun terakhir ini.
Dalam masa 20 tahun ini juga Kerajaan BN di bawah pimpinan Dr Mahathir telah melakukan pelbagai penindasan ke atas rakyat seperti Skandal BMF (1985), provokasi perkauman (1987), pemecatan Ketua Hakim Negara (1988), penghinaan ke atas institusi raja (1992), rampasan tanah di Kerpan (1995) dan Pantai Tanah Merah (1995), Menteri Basar melarikan 1.8 kilogram wang (1997), Ketua Menteri merogol pelajar sekolah (1997) dan konspirasi politik ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim (1998). Selain itu juga, sepanjang 20 tahun ini, jutaan wang rakyat telah diagihkan kepada keluarga dan kroni pemimpin BN, tabungan awam digunakan untuk membail out syarikat kroni, pasukan polis, Jabatan Peguam Negara dan BPR disalahgunakan untuk menyelamatkan pemimpin BN, politik perkauman diamainkan, pendidikan dikomoditikan, kesihatan diswastakan, akta-akta draconian digubal untuk menyekat hak rakyat, pendakwaan dilakukan secara terpilih dan sebagainya.
Di samping itu, pencerobohan ke atas nilai budaya dan system social masyarakat juga telah meruntuhkan system yang sedia ada apabila rakyat negara ini terjebak dengan budaya hedonisme, dadah, arak, judi, bohsia, lepak, zina dan sebagainya yang gagal ditangani oleh kerajaan pimpinan Dr Mahathir.
Daripada rangkaian kezaliman yang begini besar berlaku ke atas rakyat dalam masa 20 tahun, segala pembangunan dan pertumbuhan ekonomi menjadi tidak bererti kepada rakyat. Walaupun Perdana Menteri bersuara lantang di arena antarabangsa untuk membela nasib negara-negara miskin dan sedang membangun, dalam masa yang sama juga Perdana Menteri telah menindas rakyat negara ini semahunya. Inilah hasil pemerintahan seorang perdana menteri yang rakus dan gila kuasa sehingga memaksa rakyat terus bimbang untuk bangkit menyatakan kebenaran, keadilan dan kebebasan.
Setelah 20 tahun pemerintahan kuku besi Dr Mahathir bertunjang di negara ini, kini sudah tiba masa rakyat negara ini membuat perubahan yang menyeluruh dalam aspek politik, ekonomi dan social bagi mempastikan keadilan, kebenaran dan kebebasan dapat ditegakkan.
DPP Pusat menyeru seluruh rakyat negara ini agar tidak terpengaruh dengan slogan pembangunan yang diamainkan oleh pemimpin BN dalam mempertahankan kekuasaan zalim mereka, sebaliknya rakyat mesti menoleh ke belakang untuk menilai siri-siri kezaliman yang berlaku dan memikirkan apakah tindakan yang seharusnya dibuat.
Kini sudah tiba masanya untuk rakyat menghentikan kezaliman yang berlangsung selama 20 tahun. Cukuplah 20 tahun menanggung beban kezaliman pemerintah, marilah kita beriltizam untuk mewajahkan semula negara ini dengan citra keadilan, kebebasan dan kebenaran.
HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat