Kenyataan Media Bersama KeADILan dan PRM
KEUTUHAN DAN PERPADUAN BA PALING UTAMA
Perbincangan dan pertukaran pendapat adalah sebahagian daripada cara
demokratik yang diamalkan oleh anggota-anggota komponen Barisan Alternatif
(BA). Polemik yang sihat bukan sahaja membawa kepada persetujuan jangka
panjang, tetapi juga membuka ruang untuk kita saling memahami antara satu
sama lain. Dalam demokrasi yang matang, suasana ini adalah lumrah.
Namun begitu tidak dapat dinafikan, dalam negara Malaysia masakini di mana
Barisan Nasional (BN) menguasai sepenuhnya media cetak dan elektronik,
sebarang diskusi di antara komponen BA akan dipergunakan sebagai bahan
propaganda. Akhir-akhir ini, pendapat PAS dan DAP mengenai konsep "Negara
Islam" digembar-gemburkan sebagai perseteruan dahsyat antara dua kutub yang
berbeza. Kami merasa sedih kerana BN telah mengeksploitasi suasana sambil
menyelewengkan fakta dan keadaan sebenar.
Oleh itu, kami sekali lagi menyeru anggota-anggota BA supaya berwaspada
membuat apa-apa kenyataan mengenai perkara ini yang boleh digunakan oleh
media utama untuk memburukkan BA. Kami tetap berpendirian segala perbezaan
atau perselisihan pandangan lebih baik diselesaikan terlebih dulu secara
perundingan. Perbincangan dalam BA tentang perkara ini perlu diteruskan
dalam suasana terbuka dan penuh kesetiakawanan. Kita harus terus berusaha
agar kerangka demokrasi dapat diteguhkan demi kebaikan semua rakyat
Malaysia.
Memang jelas bahawa objektif utama kita ialah untuk menumpaskan BN. Pucuk
pimpinan BN yang zalim serta tidak demokratik sentiasa mencuba
menghancurkan perjuangan rakyat untuk menegakkan demokrasi, keadilan,
kebebasan, kebenaran, perpaduan negara dan kebajikan rakyat. Untuk
mencapai objektif besar ini secara berkesan semua parti politik, golongan
dan individu perlu sekali menguatkan perpaduan. Jangan sekali-kali kita beri
peluang kepada BN untuk melonggarkan perpaduan yang ada. Sehubungan ini,
mustahak sekali kita berusaha untuk memantapkan lagi kerjasama dalam BA.
Sudah tentu BA yang lemah atau berpecah akan menjejaskan perjuangan rakyat.
Kami menghormati hak setiap parti atau individu untuk mempunyai ideologi
atau matlamat jangka panjang masing-masing, dan pada masa yang sama kami
menghormati juga hak parti atau individu lain berbeza pendapat atau
pandangan. Akan tetapi, kami juga berpendapat bahawa buat masa ini
Manifesto BA "Menuju Ke Arah Malaysia Yang Adil", yang dipersetujui
semenjak sebelum pilihanraya umum 1999, masih merupakan asas yang terbaik
dan terkuat untuk mengukuhkan kerjasama serta perpaduan di antara
parti-parti BA. Jelas bahawa dalam Manifesto tersebut tidak ada kenyataan
yang menyebut bahawa parti-parti BA mengutarakan Negara Islam sebagai
matlamat bersama mereka.
Benar bahawa Manifesto ini menegaskan janji BA untuk "mewujudkan suasana
yang menggalakkan - melalui penyediaan prasarana, pendidikan dan
perundangan - ke arah penghayatan Islam sebagai sistem hidup yang
menyeluruh (ad-deen) di kalangan umat Islam". Akan tetapi di samping itu,
dalam ayat yang sama, ia "memastikan bahawa hak masyarakat bukan Islam
mengamalkan agama atau kepercayaan masing-masing terus terjamin".
Terang sekali di sini bahawa penghayatan sistem hidup (ad-deen) itu
terbatas kepada umat Islam sahaja dan menepati tuntutan agama Islam sendiri
bahawa tidak ada paksaan dalam soal keagamaan. Janji BA ini tidak boleh
ditafsirkan sebagai satu matlamat untuk mewujudkan Negara Islam.
Kami berpendapat bahawa dengan sistem pilihanraya dan komposisi penduduk
yang wujud di negara ini tidak ada parti secara persendirian, baik dari
pihak BN mahupun BA, yang boleh menggondol majoriti dua pertiga dalam
Parlimen untuk meminda Perlembagaan Persekutuan. Selagi keadaan ini tidak
berubah UMNO, misalnya, tidak mungkin akan dapat meminda Perlembagaan
untuk mewujudkan "Ketuanan Melayu mutlak". Begitu juga tidak ada parti
secara sewenang-wenang dan tiba-tiba boleh mendapat majoriti secukupnya
untuk meminda Perlembagaan bagi menukar Malaysia menjadi negara
“fundamentalis” atau "Malaysian Malaysia". Buat beberapa pilihanraya akan
datang, tidak ada pilihan lain bagi parti-parti alternatif selain
berpegang kepada Manifesto BA sebagai matlamat bersama.
KeADILan dan PRM ingin menegaskan bahawa perjuangan BA adalah berasaskan
Manifesto BA, dan bukan berasaskan semua tuntutan parti BA masing-masing,
yang mungkin berbeza terhadap hal-hal tertentu, seperti juga terdapat dalam
BN. Maka, Insha Allah, seandainya BA berjaya memerintah Malaysia dengan
sokongan rakyat terbanyak, pindaan perlembagaan untuk mendirikan ‘Negara
Islam’ atau ‘Malaysian Malaysia’ oleh mana-mana parti BA tidak akan direstui
oleh parti-parti BA yang lain. Semua parti BA bersetuju tidak akan meminda
sifat negara Malaysia tanpa sokongan dua-pertiga melalui pungutan suara di
khalayak semua rakyat Malaysia.
Kami tetap mendukung prinsip kebebasan beragama seperti yang terkandung
dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. Begitu juga kami mempertahankan
Perkara 74, 75 dan Jadual ke-9 dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan
hubungan Pusat dengan Negeri mengenai soal membuat undang-undang. Kesemua
ini merupakan kontrak sosial yang sesuai dalam masyarakat atau negara yang
berbilang kaum dan berbilang agama.
Akhir sekali, kami ingin menyatakan komitmen parti-parti BA kepada
prinsip-prinsip utama dalam Perlembagaan Persekutuan, dan kami akan tetap
mempertahankan asas-asas kebebasan yang terkandung dalam perlembagaan
tersebut. Kami juga akan terus memperjuangkan hak-hak yang dijamin kepada
setiap rakyat Malaysia tanpa mengira etnik, suku kaum dan kepercayaan.
Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden Keadilan
Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM
27hb Julai 2001