Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Adakah Keselamatan Negara Begitu Rapuh?

Kenyataan Akhbar Gerakan Mansuhkan ISA - 6 Julai 2001

Adakah Keselamatan Negara Begitu Rapuh?

1. GERAKAN MANSUHKAN ISA (GMI) yang dianggotai lapan puluh (80) badan-badan bukan kerajaan, parti-parti politik, kesatuan sekerja, kesatuan pengguna, persatuan mahasiswa dan kumpulan-kumpulan masyarakat prihatin, amat kesal, sedih dan marah dengan penahanan Saudara Khairul Anuar bin Ahmad Zainuddin, seorang penuntut di Institut Kemahiran MARA di bawah ISA pagi semalam.

2. Amat sukar diterima akal bagaimana seorang pelajar muda telah berjaya memudaratkan keselamatan sebuah negara berdaulat yang telah merdeka selama empat puluh tiga (43) tahun, telah berjaya mengatasi ancaman bersenjata komunis, mengatasi pergaduhan kaum (1969), membangun sebagai negara yang sama taraf dengan negara-negara maju dan telah berjaya mematahkan serangan ekonomi dari luar.

3. Penahanan Saudara Khairul Anuar menimbulkan banyak persoalan. Di antaranya:

a. Adakah keselamatan negara begitu rapuh?

Selepas pihak polis berbangga dengan kejayaan mematahkan "ancaman kepada keselamatan negara" dari golongan reformasi dengan menahan sepuluh (10) orang hingga keadaan kembali aman, GMI tidak dapat menerima penahanan ini sebagai susulan penahan yang lalu atau sebab ancaman yang baru.

b. Adakah tahap keprofesionalan polis begitu rendah? v Penggunaan ISA kebelakangan ini memberi gambaran ia digunakan sebagai jalan pintas oleh polis. Ia pernah digunakan terhadap mereka yang dituduh menganggotai kumpulan militan, Al-Arqam, Shiah, pemalsuan kad pengenalan, pengklonan telefon, tekong darat serta aktivis sosial. Peruntukan yang membolehkan polis menahan seseorang bagi tempoh 60 hari seolah-olah menjadi pilihan yang mudah jika dibandingkan dengan akta lain yang perlu merujukkan penahanan dan hasil penyiasatan kepada mahkamah. GMI beranggapan setiap penahanan yang tidak disusuli dengan pendakwaan di mahkamah atau pembebasan merupakan kezaliman dan menjadi tanda kegagalan polis.

c. Adakah ini strategy lencongan (diversion

Adakah isu ISA yang mendapat bantahan ramai dan menjadi tumpuan kini sengaja diperpanjangkan bagi memesongkan perhatian rakyat prihatin daripada isu-isu yang lebih besar seperti rasuah, kronisme, penggunaan wang rakyat, kemelut UMNO dan BN serta keadaan Datuk Sri Anwar?

4. Perkembangan mutakhir menunjukkan satu kempen yang agresif terhadap mahasiswa yang prihatin tetapi penahanan Saudara Khairul Anuar di bawah ISA adalah tindakan yang melampau.

5. GMI menuntut pihak polis:

i. menyatakan sebab-sebab penahanan Saudara Khairul Anuar dibuat di bawah ISA;

ii. menjamin keselamatan Saudara Khairul Anuar dan memastikan beliau tidak dikenakan sebarang jenis penderaan mental, emosi atau fizikal;

iii. membenarkan keluarga bertemu dengan Saudara Khairul Anuar;

iv. membenarkan SUHAKAM menziarahi Saudara Khairul Anuar di tempat tahanan dengan segera

v. membebaskan Saudara Khairul Anuar atau segera menghadapkannya ke mahkamah.

6. GMI juga menggesa SUHAKAM untuk bertindak lebih pantas dan tegas kali ini supaya ia boleh dilihat sebagai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia yang sebenarnya. GMI mencadangkan agar SUHAKAM menggunakan segala kuasa yang diberi oleh Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 untuk menangani isu ini, khususnya Seksyen 4 (2) (d) [melawat tempat tahanan] dan 14 (1) (c) [memanggil sesiapa berhubung siasatan].

Zaid Kamaruddin - Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Gerakan Mansuhkan ISA






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 21 Julai 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com