Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Prospek pertanian Terengganu cerah

Muqaddimah

Perancangan strategik dalam agenda pembangunan negeri Terengganu pada masa kini telah diasaskan daripada Wawasan Negeri Maju Berteraskan Islam. Wawasan ini akan direalisasikan dengan tema Membangun Menurut Islam dan Matlamat Menuju Tahap Pembangunan Al-Falah. Bagi membicarakan perkara tersebut Wartawan WARTA, KHAIRUL AZLAM MOHMAD telah mewawancara Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, Haji Abu Bakar Chik. Ikuti wawancara menarik ini. – Pengarang.

 

WARTA: Sebagaimana diketahui umum, selepas pilihan raya umum lalu Tuan Haji diamanahkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar. Apakah fungsi jawatankuasa ini?

HAJI ABU BAKAR: Jawatankuasa ini pada dasarnya memainkan peranan untuk membangunkan sektor pertanian dengan sub-sektornya tanaman, ternakan dan perikanan. Di samping itu ditambah dengan keperluan pasaran dan juga kilang bagi memajukan sub-sektor tadi.

Pertama, saya melihat perlu ada skim yang membolehkan pengeluaran yang teratur. Ianya tidak terdapat sebelum daripada ini (semasa kerajaan yang lalu).

Kedua, perlunya tenaga kerja dipulihkan semangat mereka dengan pemberian dan pembukaan tanah-tanah yang cukup untuk membolehkan mereka menjalankan pertanian dan ketiga, mereka mesti yakin dalam soal pasaran. Pasaran memerlukan pengeluaran yang tetap. Insya Allah, kita akan atasi dengan skim penjadualan yang tetap. Dan pasaran juga memerlukan pengeluaran yang bermutu. Oleh itu, teknologi memainkan peranan sama ada dari segi pengeluaran ataupun pemprosesan, maka kita mesti mengatasi masalah tersebut. Kalau di peringkat pemprosesan sudah tentu memerlukan kepada kilang dan lebih luas lagi jika dibicarakan soal ini perlu adanya industri hiliran kepada produk pertanian sama ada buah-buahan, daging dan ikan.

Ikan sebagai contoh, memberi sumbangan yang besar untuk pembuatan keropok dengan jumlah hampir 100 tan sebulan. Jika sekiranya kita boleh menguruskan setiap bidang tadi dan boleh mewujudkan pasaran yang baik dengan adanya kilang, saya percaya bagi memperolehi pendapatan RM1,500 sebulan kepada petani tidak menjadi masalah. Ini sedang diatur dan Pelan Induk Pertanian Negeri Terengganu tahun 2001-2010 akan menunjukkan kaedah bagi mencapainya.

 

Bagaimana dengan Dasar Pertanian Negeri?

Pelan Induk Pertanian Negeri Terengganu tahun 2001-2010 yang sedang dirangka telah mengambilkira Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) dan Dasar Pertanian Negeri sebelum ini. Mana yang sesuai akan diselaraskan dan yang lemah akan diperbaiki. Namun begitu, bagi mencapai matlamat dan sasarannya kita mempunyai perancangan dan rencana tersendiri.

Bagaimana hendak mencapai matlamat bagi meningkatkan pendapatan termasuk petani tradisi, bagaimana hendak melahirkan usahawan tani, bagaimana hendak meningkatkan pengeluaran daging dan ayam, susu, telur dan lain-lain keperluan makanan, bagaimana hendak mengemblengkan satu rangkaian pemasaran yang berkesan dan ini ada di dalam dasar pertanian yang baru. Pendek kata secara makronya kita membuat perancangan dalam Pelan Induk Pertaniaan tersebut.

 

Adakah Pelan Induk Pertanian Negeri Terengganu itu tidak berlaku percanggahan dengan Dasar Pertanian Kebangsaan iaitu DPN3?

Insya Allah tidak. Saya lihat tidak ada banyak perkara yang boleh dianggap berlaku percanggahan sebab dasar pertanian mengutamakan pengeluaran makanan melalui pengezonan kawasan dan kita sedang memberi keutamaan dalam hal itu. Jika adapun sedikit dalam masalah penanaman tembakau. Justeru itu, buat masa ini kita masih mengekalkan juga kadar penanam, pengawet dan jumlah ekar mereka. Tetapi untuk masa depan akan kita kurangkan tanaman berkenaan.

 

Bagaimanakah peranan yang dimainkan oleh Tuan Haji boleh membantu rakyat terutama kepada golongan petani miskin dan nelayan miskin?

Saya melihat perlunya kita memulihkan kesedaran dalam pembangunan dan industri tani ini bagi negeri Terengganu yang mempunyai 104,385 orang petani dan nelayan. Sektor ini merupakan 28 peratus guna tenaga pada tahun 1999 dan masih merupakan penyumbang utama guna tenaga dalam negeri.

Sekiranya, ada kesedaran kepada mereka dan sikap mereka. Perubahan paradigma petani sendiri akan berlaku. Mereka akan merasa bersemangat untuk bekerja dan kerajaan membantu mereka. Kerajaan melalui Portfolio saya telah memberikan kepada mereka kesedaran dengan kemudahan pemilikan tanah sama ada secara berkelompok atau usaha perniagaan tani yang luas.

Sebenarnya ada peranan golongan kaya yang mereka sepatutnya menjadi pemodal dan pelabur agar kekayaan tidak berlegar di kalangan orang-orang kaya sahaja iaitu seperti yang disarankan oleh al-Quran. Rakyat yang sanggup bekerja, kerajaan yang memimpin, memberi semangat dan melindungi mereka. Dan ada pelabur yang akan memodalkan usaha mereka. Sudah tentu lahir bentuk satu kerjasama pengeluaran hasil pertanian yang agresif.

Keduanya; dalam mempastikan mereka berjaya kita mesti mempunyai perancangan yang menyeluruh dalam setiap sektor dan kita akan laksanakan perkara tersebut. Bagi golongan nelayan juga kita ada perancangan yang menyeluruh untuk mereka, begitu juga dengan penternak dan petani. Bagi petani yang tidak bertanah, mereka akan mendapat tanah dan akan diberikan kaedah membangunkan tanah, garis panduan dan kemudahannya. Bagi Nelayan, kita sedang mengatur skim pembangunan mereka.

Insya Allah, jika kerajaan meluluskan Skim Pembangunan Nelayan di seluruh negeri Terengganu ia akan dapat memulihkan dan menyusun atur penempatan mereka semula dan membangunkan perkara yang berkaitan dengan kepentingan ekonomi. Maka, keseluruhannya bergantung kepada dua perkara iaitu satu pembangunan institusi yang boleh dibuat di setiap mukim. Kedua menggunakan semua sumber bagi mencapai matlamat yang dikehendaki ke atas sasaran.

 

Terdapat sungutan sukarnya golongan nelayan mendapat bantuan kerajaan. Apa komen Tuan Haji?

Sebenarnya, dari segi bantuan nelayan di sini ada tiga perkara yang Pertama; mengekalkan sumber laut itu sendiri dan mesti dikekalkan dengan pembinaan tukun dan unjang. Tukun tiruan memang diberi peruntukan oleh kerajaan setiap tahun. Dan tahun ini kita masih menunggu untuk diberi peruntukan. Apabila sumber laut kekal bagi nelayan, ini adalah punca atau khazanah hasil tangkapan mereka.

Kedua; meningkatkan keupayaan aktiviti nelayan itu sendiri. Melalui alat-alat, yang kerajaan bekalkan kepada para nelayan. Alatan tersebut dikenali dengan panggilan GPH dan Ekosounder. Di samping itu pukat-pukat juga diagihkan kepada para nelayan seperti di kawasan saya di Dewan Undangan Negeri Batu Rakit iaitu pukat ikan kerisi dan kemudahan rumah enjin. Tahun lalu, kita sempat mengeluarkan bantuan kebajikan untuk mereka yang ditimpa kemalangan dan musibah. Aktiviti harian juga dipertingkatkan dengan kemudahan-kemudahan yang boleh diberikan.

Ketiga; memberi jaminan sosial kepada nelayan. Bagaimana kita memikirkan satu skim di hari tua untuk mereka dengan anak-anak pula masih bersekolah. Dalam perkara ketiga ini, sekiranya orang itu tidak lagi jadi nelayan yang produktif kita boleh pindahkan mereka atau susun semula kehidupan mereka. Mungkin di bidang perniagaan kecil atau mungkin mereka boleh menjadi petani atau penternak dan ini bukan sebenarnya satu perkara yang mustahil. Kaedah berniaga dan menternak sekarang ini boleh dicapai melalui skim sokongan yang sedia ada yang dibantu oleh kerajaan atau dengan bimbingan dan khidmat yang lain. Jika menjadi penternak Jabatan Haiwan akan sentiasa membantu.

 

Boleh jelaskan golongan sasar yang bagaimanakah menjadi perhatian khusus terutama di kalangan petani, nelayan dan penternak?

Rata-rata kalangan mereka ini adalah susah. Yang senang itu jika ada di kalangan anak-anak mereka yang lulus Universiti, jadi pegawai, guru, dan profesional. Sebenarnya, hidup secara tradisi tidak senang. Malang lagi kalau mereka seorang penoreh getah atau penanam padi di luar jelapang dan ini yang menjadi golongan sasar sebenarnya. Di mana, maklumat yang tepat diperlukan. Sebab maklumat Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) selama ini pun telah bercampur aduk dengan orang-orang telah senang, yang masih menerima PPRT.

Maklumat tentang penanam padi, nelayan secara sebenarnya perlu yang terkini. Sebab penanam padi menurut jabatan pertanian adalah orang-orang yang menerima bantuan baja padi, tapi menurut BERNAS pula orang yang mengilang padi di tempat mereka. Begitu juga nelayan, menurut jabatan perikanan, sesiapa yang mengambil lesen dengan mereka itulah nelayan. Bagi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) pula, sesiapa yang mendarat ikan di jeti LKIM itulah nelayan. Jadi maklumat itu berbeza antara satu sama lain.

Kita menggunakan kedua-dua sumber maklumat ini dan mengambil kira kegiatan setempat. Inilah pentingnya peranan Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) kita untuk menyampaikan maklumat. Insya Allah, Kerajaan akan mempunyai satu data maklumat sosial ekonomi petani, nelayan, penternak, peniaga tani dan pengilangnya dalam direktorinya sendiri. Ia akan menjadi sebahagian tempat rujukan serta bagi tujuan-tujuan lain.

 

Kementerian Pertanian berhasrat untuk mewujudkan kawasan tanaman kekal. Apakah reaksi serta tindakan dan usaha yang dibuat oleh kerajaan negeri?

Kita memang sedia ada kawasan tanaman kekal dan kita bersetuju dengan dasarnya, dan kita akan tambah lagi kawasan tersebut. Bagi negeri Terengganu tidak menjadi masalah dan boleh menambah beberapa kawasan lagi. Bahkan kita mengambil langkah pro-aktif bagi menghadapi tahun 2003, apabila peraturan Afta dikuatkuasakan. Kita sebenarnya, mengalu-alukan mana-mana pihak termasuk swasta supaya melabur dan masuk ke negeri ini jika mereka mempunyai perancangan yang baik untuk pembangunan industri tani di Terengganu. Terutama dalam membangunkan industri hiliran. Mereka boleh membangunkan tanaman herba atau lain-lain.

 

Apakah perancangan berhubung dengan Pembangunan Luar Bandar?

Kita sedang mengatur kaedah dan perancangan bagi daerah pendalaman melalui Jawatankuasa Pembangunan Tanah Pendalaman. Di samping itu, aspek-aspek lain sedang digarap bagi mempastikan satu pembangunan yang menyeluruh untuk semua masyarakat, termasuk di kalangan orang-orang asli. Ada jawatankuasa khas yang akan mengendalikan isu-isu yang berkaitan dengan mereka. Adapun sebahagian dari aspek luar bandar yang lain ada dikendalikan oleh portfolio Exco-exco yang lain.

Tidak semua aspek pembangunan luar bandar yang saya pegang. Contohnya, yang berkaitan dengan PPRT, itu di bawah Portfolio Kebajikan, Sosial dan Kesihatan. Walau bagaimana pun saya membantu mereka. Tetapi hal-hal yang berkaitan dengan peneroka Felda, Felcra dan hubungan dengan agensi-agensi kerajaan pusat tentang pertanian, di bawah saya. Jawatankuasa Pembangunan Tanah Pendalaman termasuklah kawasan KETENGAH.

 

Akhir sekali apakah pesanan kepada golongan petani, nelayan dan penternak?

Akhirnya, saya mengharapkan agar petani dan semua pihak melaksanakan tugas masing-masing dengan sebaik-baiknya. Jadikan tugasan tersebut sebagai satu jihad untuk mendapat keredhaan Allah di dunia dan di akhirat. Kerajaan negeri di bawah kepimpinan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang selaku Menteri Besar dan di bawah portfolio saya sentiasa prihatin dengan isu-isu yang berkaitan petani dan segala sokongan akan diberikan kepada mereka.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 31 Julai 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com