oleh : aDLan_WaN_zuHairi
Isu Debat Olok-olok UMNO-PAS bukanlah satu isu yang baru. Bahkan telah bermula seawal muktamar Pas yang berlangsung di Taman Melewar lagi. Malangnya isu itu tidak mendapat apa-apa respon samada dari peserta yang terlibat, mahupun Pak Lah dan Mahathir sendiri. Masing-masing seolah-olah mendiamkan diri sambil cuba mencari jawapan yang terbaik untuk memadam kembali arang yang terconteng ke muka. Apatah lagi yang terlibat kesemuanya adalah ulamak. Sementara Pak Lah paling kurang pun adalah anak ulamak. Melainkan Mahathir sahaja yang berketurunan mamak!
Namun setelah hampir sebulan ia berlalu, barulah Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Hamid Othman berani bersuara. Itupun sewaktu perhimpunan agung UMNO sedang berlangsung. Mungkin itulah masa dan tika yang sesuai untuk bersuara. Lagipun Mahathir sedang sibuk menipu dan mengalihkan perhatian perwakilan dan rakyat jelata melalui isu Melayu Mudah Lupa. Tentu isu debat palsu ini juga akan mudah dilupakan oleh melayu yang mudah lupa. Mungkin juga setelah berbincang, maruah mereka harus ditebus semula. Kepercayaan rakyat dan orang kampung kepada figur-figur ini harus dikembalikan. Terutamanya mereka yang memegang peranan sebagai ulamak Pas. Mana nak sorokkan muka mereka. Kalau yang berlakon sebagai ulamak UMNO tu, sekurang-kurangnya tidaklah terlalu malu sangat. Kerana itu memang mereka yang sebenarnya pun.Biar apapun, maruah UMNO harus diutamakan.
Hendak menafikan rakaman tersebut dengan mendakwa Pas mengupah orang yang mempunyai muka yang serupa atau hampir-hampir sama dengan mereka, tentu rakyat tidak percaya. Ramai pulak pelanduk dua serupa. Siap dengan ilmu, suara dan gaya yang sama pulak tu. Takkan orang boleh percaya. Nak dikatakan teknik 'super impose' pun tak logik juga. Jelas nampak warna leher dan badan yang sama. Tak ada bezanya. Tak nampak ada sudut yang dicantumkan. Lagipun teknik ini hanya digunakan untuk fotografi sahaja. Bukannya grafik audio visual. Walaupun zaman canggih ini, teknologi bisa merubah segalanya, namun orang kampung susah nak percaya hujah ni. Nak kata mereka telah di'ISA'kan oleh Pas dan dipaksa untuk melakonkan watak-watak tersebut, lagi tak masuk akal.
Walhasil, berdasarkan dua mesyuarat yang dihadiri oleh ulamak dan cerdik pandai UMNO dan dipengerusikan oleh Penasihat Agama Perdana Menteri, Hamid Othman di ibu pejabat Yadim pada 21 dan 22 Jun lalu, terpaksalah mereka mengaku bahawa memang merekalah yang terlibat dalam dalam cerekarama tersebut. Memang Hamid Othmanlah yang jadi pengerusinya. Nakhaie,Zainal Abidin dan Mustafa Taiblah antara yang mewakili ulamak UMNOnya. Sementara Ghazali, Ismail Ibrahim dan Wan Ismaillah antara yang berlakon sebagai ulamak PASnya. Walaupun pedih pengakuan ini, terpaksa ditelan jua. Bukankah kita diseru supaya berkata benar walaupun pahit? Akhirnya siapa yang malu? Mereka dan keluarga mereka....
Cuma untuk melampiaskan sedikit rasa malu yang terpercik ke muka, ditukarkankannya istilah 'debat' itu kepada istilah 'diskusi ilmiah' dan 'perbincangan ilmiah' supaya tampak manis sedikit. Seperti Mahathir menukar istilah 'rasuah' kepada 'politik wang'. Kan nampak ringan sedikit. Barulah tak terasa sangat. Padahal dua kali lima sahaja. Kalau guna istilah rasuah, nanti rakyat pertikaikan mengapa BPR tidak siasat. Begitu juga dengan istilah diskusi ilmiah. Seandainya digunakan istilah 'debat', maka akan adalah pihak yang menang dan pihak yang kalah. Justeru untuk menutup malu dari dilabel naib johan, istilah 'diskusi' dan 'perbincangan' dipilih sebagai maudhu'. Kerana dalam diskusi dan perbincangan, tidak ada yang menang dan tiada pihak yang kalah.
Demi untuk menjernihkan lagi keadaan, maka diwarwarkanlah bahawa vcd yang berada di pasaran sekarang adalah pasca suntingan yang dilakukan oleh Pas. Pas didakwa telah memotong babak-babak tertentu yang membuktikan hujah-hujah bernas lagi ilmiah ulamak UMNO dalam menyangkal hujah-hujah Pas. Sedangkan Pas pada hakikatnya tidak terlibat langsung dalam proses rakaman mahupun pengedaran vcd terbabit. Sebaliknya perkara ini dilaksanakan oleh hamba allah yang ikhlas dalam memperjuangkan amanah allah. Sanggup menanggung risiko besar yang bakal mendatang. Mungkin juga akan di'ISA'kan. Ust Fadzil Noor sendiri menjelaskan ketika muktamar Pas baru-baru ini bahawa beliau hanya dapat menonton vcd tersebut, setelah dihadiahkan oleh hamba allah tanpa tahu menahu dari mana ia diterbitkan. Sesungguhnya vcd ini langsung tidak ada kena mengena dengan Pas secara langsung sebaliknya UMNOlah yang terpukul dengan tindakan mereka sendiri. Perkara ini menjadi bukti bahawa seandainya Allah menginginkan sesuatu perkara itu terjadi, maka ia akan tetap terjadi. Soroklah macam mana pun. Buatlah di bilik tidur Perdana Menteri sekalipun. Kun fayakun.
Bertambah menarik lagi, hamid othman turut mengumumkan bahawa rakaman sebenar perbincangan ilmiah tersebut akan diterbitkan dan dijual di pasaran pada minggu hadapan. Menurut cek mid lagi, vcd versi UMNO ini merupakan rakaman penuh tanpa edit, unsensored movie dan penuh eksklusif dengan hujah-hujah bernas UMNO yang didakwa telah digunting oleh Pas. Menurutnya UMNO juga telah melantik sebuah syarikat khas untuk menerbitkan segera versi penuh sesi 'diskusi ilmiah' berkenaan. Kesian UMNO...Nak terbitkan vcd pun terpaksa upah syarikat khas. Syarikat kronilah tu. Tapi BA tak perlu nak buat benda ni semua. Ada saja hamba-hamba Allah yang ikhlas mendedahkan, menerbitkan dan mengedarkan tanpa perlu BA mengeluarkan sesen wang pun. Akan ada saja hamba-hamba Allah yang dibuka pintu hati dan rezekinya untuk menolong mereka yang berjuang di jalan kebenaran. Alangkah indahnya berjuang.....
Dalam rasa tidak sabar untuk menunggu vcd versi UMNO ini, kita tidak dapat menolak kebarangkalian akan dilakukan lakonan semula pada babak-babak tertentu yang dikatakan telah dipotong oleh Pas. Kita terfikir betapa kemungkinan UMNO akan menyerikan lagi rakaman tersebut dengan memaparkan sedutan video ceramah, kaset ceramah juga kata-kata pendek yang dipetik daripada ucapan yang berjela-jela oleh orang-orang tua Pas, samada yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia untuk membuktikan bahawa Pas sememangnya bersalah. Tidak kurang juga andaian bahawa akan dipanggil individu lain sebagai saksi kepada penyelewengan yang dilakukan oleh Pas. Ummi Hafilda tentu tersenyum bila cakap pasal saksi ni kan? Pendapat-pendapat ulamak yang lemah dan longgar dalam perbahasan masalah yang panjang lebar akan diketengahkan. Astora Jabat walaupun tidak terlibat secara langsung, tentunya akan membantu dengan mencari kelemahan sesuatu hadis hingga ke lubang cacing sekalipun, agar hadis yang digunakan oleh pihak lawan dikatakan lemah juga fakta dari sirah khulafa' muawiyah, abbasiah, dan uthmaniah sampailah ke firqah-firqah mazhabiyah seperti wahabiah,syiah, ahlussunnah dan sebagainya akan digarap dengan seindah-indahnya. Bukankah dalam artikelnya baru-baru ini, dia telah membuktikan bahawa Kassim Ahmad bukan anti-hadis?
Dalam pada itu si hamid juga berkata, laporan polis sudah dibuat berhubung pengedaran cakera padat video (VCD) mengandungi sebahagian rakaman perbincangan itu, yang diberi tajuk ‘Debat Umno & Pas: Satu Percubaan Kerajaan BN `Siri 1'. Apa dia ingat hebat sangat ke polis dan Kementerian Dalam Negeri nak merampas semua vcd ini daripada dijual di pasaran? Nampaknya terpaksalah cek mid import Yusof Haslam dan skuad Gerak Khas The Movienya untuk menangkap mafia yang menjadi punca berleluasanya penerbitan dan pengedaran vcd debat palsu ni.Siapa agaknya yang ganti inspektor shafika(erra) dalam kes ni ya? Azalina tentu tahu. Tapi yang peliknya, kalau cek mid kata debat ni cuma perbincangan dan diskusi ilmiah, buat apa nak disorok-sorokkan daripada rakyat marhaen? Cek mid cakap perbincangan ilmiah ini hanya sebagai penjelasan kepada pimpinan UMNO terhadap isu takfir dan supaya mereka tahu berhujah depan Pas dan rakyat. Bukan ke mudah kalau vcd ini disebarkan terus kepada rakyat. Lagipun pimpinan UMNO larat ke nak hafal dalil-dalil quran dan hadis yang digunakan? Kalau baca quran pun tak berapa betul, lupakan sahajalah. Sebarkan sahaja vcd tu kepada umum. Biar rakyat yang menilai. Nakahaie tentu tahu hukum menyembunyikan kebenaran kan..kann..
Apapun yang akan terjadi, seruan saya kepada anda semua, MARILAH KITA BERSAMA-SAMA MEMBOIKOT VCD DEBAT UMNO-PAS VERSI UMNO yang akan berada di pasaran minggu hadapan. Dan kita juga mendoakan agar mereka yang telah merakamkan debat tersebut di Putrajaya diselamatkan oleh Allah dunia dan akhirat. MEMBOIKOT bukan bermakna tak ambik tahu langsung. Kita perlu tahu juga hujah UMNO yang kununnya bernas tetapi telah ditapis oleh Pas. Sekurang-kurangnya boleh dibuat bahan ketawa bagi menghiburkan hati yang gundah gulana ataupun penat bekerja. Tapi MEMBOIKOT yang saya maksudkan ialah MEMBOIKOT DARIPADA MEMBELI VCD YANG ORIGINAL. Mafia cetak rompak tentu dah bersedia. Cari yang cetak rompak jer. Biar tak laku syarikat cek mid tu. Lagipun vcd ini memang akan diedarkan secara percuma juga nanti akhirnya! Agaknya berapa harga sekeping vcd original tu nanti? Biasanya kalau vcd original, mahal harganya. Sekitar RM35 ke atas. Kalau murah tu, cetak rompak namanya. Tak tahulah kalau cek mid nak subsidi setiap vcd! PPZ MAIWP dan Tabung Haji kan ada!!